Tiada kompromi isu sensitif Malaysia - Singapura

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Selepas kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek pembinaan jambatan bengkok pada April 2006, apa-apa isu yang menyentuh mengenai 'jambatan' akan menjadi perbincangan hangat banyak pihak.

Malaysia dan Singapura mempunyai interpretasi yang pelbagai dan berbeza dalam menanggapi isu pembatalan jambatan bengkok tersebut.

Bagaimanapun, baik di pihak Malaysia atau pun Singapura, masing-masing menyimpan harapan tinggi untuk menyaksikan bakal ada sebuah jambatan baru yang menghubungkan kedua-dua negara berkenaan.

Dalam erti kata lain, pembatalan jambatan bengkok itu bukanlah bermaksud terputusnya hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Sebagaimana pembinaan Tambak Johor dan Lebuh Raya Laluan Kedua MalaysiaSingapura (Linkedua), jambatan ketiga itu diharap bakal memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan infrastruktur.

Jambatan ketiga akan bertindak sebagai pemangkin pembangunan di wilayah timur Johor termasuk di Pengerang, Mersing dan Desaru yang kini pesat membangun.

Di sebelah Singapura pula, pembinaan jambatan ketiga secara sangat hampir dengan prasarana pengguna dan kemudahan lain di negara itu.

Justeru, jambatan itu boleh bertindak sebagai jalan dalam mengintegrasikan ekonomi kedua-dua negara sekali gus berkongsi manfaat bersama.

Keperluan jambatan ketiga juga berkait rapat dengan kesesakan di Tambak Johor yang masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.

Meskipun mempunyai pilihan menyeberang melalui Linkedua, kadar tol yang tinggi sebenarnya tidak banyak membantu menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor.

Keselamatan sistem ekologi dan usaha meningkatkan kualiti air di Selat Tebrau juga menjadi antara faktor kepada perlunya jambatan alternatif.

Tanpa kepadatan trafik yang tinggi di Tambak Johor, kedua-dua negara mungkin lebih mudah mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan kehidupan marin Selat Tebrau.

Di samping itu, usaha membina jambatan ketiga juga perlu dimulakan sekarang bagi mengelak beban kos yang tinggi pada masa depan ekoran kenaikan harga bahan-bahan binaan.

Bagaimanapun, pengalaman berurusan dengan Singapura terutamanya dalam soal pembinaan jambatan bengkok, memberi cabaran dalam menyaksikan usaha merealisasikan jambatan ketiga ini.

Sedikit sebanyak, pembinaan jambatan baru tersebut tidak dapat mengelak daripada dikaitkan dengan isu-isu seperti pembekalan pasir dan penggunaan ruang udara oleh Singapura.

Isu ini menjadi antara sebab utama mengapa Malaysia mengambil keputusan drastik membatalkan pembinaan jambatan bengkok pada 2006.

Begitu juga dengan isu-isu sensitif lain seperti penambakan laut oleh negara jiran itu, serta status kabur dalam pertikaian mengenai Tubir Selatan dan Pulau Batu Putih.

Bagi Singapura, pembinaan jambatan ketiga tidaklah membawa limpahan ekonomi sehebat apa yang bakal diperoleh Malaysia.

Justeru, Singapura tentunya mengharapkan imbuhan daripada sudut lain terutamanya penyelesaian isu sampingan yang memberi manfaat kepada mereka.

Perkara yang sama turut ditekankan oleh Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Sr. Azmi Hassan.

Menurut Azmi, isu pembekalan pasir dan penggunaan ruang udara misalnya, dilihat menjadi agenda sampingan yang bakal dimasukkan oleh Singapura dalam perbincangan.

Memandangkan idea pembinaan jambatan ketiga itu dimulakan oleh Malaysia sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Singapura pada pertengahan Mei, negara itu dilihat berada dalam kedudukan selesa untuk mempertahankan syaratsyarat mereka.

Lalu agak sukar untuk Malaysia bertolak ansur dalam memenuhi permintaan Singapura.

"Kerana itu juga, berjaya atau tidak persetujuan pembinaan jambatan ketiga itu bergantung kepada sejauh mana Malaysia mahu bertolak ansur bersabit dengan isu-isu sampingan berkenaan," ujar Azmi.

Bagaimanapun, dalam bertolak ansur dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Singapura, kerajaan pastinya tidak dapat berkompromi dengan isu yang menyentuh mengenai kedaulatan negara.

Kebenaran untuk Angkatan Udara Singapura (RAF) menggunakan ruang udara negara misalnya, merupakan isu sensitif yang tidak wajar diberi kelonggaran.

Apatah lagi RAF mempunyai hubungan yang rapat dengan Israel. Sekaligus ia boleh meningkatkan ancaman ketenteraan terhadap negara.

Begitu juga dengan isu hak pemilikan Tubir Selatan yang masih menjadi pertikaian.

Di kalangan rakyat Malaysia terutamanya penduduk Johor, kawasan itu sudah dianggap milik negara ini sepenuhnya.

Justeru, soal pemilikannya tidak boleh dipertimbangkan dalam perbincangan dengan Singapura apatah lagi selepas Malaysia kehilangan Pulau Batu Putih.

Sebaliknya kata Azmi, apa yang seharusnya dibawa oleh Malaysia ke meja rundingan ialah mengenai isu bekalan air kepada negara berkenaan.

Beliau menjelaskan, apa jua keputusan yang dicapai daripada perbincangan mengenai isu itu seharusnya memberi keuntungan kepada negara.

"Ini kerana kadar tiga sen bagi seribu gelen seperti yang dipersetujui ketika ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan perbincangan mengenainya adalah lebih wajar," ujar beliau.

Bagaimanapun sesuatu yang pasti, rundingan mengenai pembinaan jambatan ketiga mampu memberi konotasi yang lebih baik terhadap hubungan diplomatik Malaysia dan Singapura.

Perbincangan mengenai pembinaan jambatan ketiga pastinya tidak dapat mengelak daripada menyentuh mengenai isu-isu sensitif yang membelenggu kedua-dua negara selama ini.

Justeru, ia secara tidak langsung menjadi petunjuk dan menguji sejauh mana kematangan hubungan Malaysia-Singapura.

Seperti yang dinilai Azmi, jika persetujuan membina jambatan baru dicapai, maka persetujuan mengenai masalah tertunggak juga akan berjaya diselesaikan, sama ada dalam bentuk sepenuhnya atau sebahagian sahaja.

Tambah Azmi, bagi membolehkan persetujuan itu dicapai, sikap tolak ansur dan saling mempercayai sangat diperlukan.

"Apabila kedua-duanya iaitu sikap ber tolak ansur dan kejujuran berjaya dicapai, maka hubungan dua hala sudahpun melalui fasa kematangan. Ia seharusnya membawa kepada kestabilan," tegas beliau.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url