Melayu mesti kaji Cina

Oleh A. MURAD MERICAN
Profesor Ilmu Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Petronas (UTP)

Pada hari Sabtu 20 Jun, Utusan Malaysia menyiarkan paparan dan perbincangan isu-isu utama akhbar-akhbar berbahasa Cina dari 8 hingga 13 Jun. Dalam senario negara sekarang, amatlah wajar dan tepat sekali kita dimaklumkan kandungan dan sentimen salah satu kumpulan surat khabar yang mewakili kaum minoriti yang signifikan dalam masa depan politik kita.

Peraturan politik dan perundangan negara dicetuskan dan diwarnai oleh kesefahaman antara Melayu, Cina dan India. Masing-masing dari segi sejarah dan politik telah mencapai kesefahaman dalam berkongsi kuasa memerintah negara ini. Malangnya kesefahaman itu berlandaskan kepada rasional dan hujah yang tidak semestinya sealiran.

Dan ini dapat kita perhatikan dalam kandungan dan perdebatan surat khabar dan majalah yang diterbitkan sepanjang zaman sejak 1806, permulaan penerbitan surat khabar dalam sejarah Malaysia.

Persejarahan dan sejarah surat khabar di Malaysia umumnya menyentuh penerbitan dan perjuangan kewartawanan Melayu, berlandaskan kepada politik identiti, gagasan dan budaya Melayu. Tidak ada persejarahan perjuangan kewartawanan Cina atau Tamil dalam mendebatkan masyarakat majmuk lalu mewujudkan masyarakat Malaysia.

Memang terdapat kaitan yang akrab di antara kewartawanan dan persuratkhabaran dengan pembentukan identiti, jiwa bangsa, ruang sejarah, tempat asal dan memori kolektif. Kewartawanan dan surat khabar Melayu memaparkan soal-soal identiti dan kemelayuan, sama ada dalam lingkungan Melayu Semenanjung Tanah Melayu atau menyuarakan gagasan "Melayu Raya"; begitu juga ekspresi "Melayu Jati" dalam membezakan dengan "Darah Keturunan Keling" - DKK atau "Darah Keturunan Arab" - DKA sebelum Perang Dunia Kedua.

Setiap surat khabar mempunyai khalayaknya sendiri, seperti juga halnya dengan surat khabar dan majalah Melayu sepanjang zaman - dari Jawi Peranakan (1876), kepada al-Imam (1906), Idaran Zaman (1925), al-Ikhwan (1926), Warta Malaya (1930), Majlis (1931) dan Utusan Melayu (1939), sehinggalah kepada terbitan-terbitan selepas merdeka dan pasca 1970-an.

Surat khabar-surat khabar tersebut, dengan berganding bersama persatuan-persatuan Melayu sebelum perang, seperti Persatuan Guru-Guru Melayu, Persatuan Kesusasteraan Melayu, Persatuan Bolasepak Melayu dan sebagainya, giat "memajukan" nama "Melayu" dalam pelbagai bentuk termasuk nama-nama surat khabar seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Panji-Panji Melayu, Jajahan Melayu, Suara Melayu, Dunia Melayu, dan Pemimpin Melayu.

Kita akur jasa dan pengorbanan wartawan, persuratkhabaran dan kewartawanan Melayu dalam menonjolkan dan meletakan tema Melayu dalam naratif mereka. Malah Utusan Melayu dalam isu pertamanya mengiystiharkan perjuangannya kepada agama, bangsa dan negara.

Tetapi kita tidak nampak surat khabar berbahasa Cina dan Tamil memaparkan sentimen dan menghala kiblat mereka kepada Malaya dan masa depan pembentukan Malaya sebagai satu masyarakat dan negara bangsa, walaupun surat khabar seperti Nanyang Siang Pau (1923) atau China Press (1946) telah lama wujud.

Tidak dinafikan surat khabar Cina di Malaysia mempunyai kepentingan dan tanggungjawab kepada masyarakat Cina. Persoalannya, apakah kepentingan itu melebihi kepentingan negara, kepentingan tanggungjawab kaum Cina dalam mengamal dan mematuhi sikap dan nilai yang sepatutnya sebagai warganegara Malaysia?

Sebenarnya, di sinilah letaknya kewartawanan dan persuratkhabaran dalam memperjuangkan konsep dan amalan Malaysia berlandaskan kepada perlembagaan. Kewartawanan mesti menunjukkan jalan ke arah keluhuran Perlembagaan. Usaha ini merentasi parti dan perkauman.

Saya tidak nampak peranan ini dimainkan dan dipertanggungjawabkan ke atas surat khabar Cina. Masyarakat dan surat khabar Cina di negara ini perlu bersyukur bahawa kerajaan tidak menyekat dan membantut perkembangan kewartawanan Cina di negara ini. Terdapat lebih banyak tajuk, pengedaran dan pembacaan surat khabar Cina berbanding dengan tajuk, pengedaran dan pembacaan surat khabar Melayu.

Pihak kerajaan juga akur akan gesaan masyarakat Cina untuk mengekalkan kepelbagaian pendapat dan ekspresi identiti mereka. Akan tetapi, para wartawan dan surat khabar Cina nampaknya terasing daripada aliran perdana negara. Sebagai bekas wartawan dan sekian lama mengkaji kewartawanan dan persuratkhabaran di Malaysia, saya dapati masyarakat kewartawanan Cina wujud dalam dunia mereka tersendiri, seolah-olah enggan berganding sebagai satu fraterniti kewartawanan di Malaysia.

Di sinilah letaknya peranan kewartawanan dan persuratkhabaran Melayu sebagai pemimpin dan 'abang' kepada fraterniti itu di Malaysia. Walaupun surat khabar Melayu perlu akur kepada pembaca dan khalayaknya, ia juga mesti meluaskan ruang dan penonjolan identitinya sebagai surat khabar nasional, dan bukannya vernakular.

Surat khabar Melayu yang ada hendaklah mencipta semula nilai dan falsafah mereka dan menjadi setanding dengan surat khabar di dunia. Surat khabar Melayu hendaklah "menasionalkan" semula bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Walaupun kita berlegar dalam dunia siber dengan kewartawanan dalam talian, serta aktiviti blog, surat khabar dalam bentuk dan paparannya, akan terus menjadi satu institusi penting dalam mencorak pemikiran dan politik sesebuah negara. Dengan itu saya mencadangkan beberapa rancangan untuk tindakan selanjutnya.

Pertama, sekolah-sekolah kewartawanan di Malaysia melihat kaitan kewartawanan dan etnisiti sebagai satu fenomenon kritikal dan perlu dikaji dan fahami dengan mendalam. Surat khabar dan kewartawanan perlu dengan sedar dikaji dalam konteks budaya dan etnisiti. Selama ini kewartawanan di negara ini diajar tanpa meletakkannya dalam konteks budaya dan masyarakat di Malaysia.

Dengan itu, kajian kewartawanan dan surat khabar Cina di Malaysia/Asia Tenggara/Cina Nanyang dalam bentuk mata pelajaran, projek penyelidikan atau pusat kecemerlangan (pusat/institut kajian kewartawanan Cina) perlu diwujudkan.

Sudah tiba masanya para akademik/penyelidik Melayu melihat kajian Cina pada umumnya sebagai satu rancangan strategik. Jika kita tidak kaji masyarakat itu, sampai bila-bila kita tidak dapat mencetuskan ilmu yang semantap-mantapnya. Kita hanya mengetahui masyarakat Cina umumnya melalui budaya dan media popular, serta pengalaman secara individu dan seharian. Kita tidak mengetahui orang Cina melalui ilmu yang objektif.

Kedua, lanjutan cadangan yang pertama, ada baiknya dalam hal ini jika universiti-universiti tempatan menubuhkan pusat kecemerlangan kajian Cina (Chinese Studies), bukan kajian negara China (China Studies) seperti yang tertubuh di Universiti Malaya. Ini bukan soalan belajar bahasa Cina yang telah lama dijalankan dan dipelajari oleh pelajar Melayu. Ini soal mengkaji dan mempelajari psiki, jiwa, pandangan, pemikiran dan sentimen Cina. Beberapa tahun lalu, idea itu dilontarkan kepada kalangan pengurusan Universiti Teknologi Mara dalam usaha menstruktur semula universiti itu dan menubuhkan sebuah gugusan Liberal Arts.

Cadangan menubuhkan institut kajian Cina dan memulakan program kajian Cina dipandang serong kononnya ia tidak sesuai diwujudkan dalam sebuah universiti Bumiputera. Soalan yang dilontarkan sebaliknya ialah mengapa perlu belajar dan mengkaji masyarakat Cina? Inilah prejudis Melayu yang hanya merugikan dirinya sendiri.

Pada hal usaha tersebut perlu dilihat secara strategik di mana sebuah universiti Bumiputera dapat secara sistematik mencetuskan ilmu tentang masyarakat dan pemikiran Cina supaya persaingan itu dapat dilakukan secara bijak. Kita mesti tahu pesaing kita dahulu. Inilah peranan gagasan kajian Cina oleh para akademik, pengkaji dan cendekiawan Melayu.

Ketiga, memandangkan kepada pengaruh kewartawanan Cina kepada masyarakat Cina di negara ini sehinggakan ia menjadi satu arus aliran yang bertentangan dengan saluran maklumat berkepentingan negara, ada baiknya pemilik surat khabar/media Melayu, dan para wartawan dan editor Melayu menerbitkan surat khabar berbahasa Cina. Tidak kiralah sama ada ini strategi terbuka atau tidak. Apa yang penting, Melayu juga ada hak untuk menentukan arah aliran kewartawanan berbahasa Cina.

Beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) milik kaum Cina telah mewujudkan pusat pengajian Melayu. Apakah perkembangan ini dan implikasi jangka panjangnya tidak dipedulikan oleh masyarakat, wartawan dan cendekiawan Melayu? Apa yang penting sekarang ialah masyarakat cendekiawan Melayu memulakan usaha mengkaji kaum Cina dalam dimensi keilmuan dan kesarjanaan dan menerbitkan ilmu itu daripada perspektif Melayu.

Jika tidak, pemikiran, masyarakat dan surat khabar Melayu, serta konsep-konsep hak asas dan demokrasi di Malaysia akhirnya akan ditakrifkan oleh kewartawanan Cina.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url