200,000 nikmati kadar baru ambil lesen motor

Lebih 200,000 orang bakal menikmati kadar baru bayaran latihan menunggang motosikal kelas B2 iaitu 250cc ke bawah seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, dengan kadar baru, pecahan bayaran yang dikenakan Institut Memandu (IM) ialah RM186 tidak termasuk e-service sebanyak RM21 dan kerajaan sebanyak RM4 menjadikan jumlah bayaran pelajar ialah RM211.

"Sebelum ini IM memperoleh RM450 tidak termasuk bayaran e-service RM21 dan kerajaan RM70, menjadikan bayaran yang dikenakan pelajar sebanyak RM541," katanya kepada pemberita di sini.

Kos latihan memandu itu meliputi Kelas KPP, Latihan Asas Pra-L, Latihan Kemahiran dan Pra Ujian.

Solah berharap orang ramai terutama pelajar sekolah berumur 16 tahun ke atas dapat memiliki lesen memandu sah dan tidak timbul masalah kos bagi golongan belia atau berpendapatan rendah.

Bagi lesen belajar memandu (LDL), beliau berkata, kadar yang dikenakan menurun kepada RM2 daripada RM20 yang dikenakan sebelum ini namun pengeluaran lesen LDL dan lesen memandu percubaan (PDL) melalui KIOSK e-Khidmat akan dikenakan bayaran perkhidmatan sebanyak RM2.

Sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri semalam, Najib mengumumkan "11 hadiah" yang menggembirakan rakyat, antaranya termasuklah pengurangan kadar bayaran latihan menunggang motosikal bagi kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September ini.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url