Black dinobatkan juara Mentor musim ketiga

Protege Mas Idayu, Black dinobatkan sebagai juara Mentor musim ketiga apabila mendahului Chaq dan Fira pada pertandingan akhir program berkenaan yang dipancarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Wisma MBSA, di sini, semalam.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 22, mendahului dua lagi protege dengan kutipan markah sebanyak 75 mata. Dengan kemenangan itu, peserta berasal dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu membawa pulang wang tunai RM100,00 serta sebuah kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva, manakala mentornya Mas Idayu turut menerima wang tunai dengan jumlah sama.
Kemenangan Black semalam sudah dijangka kerana persembahan dan kedudukannya yang sentiasa konsisten setiap minggu sejak Mentor membuka tirainya 19 April lalu.
Black yang mendendangkan lagu baru ciptaan Uzai, Aku Sayang Rindu Kamu dan duet bersama Mus May dan Shamrin Fotograf menerima 14 mata daripada juri awam.
Juri profesional yang dilantik menilai persembahan protege malam itu ialah Acis, Zainal Abidin dan komposer serta penyanyi dari Singapura, Sheikh Haikel.
Sementara itu, protege Ajai, Chaq berada di tangga kedua dengan jumlah markah dikumpul 52.8 daripada juri profesional dan undian SMS dan 19 mata juri awam.
Chaq atau nama sebenarnya Comellus De'Lelli Anam berasal dari Penampang, Sabah mendendangkan lagu Penjelasan 1 Persatu ciptaan Ajai.
Dengan kemenangannya itu, Chaq dan mentornya membawa pulang wang tunai RM30,000.
Tempat ketiga pula menjadi milik Fira, protege kepada Lah Ahmad. Peserta berasal dari Batu Cave bersama mentornya membawa pulang wang tunai RM10,000. Fira memperoleh 35.6 mata iaitu daripada juri profesional dan SMS, manakala 13 mata lagi daripada juri awam mendendangkan lagu berjudul Bukan Niatku ciptaan Sharon Paul.
- BERITA HARIAN

salam kembara
salam ziarah
salam singgah