BNM keluar wang kertas baru RM50


Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengeluarkan wang kertas RM50 reka bentuk baru yang menggabungkan pelbagai ciri keselamatan moden dan inovatif dengan tujuan utama untuk menghalang cubaan pemalsuan.

"Reka bentuk baru wang kertas RM50 ini merupakan denominasi pertama dalam Siri Keempat mata wang kertas Malaysia yang akan menggantikan siri sedia ada secara berperingkat-peringkat," kata BNM dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Siri reka bentuk wang kertas RM50 sedia ada akan terus sah diperlakukan dan diedarkan bersama-sama wang kertas baru RM50 ini sehingga ia dikeluarkan daripada edaran secara berperingkat.

Had masa bagi tempoh edaran bersama ini tidak ditetapkan, kata Bank Pusat.

Wang kertas RM50 bentuk baharu ini sebelum ini dikeluarkan pada Disember 2007 sempena Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia. Siri baru ini tidak mempunyai logo sambutan jubli emas kemerdekaan negara.

Ciri keselamatan dipertingkat bagi reka bentuk baru wang kertas RM50 termasuklah benang keselamatan dengan warna berubah-ubah yang menggantikan benang keselamatan sedia ada dan tertanam di dalam kertas.

Benang ini kelihatan seperti garis putus-putus yang berwarna pada bahagian belakang wang kertas. Apabila diletakkan pada cahaya, benang ini akan kelihatan seperti garis lurus kehitam-hitaman dan teks BNM RM50 yang berulang-ulang jelas kelihatan.

Apabila wang kertas ini disengetkan, warna benang keselamatan ini akan bertukar daripada merah kepada hijau, dan sebaliknya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Faisal Admar
    Faisal Admar Jumaat, 17 Julai 2009 pada 12:57:00 PG SGT

    Kenapa ye tukar rupa pula wang kertas RM50?
    Bagi saya semakin tak cantik pula.

Add Comment
comment url