Cerpen - Pengukir Arca

Oleh Zaharah Nawawi
http://www.kepezi.blogsopt.com

Dia dekati Ratu. Kedua-dua tangan diangkat lalu merangkul leher Ratu. Diletakkan dahinya ke dahi Ratu. Disentuhkan hujung hidungnya ke hidung Ratu. Tiara berkelipan baru lepas dimahkotakan ke kepala Ratu, diusap.

Ditolehnya Jalal. Tiada lagi sinar di mata lelaki itu. Jalal bukan satu-satunya karyanya yang memenangi hadiah. Arca berupa seorang ibu sedang menumbuk padi dikelilingi sembilan anak kurus-kering tanpa baju -- beberapa orang bogel memperlihatkan burung kecilnya yang comel, seekor kucing di atas bahu seorang daripada anak-anak itu, juga seorang dara sunti berkemban dengan kain sarung, selain dua ekor ayam menunggu hampas padi melantun keluar dari lesung untuk dipatuk; diberi nama Menanti Rezeki, pernah menjulang kemenangan di peringkat antara bangsa namun baginya arca lelaki berserban dinamakannya Jalal (keluhuran) itulah hasil karyanya yang paling hebat.

"Seluruh hati dan jiwa raga saya diukir dan ditanam sama dalam arca ini." Dia mengerling rakan yang menanyai kenapa dia begitu sukakan Jalal.

Dia renung mata Jalal, seolah-olah Jalal membalas renungan itu dengan kerdipan intan di mata dan senyum tersimpul di bibir. Kedua-dua tangannya mengesat dan mengebas habuk dan debu-debu halus di kepala, bahu serta seluruh badan Jalal. "Percayalah, engkau mampu menaikkan namaku sekaligus menambah rezekiku. Walaupun yang disenangi pencinta arca ialah engkau sebagai sebuah karya seni, namun engkau adalah hasil kreatif tangan seorang seniman. Dan tangan itu ialah tanganku. Aku jadikan engkau dari sebongkah batu makas menjadi arca yang hebat, memukau seluruh pandangan; sarat makna dan kehalusan ukiran. Sama ada aku yang menumpang tuahmu, atau engkau yang menumpang tuah dan kepakaranku, bukan persoalan." Dia usap kepala Jalal bagaikan arca itu mengerti kata-katanya. Mata Jalan bersinar dengan kerdipan indah.

"Jika diminta mengukir arca serupa Jalal lagi sekali, aku pasti tidak mampu melakukannya. Tidak akan sama dengan sentuhan pertama. Demikian juga seniman-seniman lain. Rakan fotografi pernah kata begitu. Sahabat pelukis juga pernah kata demikian."

Pahat kecil tajam, setajam pisau cukur ditusuk ke dada wanita itu. Keras dan liat. Dibenam lagi dengan bantuan hentaman penukul di kepala pahat. Mata pahat memantul, bilung. Dia menggeleng lesu. Peluh menitis di dahi, diseka jemari dan direnjis ke lantai. Belum cukup. Dia lerai lilitan tuala di kepala lalu mengelap bintik-bintik jernih itu sehingga kering. Tangan yang perit dan panas dibuka. Merah pada tapak serta jemari kematu itu membayang darah. Dia duduk pada birai perahu payang di belakangnya. Penutup botol air mineral dipulas, lalu diteguk semahu-mahunya. Beberapa titis mengalir ke dagu. Dibiarkan saja air itu kering sendiri.

Setiap inci ruang di bangunan agam itu dipenuhi arca. Dewan tetamu, dewan makan, dewan santai @ kreatif, ruang istirahat keluarga seluruhnya dipenuhi arca pelbagai tema, dan saiz. Mata dan mindanya difokuskan pada arca seorang lelaki berserban, berjanggut, bercermin mata melurut ke hidung, sedang membaca buku tebal, setebal kamus; serta pensel di tangan. "Jalal," dia senyum. Pada nebula mata memancar suatu harapan. Seperti kekasih, dia peluk Jalal seeratnya. Dia cium pipi Jalal kanan kiri.

ciptaan

Dia pandang bongkah kayu yang masih kasar bekas ditakik dengan kapak dan tajam-tajam di sana sini. Kayu cengal tahan air itu sudah dimasak dengan ubat anai-anai dan lain-lain makhluk perosak. Figura Ratu yang sudah dibentuk secara kasar itu diukir secantiknya sebagai ciptaan terindah dalam pertandingan arca terbesar dunia. Dia mahu jadikan Ratu ratu dalam pertandingan tersebut. Dia ukir Ratu siang malam untuk sama baik jika tidak lebih bagus, lebih halus, dan lebih seni dari Jalal.

"Keagungan sesebuah karya sastera terletak pada kehebatan jalinan kreativiti, imaginasi dan sentuhan estetika pengarangnya. Keagungan sesebuah arca terletak pada kehalusan, ketelitian dan kemahiran tangan pengukirnya." Kata-kata itu ditutur seorang negarawan yang merasmikan pameran persendirian arca Dia.

"Tidak salah dan tidak silap sedikit pun." Dia kerling Jalal. "Arca tidak akan wujud tanpa pengukirnya. Karya sastera tidak akan lahir tanpa pengarangnya. Pengarang dan pengukir ialah pencipta seni yang diberi tuhfat bakat semula jadi oleh-Nya." Dia memandang mata Jalal sambil tangan seninya mengurut janggut arca tersebut seolah-olah meningkah protes Jalal terhadap kata-kata negarawan yang seakan memperkecilkan kewujudannya tanpa pengukir.

Peluh sudah kering. Perit di tapak tangan sudah hilang. Lenguh bahu sudah kebah. Dia bangkit mengambil tukul dan pahat sekecil pemutar skru. Mata pahat itu boleh dibuat alat pengukir bunga hiasan dari timun.

Ralit dia membelek bekas yang ditebuk di dada Ratu. Di situ akan ada tiga perhiasan. Dua perhiasan semula jadi lambang keunggulan seorang wanita. Dia terbayang lukisan Mona Lisa karya Leonardo Da Vinci dengan dedahan dada agak luas. Seperti Mona Lisa dia akan mengenakan pakaian dari kain sutera halus nipis memperlihatkan hampir 70 peratus dada cantik Ratu. Perhiasan ketiga berupa seutas rantai bertatah intan dan sebiji berlian berwarna hijau sebesar buah kana di tengah, seperti ratu lebah dikelilingi askar-askar setia.

Penglihatan kian temaram. Dia melangkah ke tepi dinding menekan suis. Sinar lampu kalimantang memanjang menerangi ruang.

"Mengukir rantai bertatah intan berlian tugas hakiki pandai emas," Dia menekur alam yang semakin hitam. "Pengukir arca dan pandai emas sama-sama menggunakan kemahiran tangan dan jiwa seni yang tinggi. Bezanya hanya bahan yang diukir." Dia kembali ke sisi Ratu. Tangan kanannya mengusap kepala Ratu. Puluhan gulungan kecil sebesar ibu jari kaki panjang melepasi tengkuk, bakal diukir.

"Aku mesti jadikan Ratu hatiku ini lebih hebat dan lebih berkuasa dari segala Ratu yang memerintah negara besar, dan lebih cantik dari ratu cantik paling cantik di dunia." Nafasnya ditarik, dalam. "Aku mahu Ratu jadi ratu di hati peminat. Ratu segala arca."

Selepas mengebas tangan, Dia kembali memegang tukul di tangan kiri pahat di tangan kanan. Satu persatu biji-biji kelongsong permata diukir; ditebuk dan dicungkil serta dikais keluar reja kayu yang tanggal.

permata

Ukiran rangkaian permata di dada Ratu sudah 90 peratus siap. Perut terasa pedih menggigit tidak dihirau. Dia terus mengukir dan mengukir sehingga sampai kepada ukiran paling seni di ruang paling sempit di antara tapak kelongsong permata yang bagaikan sarang madu lebah itu, dengan kelongsong berlian di tengah.

Dia tusukkan mata pahat bersaiz sekecil mata pena, mencungkil keluar isi kayu keras dan liat itu, hati-hati. Terkial-kial Dia mengelak kecacatan.

Mata pahat berukuran setengah cm pula diguna mencungkil degil bahagian dalam yang tidak tanggal jika mengguna pahat bermata paling kecil. Dia ketuk kepala pahat dengan tukul. Sekali, dua kali dan kali entah keberapa dia ketuk tiba-tiba mata pahatnya terbenam dalam lalu melekat di antara kelongsong batu-batu permata di dada Ratu.

"Tidak." Dia tarik pahat yang terpacak di dada Ratu. Mata pahat melekat kuat. Dia gandakan kudrat. Kaki bersangga pada bongkah batu berhampiran. Pahat tidak juga tercabut. Hatinya metah sakit melihat tangkai pahat menggigil terpacak di dada Ratu. Dia rasa bagaikan dirinya sendiri yang ditusuk benda tajam itu. Dia tidak mahu Ratu sakit. Dia akan jadikan Ratu ratu seluruh arcanya.

Dalam keletihan Dia pandang mata Jalal: indah mengerdip seperti bintang pada malam hari. Dia pandang mata Ratu, suram dan tidak memberi tindak balas. "Oo," Dia angguk. Dia tahu apa yang lebih pada Jalal dan apa yang kurang pada Ratu.

Pahat yang terbenam di celahan sarang permata pada dada Ratu masih tercacak di situ. Dia membelek untuk mengetahui kenapa pahat itu tidak boleh dicabut?

Kakinya berundur selangkah. "Bengkok seperti mata kail." Dia menyelak kedua-dua lengan baju T paras siku naik ke bahu. Lengannya yang putih melepak terserlah. Dengan kekuatan kedua belah tangan dan kedua-dua belah kaki bertahan pada bongkah batu di sisi Ratu, dia tarik pahat seperti dalam pertandingan tarik tali. Dia boleh saja patahkan mata pahat itu. Namun dia tidak mahu meninggalkan selumbar di dada cantik Ratu. Dia tarik lagi pahat sekuat hati. Sekali, dua kali, tiga kali....hingga tarikan kesebelas baru nampak sedikit berganjak. Batang pahat pula bengkok. Dia tarik, tarik dan tarik lagi. Pada tarikan entah keberapa, pahat tercabut. Dia jatuh terlentang. Kepalanya terbentur ke tanah. Matanya berkelamayar. Lama dia tekup dahi dan mata dengan kedua-dua tangan. Dia ambil minuman penambah tenaga lalu mereguk dari muncung botol. Dia bangun kembali ke depan Ratu.

"Ah," dia kecewa melihat enam sarang permata yang sudah beberapa hari diukir, pecah, sompek malah tanggal dari rangkaian hampir siap. Dia usap wajah Ratu. Ada cecair merah terpalit di pipi Ratu. Dia belek kembangkan kelima-lima jemarinya. Ada garis memanjang pada sisi tapak tangan berhampiran jari kelengkeng sedang mengalirkan darah. "Ah."

Pantas dia mengambil ubat membersihkan luka, menyapu iodin dan membebat tangan dengan bandej. Sehelai tuala basah diguna membersihkan darah di pipi Ratu.

Teleng kepalanya menenang dada Ratu. Dada itu cacat. Matanya redup. Dia belai kepala Ratu. Elus leher dan dada Ratu. Tangannya yang berbalut kain bendej kekuningan dengan iodin dapat rasa dada itu bergerigis tajam dan kasar. Kelongsong kalung intan berlian yang diukirnya sudah rongak, pecah dan patah. Di lantai cebisan dan reja-reja kayu kelongsong sebesar padi bersepah di sana sini.

Dia kutip pecahan satu persatu. Cuba diletak semula pada bahagian kelongsong yang rongak dan patah. Tapi reja-reja kecil itu jatuh semula ke tanah. Dia ambil glu cuba satukan namun pantang terusik pecahan itu kembali jatuh.

"Tidak mungkin." Dia menggeleng. Dia belek dada Ratu dengan suatu kekecewaan yang hanya Dia sendiri tahu.

Dia telentangkan perahu payang. Di dalam perut perahu itu Dia baring berbantalkan kusyen kerusi lama yang sudah lusuh. Dua utas dawai ampai separuh berkarat terentang panjang di atasnya. Sehelai kain buruk pengesat tangan masih disidai di situ. Dia tarik nafas dalam-dalam. Seketika, Dia berkalih mengiring memandang ke kanan; pada Ratu yang masih ada kekurangan. Dia lihat wajah Ratu, syahdu. Hidung comel, bibir sedikit terbuka cukup manis di matanya. Mata Ratu redup dan teduh namun tidak bercahaya.

Apabila sampai pada dada Ratu, Dia memicing mata melihat kecacatan yang terjadi dari ketidaksengajaannya sendiri. Dia memikir cara mengatasi kecacatan itu. Wajarkah dibuang saja sisa rantai dan kalung itu biar dada Ratu licin dan kosong?

"Kalau kosong, hilanglah nilai dan seri Ratu. Kalau dibiarkan, cacatlah Ratu di mata peminat. Kecacatan itu sekali gus mencacati kewibawaan dan masa depanku sendiri." Dia kais peluh di dahi dengan jari telunjuk yang dilengkungkan seperti sabit lalu direnjis ke tepi.

Dia berbaring telentang di bawah cucur atap menghadap langit biru kusam dihiasi bulan purnama lima belas hari. Perlahan-lahan kelopak matanya bertaut. Dia terjaga semula apabila seekor burung murai hinggap dan becok berleter di kepala perahu sehasta jarak dari kepalanya. Entah berapa banyak nyamuk kenyang menyedut darahnya, Dia tidak sedar. Dia menggaru kaki, tangan, leher dan muka yang terasa gatal dan perit.

Dia kembali menghadap Ratu. Tiba-tiba dia teringat Marie Anto'nnete, Ratu Perancis yang memerintah negara itu pada suatu zaman dulu. Ratu Marie tidak seperti Mona Lisa mendedahkan sebahagian besar ruang dada demi sesuatu bernama kecantikan. Ratu Marie memakai pakaian lengkap dan sopan, berkolar tinggi mencecah tulang rahang. "Sebagai Ratu memerintah sebuah negara besar dia berpakaian sopan."

Bertungkus-lumus

Dia ambil kepingan kayu senipis kertas yang dikupas dengan mesin, dibuat pakaian baru Ratu. Pakaian menutup dada. Bertungkus-lumus siang malam Dia siapkan pakaian itu. Kepingan nipis itu cukup setakat pangkal leher Ratu. "Ubah pakaian Ratu jadi macam Puteri Saadong," gumamnya. Rambut Ratu dinaikkan tinggi dihias cocok sanggul berbunga goyang dan ditutupi selendang sutera nipis dari kepala menyilang ke dada.

Masa tiggal sejam. Dia berjalan ke hadapan Ratu. Ada kekurangan di situ. Dia bergegas ke kedai pandai emas, beli seutas rantai dengan tepekan sarang lebah terjuntai di tengah berhias batu-batu permata. Dia mahu meletakkan Ratu benar-benar mempunyai citra seorang ratu.

Masa penghantaran Ratu ke dewan pertandingan hanya tinggal setengah jam. Dia berjalan keliling Ratu meneliti dari segenap sudut. Mata Ratu suram tidak bermaya. Tidak seperti mata Jalal mengerdip bagaikan hidup.

Dia mahu atasi kekurangan Ratu, namun masa terlalu suntuk. Dengan pahat dan tukul kecil di tangan Dia mendekati Jalal.

"Maafkan aku." Dia usap mata Jalal. Dia kembali pada Ratu, meletakkan sesuatu pada iris Ratu. Sebelum dibungkus, Dia lihat mata Ratu berkerlip bagaikan hidup. Dia toleh Jalal, mata Jalal pula suram tidak bermaya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url