Rabecca seksi, berani, telus


Seksi, berani, telus! Itu konklusi untuk menggambarkan gadis bernama unik, Rabecca Nur Al-Islam Ahmad ini. Ya, orangnya mempunyai daya tarikan dan berani tampil seksi pada setiap kemunculan sama ada hanya untuk bersantai hujung minggu atau berpergian ke majlis.

Lalu mata siapa yang tidak akan menjeling ke arah gadis yang mempunyai senyuman manis dengan tahi lalat di atas bibir kirinya ini.

Si tinggi lampai berkulit putih mulus ini juga telus orangnya.

Tanyalah apa sahaja, dia tidak berselindung malah pasti akan menjawab setiap persoalan dengan penuh berhemah hatta pertanyaan peribadi sekalipun.

Malah saat diusik tentang namanya yang seolah-oleh tidak selari dengan penampilan diri yang berani, dia hanya tertawa.

Namun dia menegaskan, takkan hanya kerana namanya sebegitu, dia tidak boleh tampil seksi dan seusianya. Dia juga bertegas, buat apa berpura-pura andai ia semata-mata untuk membuatkan hati orang lain gembira.

“Saya hanya mahu menjadi diri saya,” tegasnya.

Lagipun kata Rabecca yang mesra disapa sebagai Becca ini, pada usianya yang masih muda beginilah dia mahu berfesyen apa adanya untuk kepuasan diri.

“Nanti kalau dah tua baru nak seksi seksi tak eloklah pula kan,” katanya sambil ketawa kecil.

Malah ujar Rabecca, bukannya dia tidak tahu ada sesetengah peminatnya yang mengutuk penampilan beraninya itu di Internet namun dia tidak mahu menghiraukannya.

Apa yang penting sekarang bagi dirinya adalah untuk menyerlahkan namanya dalam lakonan, bidang yang telah diceburinya selama enam tahun.

Ya, enam tahun dan belum ada lagi produk yang benar-benar mampu mengangkat nama gadis berbintang Taurus ini selain lebih dikenali kerana penampilan seksinya. Bukan tidak banyak drama yang dilakonkan. Kalau dikira-kira, kata Rabecca, sudah lebih 50 buah drama yang dilakonkannya.

Malah dia juga sudah mengacara dan terbukti, program Seekers yang dikendalikan selama dua musim memberikan peluang mencipta nama sebagai seorang pengacara. Dan dia juga pernah tampil di pentas teater.

Namun sehingga namanya masih belum memberi impak paling besar dalam kehidupannya sebagai seorang pelakon.

Pun begitu watak Hendon dalam pementasan teater Sirah Junjungan arahan Erma Fatima ternyata memberi satu lonjakan baru kepada dirinya sebagai anak seni. Tidak dinafikan, Hendon ditangan Rabecca sangat berkesan dan mengujakan.

“Memang impak sebagai Hendon dalam Sirah Junjungan besar. Ia memberi satu ruang dan peluang kepada saya untuk dikenali.

“Saya seronok dapat menyertai pementasan itu dan sememangnya bekerja bersama Erma Fatima adalah sesuatu yang saya nantikan. Saya banyak belajar daripadanya,” kata anak kelahiran Johor Bahru ini.

Pun begitu, Rabecca mengakui hakikat bahawa nama dan dirinya masih belum begitu menyerlah, apalagi besar dalam dunia lakonan.

Namun dia optimis. Menganggap mungkin belum rezekinya untuk dikenali ramai biarpun dia bukannya tidak pernah mengungguli watak utama dalam drama lakonannya termasuklah Gadis Kosmo yang disiarkan di TV2 pada setiap Rabu pukul 9.30 malam ketika ini.

Malah dia percaya bahawa ketika ini dia masih bertatih untuk belajar berjalan dan akan tiba masanya dia akhirnya akan sampai juga ke kemuncak. Cuma masa yang menentukan.

“Pesaing pun semakin hari semakin ramai. Lihat sahaja program realiti mencari pelakon, Pilih Kasih dan Anak Wayang,” ungkapnya.

Namun dia tidak mahu cepat mengalah dan seperti sifat seorang Taurus yang keras hati, Rabecca percaya akan tiba juga harinya untuk dia memperoleh satu watak dan produk yang mampu melonjakkan namanya sekali gus memungkinkan dia menjulang anugerah satu hari nanti.

Apa yang perlu dilakukannya adalah untuk tidak lemah semangat dan terus berusaha mendapatkan watak dan memberikan lakonan terbaiknya.

Lebih penting, pendedahan diri. Kerana kekurangan pendedahan juga menyebabkan tidak ramai produser yang mengenalinya serta memberinya peluang berlakon dalam drama terbitan masing-masing.

“Ya mungkin juga kerana saya amat jarang menyertai majlis-majlis dalam industri kerana selalu ada sahaja halangan,” tambahnya.

Seperti ketika ini, kata Rabecca, dia banyak menolak tawaran lakonan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kemalangan.

“Bukannya tidak mahu aktif tapi selepas kemalangan setahun lalu saya kerap diserang migrain. Kerana itu saya berehat sahaja dahulu,” ujarnya.

l Sudah berpunya

Selain itu, menurut gadis berusia 24 tahun ini, sejak mempunyai anak angkat, Nor Adam Daniel dia tidak mahu berenggang dengan anaknya itu.

Baginya, jantung hatinya yang sudah berusia setahun tiga bulan itu bukan sahaja mendatangkan rezeki buat dirinya malah memberinya satu kebahagiaan yang tidak terhingga.

“Melihat keletahnya yang semakin hari semakin cerdik dan nakal memang mengujakan. Kalau ikutkan hati saya memang tak mahu langsung berenggang dengannya.

“Mungkin rezeki saya dalam lakonan kurang tapi rezeki anak saya adalah untuk melihat saya menjaga dan mendidiknya.

“Tuhan telah mengatur perjalanan yang terbaik untuk hamba-Nya. Mungkin ketika ini Tuhan mahu saya meluangkan sepenuh masa dengan Adam,” jelasnya.

Memberitahu amat menyayangi kanak-kanak, kata Rabecca, kehadiran Adam melengkapkan kehidupannya.

Masakan tidak, walaupun masih muda, Rabecca tidak gerun untuk melunaskan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada seorang bayi lelaki yang diambilnya kerana si ibu tidak mahukan anak lelaki.

Tidak ramai gadis yang berani menanggung beban bergelar ibu namun Rabecca tidak. Malah dia juga tidak gentar untuk melepaskan status solonya dan sudah bersedia untuk menimang cahaya mata.

Mahu ramai anak, kata Rabecca, kerana kanak-kanak memang menjadi obsesnya sehinggakan Rabecca memberitahu boleh pening kepala jika tidak mendengar suara anak-anak.

Justeru, kehadiran Adam, melengkapkan dirinya. Namun dia juga menyimpan impian mahukan anak daripada darah dagingnya sendiri.

“Saya memang mahu kahwin muda dan memiliki ramai anak. Tahu tak, saya ini mempunyai 14 orang anak buah dan semuanya memang amat rapat dengan saya.

“Saya ini makcik kegemaran mereka. Mereka bukan sahaja manja dengan saya malah memanggil saya dengan panggilan mummy,” ceritanya.

Dan biarpun hasrat untuk berkahwin masih belum tercapai namun Rabecca tidak menafikan sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang.

Dia tidak menyorok tentang hubungannya dengan seorang lelaki berstatus duda, berusia 41 tahun dan mempunyai dua anak ini.

Biarpun belum mahu mendedahkan siapakah gerangan yang bertahta di hati namun tegas Rabecca, lelaki itu merupakan insan istimewa dalam kehidupannya.

Dan mereka sudah dua tahun mengenali antara satu sama lain. Jadi agaknya bilakah hati Rabecca akan diikat dan mimpi untuk memiliki anak seramai yang boleh akan tercapai?

Saya tanyakan itu dan katanya, dia sudah bersedia untuk menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak yang comel.

Cuma kata Rabecca sambil menyimpul senyum manjanya, “saya tunggu dia meminang. Kalau dia pinang sahaja, saya terus terima.”

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url