Cinta suci Wook


Walaupun suaminya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah jenis heroin, kasih sayang wanita berusia 106 tahun, Mek Wook Kundor terhadap suaminya, Mat Noor Che Musa, 37, tidak pernah luntur.

Perasaan itu jelas dilihat pada wajahnya yang sebak walaupun merelakan suaminya menjalani rawatan pemulihan bagi membolehkan mereka kembali melayari bahtera rumah tangga seperti pasangan lain kelak.

Seperti Wook, cinta Mat Noor terhadap isterinya juga tidak dapat disangkal apabila dilihat mencium wajah wanita itu sambil memohon maaf terhadap segala kesalahannya.

Wook berkata, dia reda dengan ketentuan Tuhan dan menganggap kejadian itu sebagai ujian dalam rumah tangga.

Katanya, dia masih sayang dan sentiasa memberi nasihat kepada suaminya supaya kembali ke pangkal jalan.

“Saya beri tasbih dan kopiah ini dengan harapan dia berzikir dan berdoa banyak-banyak memohon keampunaan Tuhan. Saya harap dia akan insaf serta jangan lupa sembahyang dan mengaji,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mat Noor ditahan sepasukan lima pegawai AADK Hulu Terengganu di pekarangan rumahnya di Kampung Tok Bak di sini, jam 2.20 petang semalam sebelum dibawa ke sebuah klinik untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan ke pejabat agensi berkenaan untuk diambil keterangan.

Seperti pasangan bahagia lain, kasih dan sayang Mat Noor nyata tidak pernah luntur terhadap wanita berkenaan apabila dia membuat permintaan terakhir mahu menemui isterinya sebelum dibawa ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, Kuala Lumpur, jam 8 malam tadi.

Pertemuan penuh syahdu itu memberi kesempatan kepada Mat Noor menyuapkan makanan kepada Wook dan suapan penuh mesra itu mungkin suapan terakhir kepada isterinya berikutan dia akan dirawat selama dua tahun.

Wook yang mengetahui Mat Noor akan berjauhan dengannya turut membekalkan peralatan ibadah seperti tasbih, kopiah dan kain pelikat dengan harapan suaminya berzikir dan berdoa memohon ampun.

Melihatkan kasih sayang mendalam Wook terhadapnya, Mat Noor akhir berlembut hati dan sedia ditemu bual wartawan yang sudah lama menunggu untuk merakamkan gambar mereka.

“Saya rasa lebih baik saya pergi menjalani rawatan (pemulihan) ini...Tiada jalan lain lagi hendak pulih dan lebih baik saya pergi dengan sukarela.

“Saya harap isteri saya (Wook) duduk baik-baik dan pandai jaga diri sepanjang ketiadaan saya. Tidak tahulah macam mana keadaannya selepas ini kerana sebelum ini pun dia banyak bergantung harap pada saya,” katanya mengakui terbabit dengan dadah akibat pengaruh rakan dan perasaan ingin mencuba.

Pada akhir pertemuan mereka, suasana penuh syahdu dan sebak apabila Mat Noor mencium Wook dan memohon maaf terhadap segala kesalahannya.

Wook berkata, dia pernah mendengar orang memberitahu suaminya menagih dadah sejak awal tahun ini, tetapi tidak pernah melihat dengan mata sendiri sehinggalah seorang rakan Mat Noor memperli dengan memberitahu ‘tauke dadah’ sudah sampai, beberapa hari lalu.

“Malam semalam (kelmarin) saya nasihat Mat Noor jangan hisap dadah, tapi dia buat tidak dengar sehinggalah dia ditangkap hari ini (semalam),” katanya.

Menurutnya lagi, banyak barangan kemas miliknya digadai Mat Noor termasuk sebuah kereta terpakai yang dibeli dengan harga RM3,500 untuk suaminya turut dijual tiga bulan lalu.

Katanya, dia sedih dengan keadaan itu dan tidak putus berdoa sehinggalah empat hari lalu hatinya tergerak untuk membuka sebuah beg lama yang masih tersimpan seutas gelang emas.

Mengimbas kisah awal perkahwinan unik mereka yang pernah disiarkan Harian Metro secara eksklusif pada 1 Mei 2006, Mat Noor berkata, seboleh-bolehnya dia tidak mahu perkahwinan mereka dihebohkan kerana dia berkahwin atas dasar kasih sayang dan kasihan.

Sebelum bertemu jodoh dengan Mat Noor pada Februari 2006, Wook pernah berkahwin dengan 20 lelaki, tetapi tidak pernah dikurniakan zuriat.

Wook ketika itu dilaporkan berkata, dia berharap sangat perkahwinannya kali ini kekal hingga ke akhir hayat.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Hulu Terengganu, Rohana Hitam, berkata kebiasaannya pihaknya hanya mengambil masa dua minggu untuk menahan suspek selepas risikan dibuat, tetapi dalam kes Mat Noor pihaknya mengambil masa dua bulan untuk menentukan kesahihan kerana tidak mahu menyusahkan Wook yang kini dijaga Mat Noor.

“Sepatutnya Mat Noor ditahan mengikut Seksyen (3)(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998 atas tuduhan memiliki dadah, tetapi dia meminta untuk menyerah diri secara sukarela dan kini ditahan mengikut Seksyen 8(3)(a) akta sama.

“Mat Noor akan dibawa ke Puspen Sungai Besi untuk menjalani pemulihan selama dua tahun dan akan dibebaskan lebih awal jika berkelakuan baik,” katanya.

Menurutnya, selepas sesi kaunseling dijalankan, Mat Noor mengakui dia pernah terjebak dengan penagihan dadah dan dimasukkan ke pusat pemulihan sebelum berkahwin dengan Wook.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Unknown
    Unknown Khamis, 9 Julai 2009 pada 4:41:00 PTG SGT

    so sweet

Add Comment
comment url