Selamat tinggal Raja Pop
Kegiatan di bandar raya ini terhenti seketika apabila keranda emas mengandungi mayat Michael Jackson dibawa dari Tanah Perkuburan Forest Lawn ke Staple Center untuk upacara penghormatan terakhir.
Keluarga Michael dan rakan rapatnya yang menghadiri majlis penghormatan terakhir tertutup di Forest Lawn yang mengambil masa kira-kira setengah jam, mengekori kereta mayat membawa keranda itu.
Konvoi 18 kereta itu diiringi polis di sepanjang jalan raya yang ditutup kepada kenderaan lain.
Sementara itu, spekulasi masih berterusan mengenai tempat persemadian terakhir ikon Raja Pop itu.
Sumber berkata, keluarganya kini berharap dapat mengebumikannya di Neverland walaupun mereka belum menerima kebenaran untuk berbuat demikian daripada pihak berkuasa.
Selepas upacara penghormatan terakhirnya, kerandanya dibawa kembali ke Forest Lawn tempat ia disimpan sejak beberapa hari lalu sementara menunggu keputusan terakhir dibuat.
Di Staples Center, kerandanya dipamerkan kepada peminatnya.
Michael mengadakan latihan terakhirnya untuk 50 konsertnya di 02 Arena di London sebelum dia mati dua hari kemudian pada 25 Jun lalu.
Kira-kira 17,500 peminatnya yang menerima tiket percuma untuk menghadiri upacara penghormatan terakhir di Staples Center itu berada di luar stadium itu sejak malam kelmarin.
Antara mereka yang membuat persembahan di majlis berkenaan, termasuk Lionel Richie, Mariah Carey, Stevie Wonder serta pelajar dari Wales, Shaheen Jafargholi, peserta pusingan akhir rancangan realiti Britain Got Talent.
Sementara itu, ikon layar perak, Elizabeth Taylor, rakan karib Michael, enggan hadir kerana memilih untuk mengingati Michael secara persendirian.
- AGENSI