‘Datuk ekspres’
Pihak yang menguruskan pemberian anugerah gelaran berkenaan kemudian memaklumkan, mereka akan menyediakan surat sokongan bagi membolehkan individu yang membuat pembayaran itu menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, pada Julai tahun depan.
Selain diumpan dengan gelaran ‘Datuk ekspres’, individu yang membuat pembayaran itu juga akan diberikan kad keahlian bagi membolehkan mereka mendapat layanan istimewa selain kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.
Kegiatan penipuan terancang itu bagaimanapun terbongkar selepas didedahkan seorang pemilik restoran, Jaspal Singh Ajaidz Singh, 36, yang mengaku ditawarkan gelaran Datuk dengan hanya perlu membayar sejumlah wang ditetapkan pihak tertentu.
Menurutnya, dia sebelum ini tertarik untuk mendapat gelaran berkenaan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Tengku J’ yang juga seorang anggota kerabat diraja Negeri Sembilan.
“Saya yang diperkenalkan seorang rakan menghubungi Tengku J dua minggu lalu sebelum mengatur temujanji dengan lelaki terbabit yang berusia lewat 60-an.
“Selepas berbual menerusi telefon, lelaki berkenaan meminta saya ke pejabatnya di Cheras di sini, yang didakwa baru beroperasi empat bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian menuruti arahan berkenaan dan menemui lelaki yang mempunyai iras wajah bekas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tunku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, namun dipercayai menggunakan gigi dan rambut palsu.
“Sewaktu berada di pejabatnya selama hampir empat jam, saya dapati bilik pejabatnya dipenuhi gambar kerabat diraja yang kononnya membuktikan dia seorang anggota kerabat istana.
“Jika tengok pada gaya percakapannya, memang kita akan percaya dengan mudah ‘Tengku’ itu boleh tolong dapatkan gelaran Datuk, malah dia juga mendakwa boleh tolong luluskan apa saja atau sebarang permohonan dengan cop rasmi dimiliki,” katanya.
Menurutnya, sepanjang perbualan itu, lelaki berkenaan memberitahu boleh menolongnya mendapatkan gelaran Datuk jika dia sanggup membayar RM20,000.
“Bagaimanapun, saya terlebih dulu dikehendaki membayar wang pendahuluan RM5,000 dengan memasukkannya ke akaun bank lelaki berkenaan. Lelaki terbabit mendakwa, sebaik wang berkenaan dibayar, dia (Tengku J) akan memberikannya kad keahlian dan lencana kerabat diraja Negeri Sembilan.
“Dia mendakwa kad keahlian itu membolehkannya mendapat pelbagai keistimewaan sama seperti kerabat diraja selain membolehkannya kebal daripada tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan,” katanya.
Jaspal berkata, Tengku J turut mendakwa wang terbabit akan digunakan untuk menempah meja pada majlis santapan diraja yang akan berlangsung di Hotel Palace of The Golden Horses di sini pada 25 Oktober depan.
“Bagi menarik perhatian saya, lelaki berkenaan juga mendakwa akan memberi surat sokongan untuk dapatkan gelaran Datuk yang diidamkan selain jaminan cita-cita itu akan tercapai.
“Berikutan itu, saya segera mengisi borang khas disediakan selain memberikan salinan fotostat MyKad kepada lelaki berkenaan. Lelaki itu kemudian memberi nombor akaun dan meminta wang pendahuluan RM5,000 dimasukkan segera ke akaunnya,” katanya.
Pemilik restoran itu berkata, dia yang mula berasa tidak sedap hati kemudian meminta nasihat rakan baiknya yang juga, Penganalisis Jenayah, Kamal Effendi Hashim, berhubung kesahihan tawaran mendapatkan gelaran Datuk dengan hanya perlu membayar RM20,000.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila Kamal memberitahu tawaran itu satu bentuk penipuan sama seperti beberapa kes seumpamanya sebelum ini dan menasihatkan saya tidak membayar wang diminta.
“Justeru, saya tidak memasukkan wang seperti disuruh menyebabkan Tengku J menghubungi saya dan bertanya mengenai wang terbabit tapi saya beritahu akan membayar terus RM20,000 pada September depan,” katanya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak terpedaya dengan penipuan licik berkenaan, apatah lagi sepupu Tengku berkenaan turut mempelawanya menyertai skim pelaburan dinar Arab.
- HARIAN METRO