Peluang pasaran kerja kompetitif global
Kemelesetan ekonomi sering kali menyaksikan fenomena peluang pekerjaan yang turut merudum. Ramai yang berdepan dengan situasi diberhentikan kerja, ditawarkan untuk berhenti kerja atau terpaksa berhenti kerja kerana syarikat gulung tikar.
Namun dalam situasi Malaysia, peluang pekerjaan masih terbuka dan bukan berada pada tahap kritikal.
Bagaimanapun persaingan sengit untuk mendapatkan kerja semakin ketara kerana setiap kerja meletakkan kriteria yang tinggi untuk dipenuhi. Bagi golongan pencari kerja, ramai yang masih tercari-cari peluang terbaik tetapi tidak tahu saluran yang betul untuk berbuat demikian.
Menyedari hakikat itu, Bahagian Alumni dan Perkhidmatan Kerjaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengorak langkah dengan menganjurkan Karnival Kerjaya Antarabangsa 2009 selama tiga hari bermula esok, 31 Julai.
Karnival bertemakan "Peluang Global untuk Tenaga Kerja yang Kompetitif" itu merupakan platform kepada syarikat dan organisasi antarabangsa untuk mendapatkan tenaga kerja daripada golongan graduan dan berpengalaman yang datang dari pelbagai bidang dan kemahiran.
Pengarah Bahagian Alumni dan Perkhidmatan Kerjaya UIAM, Prof. Madya Dr. Nor Faridah Abdul Manaf berkata, pelbagai program seperti pameran kerjaya, bengkel kerjaya, temuduga syarikat dan ceramah kerjaya diatur sepanjang karnival tersebut.
"Saya rasa mungkin menjadi kemestian untuk mengunjungi karnival ini terutama kepada mereka yang berminat untuk mengembangkan bakat secara global dan bekerja di dalam suasana antarabangsa,'' katanya kepada Utusan Malaysia yang menjadi "Rakan Media" untuk karnival berkenaan.
Menurut Nor Faridah, pihaknya yakin karnival itu sangat bermanfaat untuk memberi peluang meneroka peluang pekerjaan di dalam dan luar negara selain membantu mengembangkan prospek kerjaya.
Selain itu katanya, karnival itu juga diharap memberi peluang untuk syarikat antarabangsa untuk mengakses bakat-bakat mahir dari Malaysia dan mendedahkan UIAM, alumni universiti dan kolej serta graduan Malaysia kepada pasaran kerjaya antarabangsa yang lebih kompetitif.
"Penganjur berharap karnival ini akan memberi informasi terkini kepada para graduan berkaitan dengan peluang kerja, kehendak pasaran dan juga penerangan realistik berkaitan dunia pekerjaan.
"Ia juga bermatlamat menyokong kehendak global dalam memartabat dan memantapkan pembangunan modal insan selain membina hubungan kukuh antara industri, organisasi swasta, badan kerajaan dan ahli akademik,'' jelas Nor Faridah.
Kata beliau, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung daripada kalangan pekerja yang mempunyai antara dua hingga lapan tahun pengalaman, selain graduan IPTA dan IPTS selain organisasi kerajaan dan swasta.
"Selain pameran dan temuduga, karnival itu turut menyediakan bengkel kerjaya termasuk klinik resume, klinik temuduga, grooming dan lain-lain.
"Kami juga menyediakan ujian kerjaya untuk menentukan minat dan pekerjaan yang bersesuaian dengan para pemohon. Khidmat nasihat juga akan diberikan oleh kaunselor yang bertauliah,'' katanya lagi.
Berbeza dengan karnival kerjaya lain, karnival berkenaan turut menyediakan sesi ceramah bersama ibu bapa. Sesi itu akan menyaksikan ibu bapa diberi panduan berkaitan Career Talk Parenting oleh para profesional. Selain itu, sesi ceramah untuk para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkaitan peluang biasiswa dan peluang untuk melanjutkan pelajaran juga disediakan pada karnival berkenaan.
"Paling penting dan ditunggu-tunggu ialah ucaptama oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pukul 10 pagi, Jumaat ini,'' tegasnya.
Orang ramai boleh hadir ke Pusat Pameran Mid Valley pada Jumaat hingga Ahad ini bermula pukul 10 pagi untuk menyertai program-program berkenaan secara percuma.
Keterangan lanjut mengenai karnival itu boleh didapati dengan melayari laman web http://www.iiu.edu.my/icc09
- UTUSAN