Ilmu CPR di setiap rumah
Ia menyebabkan panik dan kadang-kala berlaku tindakan di luar kawalan yang mungkin boleh memudaratkan.
Kecemasan yang paling menakutkan boleh berlaku di rumah kita apabila salah seorang daripada ahli keluarga menghadapi masalah kesihatan yang menyebabkan mereka berhenti bernafas dan jantung tidak berdenyut.
Mereka memerlukan satu bantuan kecemasan yang dipanggil pemulihan pernafasan dan jantung iaitu CPR (cardiopulmonary resuscitation).
Kursus CPR untuk penduduk perumahan Desa SBJ Dewan Beta, Kota Bharu yang telah dianjurkan oleh AJK perumahan dengan kerjasama Hospital USM pada 29 Mei lalu menjadi contoh pendekatan memperkasakan orang ramai dengan ilmu bantuan kecemasan.
Satu Rumah, Satu CPR
Ini merupakan satu konsep di mana sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga di setiap rumah tahu bagaimana untuk melakukan CPR.
Ini penting kerana kecemasan boleh berlaku di rumah dan jika ada yang tahu untuk membantu, nyawa orang yang tersayang mungkin dapat diselamatkan.
Ia juga menyahut cabaran yang pernah disuarakan oleh persatuan akademik profesional antarabangsa seperti Persatuan Jantung Amerika yang menyatakan bahawa cabaran terbesar adalah untuk menggalakkan orang awam bersama-sama mempelajari dan tahu melakukan CPR.
Sejarah
Sejarah telah menunjukkan berbagai kaedah telah dicuba oleh manusia untuk tindakan kecemasan sejak 1770 lagi.
Antara kaedah yang pernah digunakan ialah menterbalikkan mangsa dengan keadaan kaki ke atas, menggelek di atas tong, menarik lidah dan sebagainya.
Bagaimanapun, bermula tahun 1973, kaedah CPR telah diperkenalkan dan semenjak daripada itu, berbagai-bagai kajian dilakukan secara saintifik untuk membuktikan keberkesanan CPR dan bagaimana untuk menambah baik kaedah CPR.
Pada 2005, CPR telah dipermudahkan untuk orang awam dan dijangka pada 2010, CPR akan menjadi lebih mudah dilakukan dengan keutamaan diberikan pada tekanan dada (chest compression) sahaja (tanpa bantuan pernafasan mulut ke mulut).
Masa untuk CPR
CPR hanya dilakukan apabila seorang mangsa berhenti bernafas dan jantungnya juga tidak berdenyut.
Justeru itu, CPR tidak boleh dilakukan kepada mangsa yang pitam, pengsan, hipoglisemia (rendah gula dalam darah), angin ahmar (strok) dan sebagainya selagi mereka masih bernafas dan jantung masih berdenyut.
Jika CPR dilakukan juga, ia boleh menjejaskan rentak denyut jantung dan dikhuatiri memudaratkan lagi keadaan mangsa.
Kematian
Kematian secara umumnya ditakrifkan sebagai keadaan di mana mangsa tidak bernafas dan jantung tidak berdenyut.
Ia boleh dibahagikan kepada 2 fasa:
1) Kematian klinikal yang bersifat sementara
2) Kematian biologikal yang bersifat kekal
Kematian klinikal berlaku dalam tempoh empat (4) hingga enam (6) minit pertama ketika jantung dan nafas mula-mula terhenti.
Jika tiada sebarang bantuan diberikan dalam tempoh masa ini, sel-sel otak akan mula mati dan jika ia berterusan sehingga 10 minit, mangsa tersebut akan memasuki fasa kematian biologikal yang bersifat kekal.
Ketika ini, tiada sebarang bantuan yang dapat membantu untuk menyelamatkan mangsa.
Objektif CPR ialah untuk mengelakkan kematian sel-sel otak dan menghalang mangsa daripada memasuki fasa kematian biologikal yang bersifat kekal.
Faktor-faktor yang menentukan mangsa terselamat atau tidak:
(1) Ada orang yang melihat kejadian tersebut dan tindakan susulan yang betul diambil
(2) Kualiti bantuan hayat yang diberikan
(3) Renta denyut jantung ketika kejadian. Rentak 'ventricular fibrillation' mempunyai peluang yang lebih baik.
(4) Umur, kanak-kanak mempunyai peluang yang lebih baik daripada orang tua
(5) Penyakit-penyakit lain seperti angin ahmar, diabetes dan jangkitan kuman dalam darah
Kualiti bantuan hayat
Bantuan hayat yang berkualiti memberi penekanan kepada berapa cepat bantuan CPR dapat diberikan kepada mangsa.
Dalam konteks ini, masa itu emas dan sangat berharga. Semakin cepat bantuan CPR dapat diberikan, semakin tinggi kualiti bantuan hayat tersebut dan semakin tinggi peluang untuk menyelamatkan mangsa.
Selain daripada itu, teknik CPR yang betul juga merupakan satu kualiti penting dalam bantuan hayat.
Teknik bantuan mulut ke mulut dan tekanan dada dalam nisbah 2 :30 adalah teknik terkini dan terbukti secara saintifik.
Tekanan dada juga memerlukan tekanan yang agak kuat dan cepat (push hard, push fast) dan dilakukan secara terus menerus.
Elakkan sebarang gangguan dan CPR hendaklah dilakukan secara berterusan sehingga kita kepenatan atau ada orang yang boleh membantu.
Justeru itu, semakin ramai yang tahu melakukan CPR, semakin tinggi kualiti CPR yang dapat diberikan kepada mangsa atau keluarga tersayang jika berlaku sebarang kecemasan.
Faktor penting yang turut menentukan kualiti bantuan hayat ialah berapa cepat bantuan defibrillasi dapat diberikan kepada pesakit.
Defibrilasi ini dapat dilakukan dengan pantas sekiranya terdapat Defibrilasi Eksternal secara automatik atau AED (Automated external defibrillator).
AED sebenarnya direka untuk digunakan oleh orang awam agar bantuan hayat yang berkualiti dapat diberikan secepat mungkin.
Mempelajari CPR
Kursus CPR dikendalikan oleh banyak pihak seperti Jabatan Kecemasan hospital, Persatuan Perubatan Kecemasan Malaysia (MAEM), Persatuan Trauma dan Perubatan Kecemasan Malaysia (MASTEM), badan bukan kerajaan seperti St. John Ambulan, Persatuan Bulan Sabit Merah dan sebagainya yang bertauliah.
Oleh itu, ambil peluang menyertai kursus bantuan kecemasan yang diadakan pihak terbabit atau bertanya kepada pihak berkaitan mengenai program latihan mahupun sukarelawan untuk membantu dalam situasi kecemasan.
Bersama jayakan konsep Satu Rumah, Satu CPR supaya bantuan hayat yang sempurna dapat diberikan kepada yang memerlukan, dengan segera.
- MINGGUAN