Kematian penduduk Uighur meningkat

Polis China menembak mati dua penduduk keturunan Uighur dalam kekacauan terbaru di Xinjiang, semalam.

Radio kerajaan melaporkan, polis cuba menghalang mereka daripada menyerang seorang lagi warga Uighur apabila pihak keselamatan campur tangan. Seorang penduduk Uighur turut cedera.

Selain kejadian itu, rata-rata keadaan di Urumqi sudah hampir pulih seperti sedia kala dan kedai serta jalan raya dibuka walaupun masih dikawal anggota keselamatan.

Langkah keselamatan semakin dikurangkan dan tidak ada kereta perisai kelihatan seperti sebelum ini selepas rusuhan paling dahsyat 5 Julai lalu, mengorbankan 184 orang dan mencederakan 1,680 orang.

Daripada lebih 900 orang yang masih berada di hospital, 74 orang mengalami kecederaan parah, lapor agensi berita Xinhua.

Kereta perisai yang sebelum ini ditempatkan di Peo-ple’s Square sudah tiada lagi tapi anggota polis masih melakukan kawalan.

Sekumpulan kecil anggota separa polis dengan perisai ditempatkan di persimpangan jalan dan helikopter mengelilingi kawasan berkenaan, tetapi sebahagian besar pasar Grand Bazaar sudah dibuka.

Di daerah masyarakat Ui-ghur, lebih banyak kedai dibuka semula, peniaga buah-buahan mula menjual semula buah pic, tembikai dan pekerja restoran mengatur meja di bawah pokok rendang untuk pelanggan.

Keganasan berlaku apabila masyarakat Uighur yang membantah kematian pekerja kilang dalam pergaduhan di selatan China bertempur dengan polis di Urumqi. Keadaan itu mencetuskan huru hara di sekitar bandar berkenaan dan masyarakat China daripada etnik Han turut diserang.

Pada hari berikutnya, masyarakat Han pula membanjiri jalan raya dengan membawa batu bata, belantan dan parang dengan hasrat untuk membalas dendam. - Agensi

Xinhua memberitahu, anggota polis melakukan pemeriksaan di dalam bas untuk mencari suspek yang terbabit dalam keganasan itu.

Akhbar Global Times yang ada kaitan dengan akhbar harian komunis di sini semalam menyiarkan laporan muka depan bagi mengecam Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berikutan kenyataannnya yang menyamakan situasi di Xinjiang itu dengan pemusnahan bangsa.

Beribu-ribu rakyat Turki menunjuk perasaan di Istanbul kelmarin bagi mengutuk keganasan di Xinjiang dan menggesa kerajaan mereka supaya masuk campur bagi melindungi masyarakat Uighur Muslim di sana.

Turki berkongsi ikatan etnik dan budaya dengan masyarakat Uighur yang bertutur bahasa Turki dan kerajaannya melahirkan kebimbangan mengenai layanan pihak berkuasa China terhadap Uighur berikutan rusuhan itu.

Masyarakat Uighur, yang berjumlah seramai sembilan juta di Xinjiang, mengadu mengenai kemasukan beramai-ramai masyarakat China Han dan sekatan yang dikenakan oleh kerajaan terhadap agama Islam.

Mereka menuduh masyarakat Han melakukan diskriminasi dan Parti Komunis cuba memansuhkan budaya dan bahasa mereka.

- Reuters/AP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url