Kirim soalan berbentuk video ke 1Malaysia

Datuk Seri Najib Razak mempelawa orang ramai untuk menghantar pertanyaan mereka kepadanya menerusi rakaman video ke laman web 1Malaysia, sekali gus menjadikannya lebih interaktif.

Perdana Menteri berkata, pelawaan itu dibuat sejajar usaha beliau menjadikan blognya, 1Malaysia.com.my lebih mesra pengguna serta boleh diakses sekerap mungkin oleh semua rakyat Malaysia.

“Untuk membolehkan anda ikut serta, anda hanya perlu merakamkan video pertanyaan anda, muat naikkan rakaman itu ke laman web pengehosan media dan e-mel pautan terbabit ke najib@1malaysia.com.my.

“Anda juga boleh menghantar video terus melalui e-mel. Saya akan membuat beberapa pilihan video ini dan membalasnya.

“Oleh kerana saya suka jika dapat menyapa orang yang akan saya berikan jawapan dengan panggilan namanya, saya harap anda dapat memperkenalkan diri anda dalam video terbabit,” katanya dalam blog itu di bawah tajuk ‘Sesi S&J Dalam Video’, semalam.

Perdana Menteri juga meminta mereka meringkaskan soalan dan bertanya dengan tepat serta padat (kurang daripada satu minit).

“Saya bercadang menghantar video respons saya pada awal bulan ini dan dari semasa ke semasa selepas itu. Pastinya saya sedang menunggu menjawab sebarang pertanyaan daripada anda semua,” katanya.

Beliau berkata, matlamatnya ialah memastikan perbincangan di 1Malaysia.com.my dapat diteruskan dengan cara yang sihat, sama ada antara rakyat dengan beliau atau di kalangan pengunjung serta penyumbang kepada dialog terbabit.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url