Memey selepas dihina


Gedik, kacau laki orang! Itulah gambaran kasar orang ramai apabila menyebut nama pelakon, Memey Suhaiza.Manakan tidak, sejak tuduhan berkhalwat dengan aktor Norman Hakim pada 30 Oktober lalu, wanita ini mula dipandang serong.

Yalah... masyarakat kita hari ini amat sensitif dengan berita-berita seperti itu.

Habuan yang diterima oleh Memey ialah sebuah cercaan dan hinaan. Bukan mudah sebenarnya menjadi artis apatah lagi bintang yang baru menyinar seperti Memey.

Malah kalau nak ikutkan lebih dari perkataan “gedik” itu diterimanya.

Tapi apa nak buat, sudah ditakdirkan begitu. Biar apa pun hinaan orang, wanita ini terpaksa meneruskan kerjayanya demi sesuap nasi.

Percaya atau tidak apa yang hendak saya katakan ini? Sebelum kejadian tersebut tidak ada seorang pun yang pedulikan siapa itu Memey?

Tiada ada yang ambil kisah pun berapa banyak drama yang sudah dia lakonkan.

Tapi hari ini nama Memey naik mencanak. Dia boleh diibaratkan seperti graf di pasaran saham. Sayangnya populariti berlaku kesan daripada kisah sensasi yang sebolehnya cuba dijauhi oleh setiap mereka yang bergelar artis.

Apa nak buat, sudah nasib badan. Kehidupan Memey sudah diuji sebegitu rupa dan tentunya dia perlu menempuhi ujian itu dengan tenang.

Kalau ditanya perasaan Memey sendiri, dia memang tak mahu popular dengan cara itu. Apatah lagi membabitkan individu yang sudah berumahtangga.

Tetapi ke mana dia hendak pergi, di mana dia hendak membawa diri?

Sejuta batu sekalipun wanita ini berlari, masalah tidak akan lenyap sebaliknya dia terpaksa berhadapan dengan kenyataan dirinya menjadi buah mulut masyarakat.

“Memanglah semasa kejadian saya sukar membawa diri. Puas menahan malu akibat hinaan orang tetapi saya tetap kuatkan semangat.

“Saya fikir juga ke mana saya boleh lari? Lagipun cita-cita saya untuk melibatkan diri dalam bidang seni sedang berkembang di saat peristiwa malang itu terjadi.

“Situasi itu membuatkan saya terpaksa juga menerima kenyataan untuk berhadapan dengan masyarakat walaupun malu tidak terhingga,” kata wanita berusia 21 tahun ini.

Tetapi lama-kelamaan Memey menganggap kejadian berkenaan sebenarnya menjadi pembakar semangat agar dia lebih kuat.

Kuat dalam erti kata dia mampu berhadapan dengan macam-macam ujian yang mungkin berlaku selepas ini.

Bukan apa, sebagai pendatang baru, Memey merasakan bukan mudah menjadi seorang artis jika tidak dibekalkan dengan senjata berupa sebuah kekuatan.

Dek kerana kekuatan dan pengalaman itulah yang “menghidupkan” semula manusia bernama Memey ini.

Apabila keadaan menjadi semakin reda, dia memperoleh banyak tawaran berlakon.

Jika sebelum peristiwa itu boleh dikira dengan sebelah jari. Tidak banyak peluang yang diperoleh Memey berbanding hari ini.

Menarik nafas lega selain meluahkan rasa syukur, itu semua adalah hadiah daripada Yang Esa berkat kesabaran dan ketabahannya menempuh pengalaman pahit itu.

“Percaya atau tidak, saya mendapat banyak tawaran berlakon. Pada mulanya saya bimbang mungkin tidak ada orang yang akan mempercayai bakat saya lagi.

“Saya juga takut tidak lagi dibenarkan muncul di mana-mana stesen televisyen. Tapi alhamdulillah, Tuhan membuka jalan seluasnya untuk saya atas kesabaran akibat tekanan itu,” ujarnya.

Katanya, di sebalik kisah itu rupa-rupanya ada hikmah tersembunyi yang Memey sendiri tidak tahu. Itulah keistimewaan yang dia dapat gara-gara ujian yang telah mencalarkan jiwanya itu.

Memey baru sahaja selesai penggambaran drama 20 episod iaitu Puteri Arora Beradu selain beberapa drama lain seperti Cinta Balqis.

*Bukan kerana sensasi

Tidak dinafikan ada yang beranggapan populariti yang diraih Memey hari ini bukan kerana kerja kerasnya tetapi gara-gara mendung hitam itu.

Saat ditanya dakwaan tersebut, sambil mengukir senyuman manis Memey berkata dia tidak melihat populariti akibat kontroversi menjadi punca.

Sebaliknya Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi melihat perubahan bakat yang ditonjolkan menjadi penyumbang kepada jumlah tawaran berlakon yang semakin banyak daripada syarikat produksi.

“Orang boleh kata saya popular kerana kes dengan Norman Hakim tetapi saya tidak menganggap kejadian itu faktornya.

“Sebaliknya bakat yang saya tonjolkan menampakkan perubahan. Tidak seperti saya mula-mula terlibat dalam dunia seni dulu.

“Kerana pencapaian itu saya percaya ia membuatkan syarikat produksi mula menaruh keyakinan terhadap saya untuk menawarkan watak-watak penting dalam drama yang mereka terbitkan,” ujarnya.

Menyingkap kemunculan awalnya dulu, Memey mengucapkan terima kasih kepada sepupunya Darling Ngasri kerana memberi peluang kepadanya untuk bergelar bintang.

Daripada seorang pelakon tambahan, Memey hari ini sudah diberi kepercayaan memegang watak-watak utama.

Perkembangan itu amat memberangsangkan kerana kejayaan yang dicipta adalah hasil usahanya bersungguh-sungguh untuk terus terlibat secara serius sebagai seorang pelakon.

Tidak menganggap dirinya sudah berjaya sebaliknya Memey berjanji akan terus berusaha memperbaiki dirinya dalam bidang lakonan.

*Komen soal kahwin

Sebelum ini bertiup kencang angin Timur Barat yang membawa khabar kononnya Memey dan Norman akan memeterai hubungan mereka untuk bergelar suami isteri.

Ketika ditanya soalan itu, Memey tersenyum manja. Ya manja!

Mungkin kerana sikap manja itulah yang membuatkan lelaki mudah cair dengannya.

Mungkin kerana sifat-sifat itu membuatkan si dia pun ada perasaan terhadapnya. Siapa tahu?

Jawapan yang ringkas daripada mulut wanita ini mengenai persoalan itu mudah saja iaitu mereka masih belum ke tahap memikirkan soal tersebut.

“Masih terlalu awal nak cakap soal kahwin,” katanya ringkas.

Tapi dari raut wajah dan renungan matanya menggambarkan hati Memey sebenarnya sudah terpaut kepada si dia.

Manakan tidak, telefon bimbitnya juga turut meletakkan gambar Norman yang mungkin menjadi pengubat hati yang lara.

“Soal kahwin terlalu awal untuk ditafsirkan. Tapi kalau jodoh tu ada, bila pun akan kahwin,” katanya.

Ditanya sejauh manakah hubungannya dengan Norman, tanpa mahu bersembunyi Memey mengaku buat masa ini dia memang senang berkawan dengan lelaki itu.

Memey secara jujur turut memberitahu tiada orang lain dalam hidupnya sebaliknya seorang duda bernama Norman.

Walaupun ada keserasian di antara mereka tetapi untuk membuat keputusan berkahwin bukannya mudah.

Malah Memey juga tidak mahu terburu-buru sama ada untuk berkahwin ataupun bertunang terlebih dahulu. Bukan apa, buat masa ini mereka dalam proses untuk mengenali hati budi selain memikirkan soal berumah tangga.

Kata Memey, kahwin mungkin mudah tapi tanggungjawab yang bakal dia pikul sebenarnya tidak semudah yang difikirkan.

“Tanggungjawab sebagai isteri agak berat. Kalau ada jodoh saya dengan Norman, anak-anaknya juga perlu menjadi sebahagian daripada hidup saya.

“Dalam masa yang sama juga saya perlu memberi perhatian yang lebih kepada suami dan rumah tangga sedangkan ketika ini saya mahu serius dalam bidang seni.

“Tetapi saya mengaku buat masa ini saya lebih selesa untuk keluar dengan Norman kerana dia bukan lagi suami orang,” katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url