Monyet Michael Jackson masih hidup


Peminat fanatik Michael Jackson pastinya masih ingat di mana suatu ketika dulu raja pop tersebut kerap ditemani oleh seekor chimpanzi (daripada keluarga monyet) yang diberi nama Bubbles.

Namun selepas beberapa ketika haiwan tersebut tidak pernah lagi dilihat muncul di sisi Jackson dan dipercayai sudah mati.

Bagaimanapun Bubbles yang kini sudah berusia 26 tahun sebenarnya masih hidup dan dijaga dengan baik di pusat perlindungan haiwan di Wauchula, Florida.

Berikutan kematian raja pop itu, pegawai di pusat tersebut telah membenarkan jurukamera TV merakamkan kegiatan Bubbles bagi membuktikan ia masih hidup.

Bagaimanapun mereka berkata, haiwan tersebut tidak akan dibenarkan menghadiri upacara pengkebumian penyanyi itu.

Pengarah pusat tersebut, Pati Ragan berkata, cara terbaik bagi memberi penghormatan kepada Jackson ialah dengan menjaga baik 'rakan' baiknya itu.

"Saya percaya dia sangat menyayangi Bubbles," katanya.

- AGENSI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url