Top Ad 728x90

,

Pastikan kualiti hidup meningkat

Peningkatan taraf kualiti hidup rakyat merupakan indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) paling penting dicapai dalam setiap program dan projek yang dilaksanakan oleh jentera perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Beliau memberitahu, terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian oleh anggota perkhidmatan awam iaitu mendengar harapan masyarakat, melaksanakan pembangunan secara revolusi agresif dan membuat pemantauan dengan sentiasa turun padang.

''Anggota perkhidmatan awam juga perlu menilai setiap kejayaan sesuatu program atau projek menerusi pencapaian peningkatan sosio ekonomi rakyat,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar 1Malaysia: Kecemerlangan Melalui Kepelbagaian anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Jabatan Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Sebanyak 500 peserta terdiri daripada anggota perkhidmatan awam, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam menyertai seminar selama tiga hari sehingga Khamis ini.

Seminar itu secara terperinci mengupas lapan nilai dalam konsep 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Mohd. Sidek memberitahu, perkhidmatan awam telah melalui pelbagai transformasi dan perubahan iaitu sebagai pembuat peraturan, pemudah cara dan pembawa pemodenan.

Beliau bagaimanapun menegaskan, dalam menyahut perubahan tersebut satu perkara harus dikekalkan iaitu anggota perkhidmatan awam akan selamanya menjadi penjaga kepada kepentingan rakyat.

''Apabila keuntungan menjadi matlamat akhir pihak-pihak lain, perkhidmatan awam akan terus kekal sebagai tonggak untuk memastikan matlamat kesejahteraan sosial menjadi keutamaan dalam usaha-usaha pembangunan serta pelaksanaan dasar-dasar negara,'' katanya.

Tambah beliau, sejauh mana signifikan dan relevannya anggota perkhidmatan awam akan dinilai oleh rakyat berdasarkan komitmen memegang amanah tersebut dan keberanian memastikan keadilan sosial terus terpelihara.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90