Pelan baru DiGi perkukuh hubungan keluarga


DIGI Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) memperkenalkan DG Family Plan yang menawarkan kepada pelanggan pasca bayar keanjalan untuk memasukkan sehingga tiga talian prabayar tambahan dalam satu bil.

Ketua Produk dan Pemasaran Bersegmennya, Albern Murty, berkata selain memudahkan ibu bapa memasukkan debit ke dalam pelan prabayar DiGi anak-anak mereka, pelanggan DG Family Plan juga boleh membuat panggilan, SMS dan MMS tanpa had sesama mereka bila-bila masa di mana saja di Malaysia.

“Kami mengambil pendekatan bersegmen ini selepas mendengar maklum balas pelanggan, khususnya ibu papa yang mahukan pakej yang membolehkan perbelanjaan keluarga diuruskan dengan baik, boleh menambah nilai talian prabayar anak-anak secara automatik setiap bulan, selain menawarkan tambah nilai menarik.

“Ibu papa juga kini boleh mendapat sedikit kelegaan kerana akan menerima secara automatik isyarat berjaga-jaga akan lokasi anak-anak,” katanya sambil menambah talian pasca bayar, iaitu talian prinsipal itu boleh dipilih dikalangan DiGi 50, DiGi 150 dan DiGi 250.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengumumkan pelan terbaru itu di Shah Alam, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pascabayar Untuk Produk dan Pemasaran DiGi, Moharmustaqeem Mohammed dan Ketua Prabayarnya, Ronnie Chooi.

Murty berkata, selain panggilan, SMS dan MMS percuma di kalangan ahli keluarga DG Family Plan, mereka juga menikmati kadar panggilan rata serendah 10 sen seminit dan 1 sen setiap SMS kepada pelanggan DiGi lain.

Beliau berkata, sebagai tambahan pelanggan juga boleh melanggan DG Family PA yang menawarkan perlindungan insurans kemalangan sehingga RM100,000 sekeluarga pada bayaran RM15 sebulan.

Pada majlis sama segmen prabayar DiGi turut memperkenalkan ‘Hit RM1’ yang mana apabila SMS pelanggan mencecah RM1, ia secara automatik layak menikmati keistimewaan tertentu.

Murty berkata, keistimewaan itu ialah panggilan domestik 12 sen seminit ke semua rangkaian berbanding 36 sen seminit pada kadar biasa, caj 1 sen bagi setiap SMS dikalangan talian DiGi dan caj 1 sen/kb bagi pengguna Internet dengan had sehingga RM5 sehari.

Mengenai prestasi suku kewangan kedua, beliau berkata segmen pasca bayar menyumbang 25 peratus kepada pendapatan kumpulan itu pada suku berkenaan, manakala selebihnya disumbangkan segmen prabayar.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url