Pelancongan kereta api khas diperkenal

Kementerian Pelancongan akan memperkenalkan pelancongan kereta api khas dari Singapura ke Kelantan untuk membolehkan rakyat negara itu merasai pengalaman baru tinggal perkampungan Melayu menerusi menerusi program homestay di negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata pada dasarnya kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee keat baru-baru ini, untuk memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, pelancongan homestay bukan saja dapat meningkatkan kehadiran pelancong ke negara ini, malah pada masa sama boleh membangunkan ekonomi luar bandar khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Homestay kini bukan lagi satu jenis penginapan seperti dulu, sebaliknya ia adalah satu gaya hidup perkampungan di mana pelancong berkenaan tidak boleh mendapatkannya di mana-mana termasuk di bandar besar atau di negara lain seperti Singapura.

"Di Kelantan, kita mempunyai 134 rumah yang terbabit dengan program homestay dan kita akan mengaturkan pelbagai aktiviti termasuk menoreh getah, melawat dusun dan melakukan kerja kampung selain aktiviti kebudayaan yang pastinya pengalaman ini sukar dilupai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama 44 Pengarah Tourism Malaysia di luar negara, di sini semalam.

Katanya, pihaknya sudah mengarahkan pengarah yang bertanggungjawab mengenai Singapura untuk menaiki kereta api dari negara itu ke Kelantan bagi merasai sendiri pengalaman menjadi pelancong menerusi pengangkutan berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia akan mewujudkan program kerjasama dengan negara yang memiliki nilai sejarah, budaya dan kemudahan jaringan bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negara ini, pada masa depan.

"Kita memilih Melaka untuk digandingkan bersama Belanda, Pulau Pinang (England) dan Kelantan digandingkan bersama Singapura," katanya.

Dr Ng berkata, berkata, program berkenaan adalah sebahagian langkah kreatif dan inovatif yang dirancang kementerian itu bagi menangani situasi kemerosotan kehadiran pelancong berikutan kelembapan ekonomi dan penularan wabak influenza A (H1N1).

Beliau berkata, Jun lalu, jumlah pelancong dari China menurun sebanyak 20 peratus, Jepun (22 peratus), Taiwan (15 peratus), Korea Selatan (16 peratus), Arab Saudi (46 peratus) dan Emiriah Arab Bersatu menurun sebanyak 36 peratus.

Katanya, pihaknya mengarahkan 44 Pengarah Tourism Malaysia di luar negara menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keputusan Utama (KRA) bagi memastikan hala tuju mereka tercapai.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url