Akhil Hayy sah cerai talak satu


Penyanyi, pengacara dan penceramah bebas, Akhil Hayy sah bercerai talak satu dengan isterinya, Maizawati Zainal, 33, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, selepas 43 hari proses rundingan secara sulh.

Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai, 40, membacakan lafaz perceraian di hadapan Hakim Syarie, Mohd Ridzuan Mohd Yusof selepas bekas isterinya, Maizawati bersalam dan cium tangan tanda memohon kemaafan.

Lafaz dibuat selepas hakim mengesah dan merekodkan terma perjanjian dituntut plaintif (Maizawati) berhubung harta sepencarian dan hak penjagaan empat anak mereka.

Ketika prosiding, peguam Maizawati, Zulkifli Che Yong memberitahu mahkamah hasil rundingan itu, kedua-dua pihak bersetuju memohon untuk bercerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Syariah Perak 2004 iaitu kebenaran bercerai secara baik.

"Kedua-dua pihak percaya di atas dasar tiada lagi kesefahaman dan perkahwinan berpecah-belah, hubungan mereka sukar untuk dibaik pulih.

"Justeru, plaintif memohon defendan melafazkan cerai dan kedua-dua pihak sudah menandatangani (dokumen) hak perceraian selepas keputusan mahkamah direkodkan," katanya.

Hakim Mohd Ridzuan kemudian mengingatkan kedua-dua plaintif dan defendan bermuhasabah diri kerana itu jalan terbaik dan media diminta menamatkan kisah ini (perceraian) supaya kedua-dua pihak dapat menjalani hidup dengan tenang.

Akhil yang juga dikenali sebagai 'Ustaz Rock' akan membayar edah sebanyak RM15,000 kepada Maizawati dalam tempoh tiga kali suci bermula, semalam.

Plaintif menerima hak penjagaan keempat-empat anak hasil perkahwinan mereka iaitu Siti Nur Maisarah, 12; Mohd Syarif Idayatullah, 11; Mohd Syakir Idayatullah, 8 dan Mohd Syatiri Idayatullah, dua tahun serta defendan dapat hak lawatan ketika musim cuti dan perayaan.

Akhil juga bersetuju menyerahkan sama rata sebahagian daripada hak pemilikan rumah (harta sepencarian) di No 16, Laluan Bercham Utara 4, Taman Utama, Ipoh, kepada keempat-empat anak sementara sebahagian lagi dikekalkan milik Maizawati.

Defendan juga bersetuju untuk tidak menuntut hak pemilikan sebuah kereta Proton Gen 2 yang didaftarkan atas nama bekas isterinya, sebaliknya menjelaskan baki bayaran ansuran RM500 sebulan sehingga selesai atau sehingga defendan berkahwin lain.

Ditemui di luar mahkamah, Akhil yang juga bekas penyanyi kumpulan rock d'Riyadh mengulangi perceraian mereka tidak kena mengena dengan pihak ketiga.

"Berkali-kali saya tegaskan, jangan babitkan pihak ketiga. Cukuplah, keluarga dan sesiapa yang terbabit dalam hal ini terzalim dan terkecewa secara tidak langsung selain kredibiliti saya yang tercalar cukup banyak," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url