Sedia hadapi saman RM105j - Ibu Manohara


“Kami sekeluarga tidak takut disaman berapa banyak pun. Tuhan memihak pada yang benar dan harap berbalik rezeki (menang dalam saman itu) kepada kami,” kata Daisy Fajarina, 44, ibu mentua Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra.

Daisy dihubungi di Indonesia bagi mengulas tindakan saman fitnah berjumlah RM105 juta dikemukakan Tengku Muhammad Fakhry terhadapnya semalam dan anak kedua Daisy, Manohara Odelia Pinot, 17, yang juga isteri Tengku Temenggong Kelantan.

Saman berkenaan difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam melalui peguam, Mohd Haaziq Pillay.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, sebagai plaintif, menamakan ibu mentuanya, Daisy Fajarina sebagai defendan pertama dan isterinya, Manohara Odelia Pinot defendan kedua.

Sebelum ini, pada 5 Julai lalu, putera ketiga Sultan Kelantan itu memfailkan dua saman di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan, bagi menuntut Manohara kembali taat kepadanya dan mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM972,750.

Mengenai kemelut kekeluargaan yang terjadi itu, Daisy berkata, naluri ibu dimilikinya tidak berapa tepat apabila menganggap Tengku Muhammad Fakhry boleh menjaga Manohara dengan baik.

“Saya amat percaya kepadanya (Tengku Muhammad Fakhry) ketika kali pertama bertemu dalam satu majlis makan malam pada 2006 yang turut dihadiri Manohara.

“Beliau datang kepada saya dan dengan sopan meminta kebenaran: ‘Boleh tidak saya berkenalan dengan puteri ibu (Manohara)’. Saya membenarkan kerana I really trust him so much (saya sangat percayakannya)...,” katanya.

Selain Manohara, dia memiliki seorang lagi cahaya mata perempuan iaitu Dewi, 20.

Wartawan cuba mendapatkan ulasan Manohara, tetapi Daisy memberitahu anaknya tiada di rumah kerana berada di lokasi penggambaran filem bertajuk ‘Manohara’.

Menurutnya, Manohara juga sibuk menyiapkan biografi mengenai kisah kehidupan dirinya dan dalam proses mencari penerbit. Manohara bercadang melancarkan buku berkenaan di Amerika Syarikat.

Ditanya persediaannya untuk menghadapi tuntutan saman itu, Daisy memberitahu dia dan anaknya mempunyai peguam bagi menangkis dakwaan Tengku Muhammad Fakhry bahawa dia melakukan fitnah.

“Saya dan anak sudah bersedia ke sana (Malaysia) pada bila-bila masa diperlukan. Dia (Tengku Muhammad Fakhry) harus menanggung segala perbuatan terhadap Manohara.

“Manohara juga sedang dalam perancangan untuk bercerai. Dia tidak akan kembali kepada Tengku Muhammad Fakhry,” katanya.

Tengku Muhammad Fakhry dan Manohara yang memegang gelaran Cik Puan Temenggong Kelantan berkahwin pada 26 Ogos tahun lalu dan menetap di Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Selepas sembilan bulan berkahwin, Manohara pulang ke Indonesia dan enggan kembali.

Kisah bekas model itu mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik Indonesia sehingga mengundang pelbagai persepsi negatif.

Berita mengenai Manohara yang melarikan diri daripada suaminya ketika di Singapura, baru-baru ini, mendapat liputan meluas akhbar di Indonesia.

Manohara yang mendakwa didera secara fizikal dan seksual oleh suaminya turut menjadi bahan berita utama 10 stesen televisyen swasta Indonesia yang menyiarkan sidang media dan wawancara dengannya sekembali ke Jakarta.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url