Taha - Hidangan segera tetap enak


Oleh MERAN ABU BAKAR

Samaada lelaki atau wanita berkerjaya, suri rumah mahupun pelajar yang tinggal berjauhan daripada keluarga pasti ada ketikanya menghadapi masalah semasa menyediakan juadah seharian.

Adakala semasa teringin hendak memasak, bahan-bahannya pula tidak ada di dapur atau cara penyediaan yang remeh serta mengambil masa. Akhirnya niat untuk memasak dilupakan begitu saja..

Bagi yang berada di perantauan pula, sudah tentu teringat-ingat dengan masakan ibu. Rendang ayam, sambal tumis, asam pedas, kari ikan, tom yam, mee kari dan sebagainya seperti melintas-lintas di fikiran.

Memahami dilema tersebut, TH Global Services Sdn. Bhd. (THGS), anak syarikat milik penuh Tabung Haji, mengambil kesempatan memperkenalkan Perencah Pra Campuran TaHa.

Pada pertemuan dengan Ketua Pegawai Operasinya, Mohamed Izam Mohamed Yusof di Taman Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini, lima jenis hidangan lazat telah tersedia di atas meja.

Rendang ayam, sambal tumis udang petai, asam pedas ikan tenggiri, kari ikan tenggiri bersama bendi dan tom yam ayam bercampur sayur-sayuran membuatkan perut terus terasa lapar.

Kata Mohamed Izam, kesemua hidangan tersebut disiapkan dalam tempoh 45 minit saja dengan menggunakan Perencah Pra Campuran TaHa.

Bercerita lebih lanjut mengenai perencah yang dikeluarkan dalam bentuk serbuk ini, kata Mohamed Izam, ia telah berada di pasaran pada pertengahan bulan Mei lalu.

Beliau menambah, sememangnya dalam struktur pelan perniagaan yang dirangka Tabung Haji, sektor industri pemakanan halal akan dijadikan sebagai teras pelaburan pada masa akan datang.

Justeru THGS menjadi sandaran untuk melibatkan diri dalam industri pemakanan halal.

''THGS bertanggungjawab sepenuhnya membangunkan jenama TaHa bagi menjadikannya sebagai satu jenama terkemuka di pasaran global.

''Visi kami adalah untuk menjadi sebuah syarikat pengeluar produk makanan dan minuman halal yang utama serta tersohor di dunia.

''Buat permulaan, THGS telah mengeluarkan produk air mineral semula jadi TaHa yang dilancarkan pada tahun 2007. Air mineral tersebut telah digunakan secara rasminya di semua lokasi Kursus Latihan Haji Perdana anjuran Tabung Haji.

"Pengenalan Perencah Pra Campuran TaHa adalah langkah kami seterusnya bertujuan memberi pilihan kepada mereka yang sentiasa kesuntukan masa untuk menyediakan juadah dengan kadar segera.

''Ia juga sesuai bagi pelajar dan mereka yang berada di luar negara yang ingin mengubat rindu pada masakan ibu di kampung,'' ujar Mohamed Izam.

Menurutnya, perencah pra campuran yang dibuat dalam pek yang kecil dan kompak ini dihasilkan melalui kajian bersama sebuah syarikat bumiputera. Ia merupakan resipi tradisional yang mampu memenuhi selera masyarakat Malaysia bukan sahaja orang Melayu malah bangsa-bangsa lain.

Perencah tersebut juga cukup praktikal dan mudah di mana pengguna hanya perlu menyediakan bahan-bahan mentah seperti ikan, ayam, daging atau sayuran.

''Kaum bapa, remaja lelaki dan perempuan pun boleh memasak menggunakan perencah ini. Jadi jika isteri bekerja ke luar daerah atau tidak sihat, suami boleh memasak untuk keluarga menggunakan perencah ini.

"Begitu juga bagi anak remaja yang ibu mereka pulang kerja lambat dan tidak sempat memasak mereka boleh memasak sendiri dan makan bersama adik beradik lain.

''Paling penting produk ini dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan kerana pengguna dapat menikmati hidangan bersama di rumah dalam masa singkat. Masa selebihnya dapat digunakan untuk membuat kerja-kerja rumah.

''Saya pasti kedatangan Ramadan tidak lama lagi akan lebih memudahkan semua kerana hidangan lebih cepat disediakan dengan menggunakan Perencah Pra Campuran TaHa ini,'' kata Mohamed Izam sambil mempelawa penulis menikmati hidangan yang disediakannya sendiri.

Beliau turut mengalu-alukan sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya boleh melayari www.taha.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url