1.9 bilion unit AS1M terjual sejak Julai
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pembelian itu agak perlahan itu mungkin disebabkan para pelabur berpotensi mahu melihat prestasi amanah saham itu terlebih dahulu.
''Ini bukan kerana kurang promosi tetapi berdasarkan aliran sebelum ini (pelancaran dana-dana amanah saham PNB) baru kita keluar akan mengambil masa kerana pelabur mahu melihat prestasi amanah saham itu.
''Saya berharap para pelabur turut melihat prestasi PNB dan dana-dana amanah saham yang telah diperkenalkan oleh kami sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 2009 (Kategori Universiti) yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di sini, hari ini.
Pertandingan kali Kesembilan itu dimenangi Universiti Sains Malaysia (USM) yang membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 berserta piala pusingan dan sijil penyertaan.
AS1M ialah dana yang ditawarkan pada harga tetap iaitu RM1 seunit dan disasarkan kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pelaburan minimum 100 unit dan pelaburan tambahan minimum serendah satu unit.
Dana ekuiti itu mempunyai ciri-ciri seperti dana harga tetap lain iaitu Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).
Ia mengenakan had langganan sebanyak 50,000 unit untuk mereka yang berumur di bawah 55 tahun dan 100,000 unit untuk mereka yang berumur lebih 55 tahun.
AS1M dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Julai lalu.
Menyentuh usaha PNB mengagihkan 50,000 unit AS1M percuma kepada pelajar tahun satu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendaftar sesi pengajian tahun ini, Hamad Kama Piah berkata, pihaknya kini dalam proses menyediakan kaunter membuka akaun di IPTA yang terpilih itu.
''Setiap pelajar itu akan mendapat 100 unit percuma AS1M itu dan diharapkan mereka dapat menambah bilangan unit di kemudian hari.
''Mereka sebagai duta kita dan boleh bercakap tentang pelaburan amanah saham di IPTA," katanya.
- UTUSAN
