Top Ad 728x90

Banyak firma disenarai tak guna alamat laman web .my

Hampir 50 peratus daripada 961 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia tidak mendaftarkan alamat laman web dengan domain .my yang dilihat penting bagi melindungi tanda perniagaan dan harta intelek mereka.

Pengarah .my Domain Registry, Shariya Haniz Zulkifl, berkata syarikat yang mendaftarkan alamat laman web mereka dengan domain .my bukan saja memperoleh identiti jenama perniagaan unik di internet, tetapi dapat menghalang ancaman internet seperti ‘cybersquatting’.

Katanya, ‘cybersquatting’ merujuk kepada tindakan individu tertentu yang menggunakan tanda niaga atau harta intelek pihak lain untuk meraih keuntungan menerusi kemasukan trafik ke dalam laman web yang didaftarkan mereka.

“Sebagai contoh, pihak lain boleh mendaftarkan nama sesebuah syarikat yang terkenal menggunakan domain .my dan meraih keuntungan hasil kemasukan trafik ke dalam laman web mereka atau menjual domain itu kepada syarikat terbabit pada harga yang tinggi,” katanya pada taklimat media mengenai langkah proaktif menyokong perlindungan harta intelek syarikat Malaysia di Seri Kembangan, semalam.

Shariya Haniz berkata, bagi melindungi harta intelek syarikat senaraian awam yang tidak mendaftarkan laman web mereka dengan domain .my, agensi itu kini ‘menyimpan’ domain syarikat terbabit daripada didaftarkan individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, .my Domain Registry akan menyimpan domain syarikat terbabit sehingga 31 Oktober ini manakala syarikat yang berminat boleh mendaftar pada harga promosi sehingga 50 peratus sehingga 4 September ini.

“Langkah yang kami ambil juga adalah bagi menyokong arahan Bursa Malaysia supaya semua syarikat senaraian awam mempunyai laman web korporat sendiri dan laman web berkenaan digalakkan supaya melambangkan identiti Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan, penggunaan alamat laman web menggunakan domain .my bukan saja dapat membezakan perniagaan tempatan daripada entiti asing tetapi dapat meningkatkan potensi eksport dan pasaran antarabangsa sebagai syarikat dari Malaysia.

“Domain .my adalah unik kerana hanya rakyat Malaysia, syarikat dan organisasi yang berkaitan dengan Malaysia saja boleh menggunakannya,” katanya.

Mengulas mengenai pemilikan domain .my di Malaysia, Shariya Haniz berkata, sehingga Julai lalu terdapat kira-kira 85,000 laman web aktif yang berdaftar menggunakan domain terbabit.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90