Top Ad 728x90

53 tahun UiTM gilap intan permata lahirkan profesional Bumiputera

Universiti Teknologi Mara berjaya harungi pelbagai transformasi mencabar untuk muncul IPT kelas pertama disegani RENTETAN sejarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) amat unik selepas melalui transformasi yang amat drastik dan agresif sepanjang tempoh 53 tahun penubuhannya dalam bidang akademik, nilai, sikap dan budaya.

Siapa sangka, liku perjalanan UiTM yang pada awalnya hanya sebuah kawasan hutan belantara, kini kepada lokasi yang begitu pesat membangun. Malah, pelajarnya diumpamakan seperti pasir dan batu tidak berharga digilap menjadi intan yang penuh kilauan.

Persepsi masyarakat terhadap UiTM sebagai institusi kelas kedua sejak awal penubuhannya juga sudah tidak relevan, sebaliknya kini sudah diiktiraf sebagai universiti kelas pertama sejak beberapa tahun lalu, terutama selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan perubahan nama dari Institut Teknologi Mara (ITM) kepada UiTM genap 10 tahun lalu iaitu pada 26 Ogos 1999.

Pada awal penubuhannya, UiTM hanya mengambil pelajar kampung dan miskin serta tidak cemerlang dalam akademik, tetapi kini majoriti produk universiti itu dianggap begitu cemerlang dalam bidang masing-masing.

Justeru, tidak mustahil dalam tempoh 53 tahun penubuhannya, UiTM mencatat keajaiban hebat apabila ribuan pelajarnya menduduki ranking tertinggi penempatan dunia pekerjaan, malah melahirkan ramai profesional dan tokoh korporat terkemuka di negara ini.

Tidak terhenti di situ, nama UiTM menjulang setinggi puncak Gunung Everest, apabila dua pelajarnya, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Ahmad Reduan Rozali berjaya menakluki puncak tertinggi dunia (8,848 meter), pada 2004 lalu, sekali gus sebagai simbolik memecahkan tembok halangan psikologi bahawa bangsa Melayu tidak yakin pada diri, malas, tidak berupaya dan rendah diri.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, ternyata mampu menghela nafas lega apabila transformasi universiti itu dalam pelbagai bidang sudah terlaksana dan paling membanggakan pencapaian itu lebih terserlah dalam tempoh 10 tahun terkini.

Katanya, sejarah UiTM yang bermula pada 1956 dan sehingga ini, sudah menempuh pelbagai transformasi dalam pelbagai bidang dengan mencatat banyak kejayaan cemerlang sama ada di dalam atau luar negara.

Pada awalnya, UiTM dikenali sebagai sebagai Dewan Latihan Rida (Rural and Industrial Development Authority) yang ditubuhkan bertujuan sebagai pusat percubaan menawarkan kursus persediaan untuk remaja luar bandar aliran Inggeris serta membantu menaik taraf ekonomi penduduk Bumiputera.

"Rida memberi penekanan kepada program pelajar luar bandar dan miskin. Kita transformasi mereka daripada masyarakat tradisional kepada kepentingan industri, komersial dan keusahawanan. Pada 1965, namanya ditukar kepada Maktab Mara sejajar dengan falsafah untuk membangunkan masyarakat Bumiputera supaya lebih maju. Kemudian pada 1967, mendapat nama baru iaitu ITM," katanya.

Sejak itu, transformasi lebih drastik dan agresif dilakukan dalam pelbagai bidang termasuk kursus ditawarkan dan seterusnya pada 1996, ITM dinaikkan taraf sebagai universiti. Namun, namanya tidak ditukar hinggalah pada 26 Ogos 1999, Institut Teknologi Mara dengan rasminya dinamakan Universiti Teknologi Mara.

Apa yang menarik, kata beliau, pada awal penubuhannya program yang ditawarkan dianggap tidak popular atau dikenali dan berbau akademik, sebaliknya kini menjadi program profesional.

Peneraju ITM ketika itu, Tan Sri Arshad Ayob memulakan kursus yang berbeza dengan universiti dan kolej lain. Program disediakan itu juga tidak difikirkan oleh pihak lain, dan akhirnya menjadi program yang cukup popular pada masa ini.

"Contohnya, kursus Seni dan Reka Bentuk, Tekstil, Fesyen dan Pengurusan Hotel dan Pelancongan (malah program ini dianggap tidak diminati dan dihormati). Dengan itu, kita sudah berjaya mengubah bidang terbabit sebagai program yang mempunyai status cukup tinggi pada masa kini.

"ITM mempelopori bidang itu sehingga ia menjadi program yang begitu popular, diminati dan diikuti universiti lain. Malah, peranan pelajar keluaran UiTM dalam bidang ini cukup terserlah dengan melahirkan profesional dan tokoh korporat dalam pelbagai bidang seperti industri dan perbankan. Banyak jawatan tinggi dipegang pelajar dari universiti ini.

"Bagi saya, tanpa ITM, kita tertinggal jauh ke belakang berbanding kaum lain. Malah, kalangan Melayu Bumiputera kita mengeluarkan 52 peratus daripada keseluruhan akauntan berdaftar dan ia adalah jumlah yang besar," katanya.

Beliau menegaskan, UiTM berjaya menjadikan pelajarnya daripada pasir dan batu yang tidak berharga digilap menjadi intan selain menjanjikan pekerjaan berbentuk profesional serta bertaraf antarabangsa.

Dr Ibrahim menegaskan, wujud transformasi yang amat ketara dari segi mentaliti masyarakat Melayu.

"Bagi saya, dengan kemasukan alaf baru (2001), peranan UiTM semakin mencabar. Kebetulan ketika itu, saya dilantik sebagai Naib Canselor dan sebagai bekas pelajar ITM sejak berusia 18 tahun, saya dapat melihat dengan jelas bagaimana proses transformasi itu bergerak sehingga hari ini.

"Saya juga adalah pelajar dalam kumpulan pertama berpindah dari Jalan Othman, Petaling Jaya ke Shah Alam. Ini pengalaman cukup menarik dan Shah Alam ketika itu penuh dengan hutan pokok getah. Kini ia menjadi katalis bukan saja kepada pelajar malah katalis pembangunan bagi kerajaan Selangor," katanya.

Mengenai pentadbiran dan pengurusan UiTM, wujud perbezaan, iaitu jika pada sekitar 1979 (ketika berpindah ke kampus Shah Alam) hanya mempunyai 2,000 pelajar, tetapi sekarang sudah mencecah kepada 140,000 pelajar dan sasaran 200,000 pelajar, pada masa depan.

Malah, dulu kursus yang ditawarkan amat terhad tetapi sekarang kira-kira 320 kursus ditawarkan dengan mempunyai 32 kampus di seluruh negara, manakala jumlah pensyarah daripada 300 kepada 20,000 kakitangan termasuk pensyarah.

"Sejajar dengan alaf baru, cabaran saya untuk memastikan universiti ini yang terbaik di negara ini. Masa saya mengambil alih sebagai Naib Canselor, UiTM berada pada ranking paling rendah berbanding universiti lain," katanya.

Dari segi penyelidikan pula, Dr Ibrahim berkata, pada 2001 UiTM juga berada pada ranking paling bawah kerana tidak ada budaya bidang penyelidikan. Transformasi demi transformasi berlaku dengan membawa perubahan lebih menyerlah dalam semua bidang termasuk berjaya mendapat anugerah pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Mengulas mengenai universiti Apex, beliau berkata, UiTM masih belum mampu mencapai tahap itu kerana perlu memenuhi kriteria tertentu, khususnya perlu mempunyai pelajar asing.

Katanya, banyak universiti berlumba-lumba mengambil pelajar asing, tetapi UiTM tidak mengamalkan begitu, sebaliknya akan mengehadkan pengambilan pelajar itu atas sebab tertentu seperti menjaga kualiti dan budaya. Setakat ini, UiTM hanya mempunyai 200 pelajar asing, kebanyakannya dari Asia Barat.

"Saya amat berterima kasih kepada semua pemimpin universiti yang terdahulu atas jasa mereka terhadap universiti ini," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90