Dilema Ramadan: Masak atau beli?

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Kata orang, wanita sekarang semakin malas terutama dalam 'bab' memasak. Jika boleh semua yang hendak dimakan atau selera teringin sesuatu, beli saja di luar. Lagipun, pada masa kini bukanlah sukar sangat, cakap apa saja semuanya boleh didapati dengan mudah dan tidak perlu berpeluh, berpanas dan bersusah payah menyinsing lengan untuk memasak sendiri.

Pergi dan cari saja mana-mana restoran, kafe atau warung serta kedai makanan seumpamanya untuk memenuhi selera. Bahkan, kalau malas hendak keluar sekali pun tidak perlu risau sangat kerana dail saja telefon dan tanpa perlu menunggu terlalu lama, pesanan makanan yang diminta sudah pun muncul di depan pintu rumah.

Pokoknya, dapur tidak berasap berminggu-minggu pun masih boleh dapat menikmati makanan diinginkan, tetapi yang penting mestilah ada duit untuk membayarnya. Justeru, tidak hairanlah apabila setiap kali tiba Ramadan, ramai peniaga mengambil kesempatan menjual pelbagai juadah makanan daripada pembuka selera hinggalah makanan utama kerana permintaannya cukup tinggi sehinggakan apa saja yang dijual pasti akan laku.

Barangkali sebab itulah juga ramai sekali 'peniaga segera' muncul setiap kali tiba bulan mubarak kerana untung diperoleh amat lumayan atau sekurang-kurangnya tidaklah begitu mengecewakan walaupun yang dimasak dan dijual itu tidaklah sesedap mana.

Bagaimanapun, janganlah cepat membuat sebarang kesimpulan. Kenyataan itu mungkin tidaklah 100 peratus tepat kerana pastinya wanita ada alasan tersendiri mengapa mereka semakin kurang ke dapur termasuk untuk menyediakan juadah berbuka setiap kali menjelang puasa. Penat, ketiadaan masa dan kesibukan bekerja saban hari adalah antara faktor yang menyebabkan kebanyakan wanita lebih senang untuk membeli saja juadah berbuka puasa. Selain itu ramai juga berpandangan, membeli lebih menjimatkan berbanding memasak sendiri terutama bagi yang tidak mempunyai keluarga besar.

Persoalannya kini, membeli makanan di luar mungkin bukan halangan besar, tetapi harus ingat, senario kenaikan harga juadah berbuka puasa adalah lumrah kerana perniagaan yang bermusim dikenal pasti terdedah kepada risiko kenaikan harga kerana permintaan terhadapnya meningkat.

Malah, setiap kali tiba Ramadan atau musim perayaan, peniaga di negara ini cenderung menaikkan harga barangan kerana tahu pengguna akan membeli walaupun harganya mahal. Akhirnya, langkah untuk berjimat sering saja tersasar.

Lebih merugikan, ada yang 'tertipu' kerana makanan yang dibeli indah khabar daripada rupa. Sudahlah harganya mahal, rasanya pula tidak menambat selera. Kesudahannya, makanan yang dibeli itu menjadi habuan tong sampah dan jika ini terjadi sudah tentu ia satu pembaziran. Sedangkan, pada bulan yang mulia inilah umat Islam perlu mengumpul banyak pahala dan mencari lebih keberkatan.

Perkara lain yang perlu dipertimbangkan ialah mengenai penjagaan kesihatan. Pada masa kini, masyarakat semakin berhati-hati dengan masalah kesihatan melanda di negara ini, khususnya berikutan penularan wabak Influenza A (H1N1). Bersesak-sesak dan mendedahkan diri di kawasan yang ramai orang, misalnya di bazar Ramadan boleh menyebabkan individu berisiko dengan penularan penyakit itu.

Berdasarkan semua itu yang mana satukah menjadi pilihan - memasak sendiri atau pun beli saja juadah berbuka sepanjang Ramadan ini? Kata orang, tepuk dada dan tanyalah pada diri sendiri. Jawapan dan penentuan itu hanya anda sendiri yang boleh menentukannya.

Membeli lebih murah

Pengarah Eksekutif Kumpulan BG Capital Holdings, Saliza Abdullah, 31, berkata tidak boleh dielakkan dan sudah menjadi kelaziman setiap kali Ramadan apabila hari bekerja, juadah untuk berbuka dibeli saja kecualilah pada hari hujung minggu, masa dapat diluangkan untuk memasak di rumah.

Saliza berkata, tidak sempat dan ketiadaan masa pada hari bekerja menyebabkan lebih mudah untuk membeli juadah berbuka di bazar yang berdekatan dengan pejabat atau pun di rumah. Jika memasak pada hari hujung minggu pula biasanya ia juga menjadi hidangan yang sama untuk bersahur, sekali gus makanan yang dimasak tidaklah membazir begitu saja.

"Memandangkan hanya saya dan suami saja yang ada di rumah, masak pun tidaklah berlebih-lebihan. Begitu juga jika membeli, apa yang disukai saja yang kami beli. Dua tiga lauk pun sudah cukup dan nasi selalunya, masak sendiri. Lauk yang saya suka beli ialah kuah lemak masak udang, paru goreng masak cili dan ikan pari masak asam tumis. Semua lauk ini memang leceh sikit nak masak sendiri kalau hari itu bekerja. Jadi, lebih baik beli saja.

"Tetapi kalau bulan puasa, kadang-kadang selera hendakkan yang manis-manis. Sebab itulah untuk kuih-muih selalunya beli saja. Kuih kegemaran yang saya selalu dibeli antaranya ialah tepung pelita, popia basah dan seri muka. Bagi mengelakkan terbeli makanan yang tidak sedap, saya biasanya akan pergi di kedai yang sama atau sudah biasa mencuba dengan masakannya. Jika sudah 'terkena' rasa yang tidak sedap, memanglah saya tidak akan pergi lagi ke kedai itu," katanya.

Saliza berkata, berdasarkan senario yang berlaku masa kini memang wajar semua masyarakat berjaga-jaga terutama dalam penjagaan kebersihan.

Justeru, dalam usaha berjaga-jaga jika hendak ke bazar Ramadan, katanya, pergilah ke tempat biasa pergi supaya dapat terus ke gerai yang hendak dituju. Cara ini dapat mengurangkan masa bersesak dengan orang ramai dan seelok-eloknya, jangan lupa memakai topeng menutup mulut.

Bagaimanapun, menyambut puasa tahun ini Saliza yang sudah tiga tahun berkahwin berkata, memandangkan suami, Roslee Mohd Sabri kini melanjutkan pelajaran di Scotland, dirinya lebih suka berbuka puasa di rumah ibu yang tidak jauh daripada rumahnya.

"Berbuka di rumah ibu, memanglah tidak payah hendak membeli, biasanya semua sudah disiapkan. Tetapi sesekali itu saya bawa atau beli juga apa yang patut. Maklum saja bulan puasa biasanya selera kita hendakkan pelbagai cita rasa. Selain berbuka di rumah kadangkala, saya juga perlu memenuhi undangan berbuka di luar bersama rakan perniagaan. Insya Allah, saya juga akan turuti suami di Scotland pada minggu depan dan berpuasa bersamanya di sana. Saya pasti, suasananya tentu akan lebih berbeza," katanya.

Juadah di kedai lebih pelbagai

PENGGUNA memang perlu berhati-hati dan cerewet memilih makanan, di samping melatih diri mengawal hawa nafsu terutama sekali ketika berbelanja untuk berbuka puasa. Dengan adanya banyak pilihan bukan bermakna seseorang itu boleh membeli sesuka hatinya saja, sebaliknya perlu lebih berhati-hati.

Pada masa sama, renung dan fikirkanlah juga nasib golongan yang malang serta terpaksa kebuluran, berbanding umat Islam di negara ini begitu mewah dengan makanan yang enak-enak setiap kali menyambut Ramadan sehingga terlupa untuk bersyukur.

Bekas pramugari, Lailee Mohd Nor, 35, berkata budaya membazir pada Ramadan memang perlu dielakkan, justeru amalan berbelanja secara berhemah perlu menjadi amalan dan cubalah tahan diri dengan 'godaan' untuk membeli aneka jenis juadah yang di jual di luar, khususnya di bazar Ramadan serta terdapat di serata tempat.

Lailee berkata, membeli makanan di luar selain memasak sendiri pada bulan puasa bukanlah tidak boleh, tetapi individu mestilah bijak merancang dan yang penting, jangan sampai berlakunya pembaziran.

Bagi mengelakkan terlalu banyak pembaziran ada ketika dirinya lebih senang memasak sendiri, tetapi tidak menafikan ada masa tertentu beliau akan membeli saja juadah berbuka puasa terutama sekali ketika ingin bertukar selera. Keadaan itu sama juga seperti sambutan puasa untuk tahun ini, tetapi mungkin lebih berhati-hati dan tidak terlalu kerap membeli makanan di luar.

Sebagai suri rumah sepenuh masa, Lailee berkata, memasak sendiri bukanlah masalah besar, tetapi sesekali sememangnya teringin juga membeli untuk bertukar selera dan biasanya juadah yang dibeli di luar adalah yang sukar atau remeh untuk dibuat sendiri.

Selain itu, setiap kali membeli Lailee dan suami, Mohammed Danish Vijay akan memastikan tidak membazir atau makanan terbuang begitu saja.

"Di rumah hanya saya dan suami saja yang berpuasa, jadi kalau masak yang sukar seperti nasi beriani, nasi ayam atau membuat kuih-muih tentu tidak berbaloi. Makanan seperti itu saya beli saja di luar. Sebenarnya, saya dan suami memang suka pergi ke bazar Ramadan untuk melihat gelagat orang ramai membuat persiapan berbuka puasa. Tetapi tahu sajalah, apabila sudah berjalan-jalan itu memang ada yang berkenan di hati. Jadi, belilah sedikit untuk mencuba.

"Apabila memasak sendiri pula lauk-pauk yang disediakan adalah ringkas dan sederhana saja. Lagipun, suami tidak cerewet sangat pasal makan, apa yang dimasak itulah dimakan. Suami pun suka masak dan kadang-kadang dia sendiri yang masak untuk kami," katanya yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, jika ada ahli keluarga atau rakan yang ingin berbuka di rumah, Lailee lebih selesa untuk memasak sendiri kerana ia memberikan lebih kepuasan apabila berbuka puasa beramai-ramai. Namun, sebagai tambahan dan ingin memberikan lebih pilihan kepada tetamu yang datang, Lailee dan suami tidak kisah untuk membeli dua tiga jenis kuih muih yang lain.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, ketika masih bujang dan tinggal di rumah ibu memang langsung tidak kisah untuk membeli atau pun memasak bagi juadah berbuka puasa kerana pulang dari kerja, semuanya sudah tersedia.

"Emak memang tidak suka membeli makanan di luar walaupun Ramadan. Lagipun, keluarga kami besar lebih seronok makan apa emak yang masak. Sekarang ini sudah kahwin, kenalah masak dan kalau hendak bertukar selera belilah di luar," katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url