Ekonomi Asia dijangka pulih tahun depan

CIMB Investment Bank Bhd. (CIMB Investment) meramalkan negara-negara Asia menerajui pemulihan ekonomi dan menguasai pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun depan.

Negara-negara Asia yang sudah berada dalam pemulihan ekonomi itu dilihat mampu membentuk permintaan pasaran domestik yang tinggi.

Selain itu, berlaku perkembangan dalam sektor perumahan, kewangan Islam, perbankan swasta, penjagaan kesihatan, pendidikan, sistem pencen dan beberapa lagi faktor di Asia yang membantu pemulihan berkenaan.

Ketua Kajian Ekonomi CIMB Investment, Lee Heng Guie berkata, China dikatakan mendahului dalam pertumbuhan ekonomi di Asia diikuti India, Indonesia dan Korea.

Beliau memberitahu, permintaan domestik yang tinggi dan berskala besar bermula separuh tahun kedua tahun ini akan membantu negara-negara Asia untuk berkembang dengan pantas.

Katanya, rizab yang tinggi dan rizab asing negara-negara Asia mencecah AS$4.3 trilion (RM15.05 trilion) sekali gus telah mengukuhkan kedudukan luaran ekonomi negara-negara Asia.

"Suntikan rangsangan ekonomi yang dijalankan di negara-negara Asia turut memberi pengaruh kepada pemulihan ekonomi yang pantas.

"China, India, Korea dan Indonesia merupakan negara-negara besar yang memberi kejutan dalam pertumbuhan ekonomi di Asia berikutan terdapat permintaan pasaran domestik yang tinggi.

"Pertumbuhan pesat di negara-negara besar berkenaan secara tidak langsung menjana pemulihan ekonomi secara besar-besaran di Asia,'' katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi taklimat media mengenai pelaburan Asia di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Ketua Pengagihan dan Jualan Pengguna, CIMB Bank Bhd., Sulaiman Mohd. Tahir dan Ketua Pegawai Pelaburan CIMB-Principal Asset Management Bhd., Raymond Tang.

Heng Guie menambah, kadar pengangguran di Asia juga dilihat semakin berkurangan malah kadar keyakinan pengguna dilihat meningkat.

Ketika ditanya konteks pemulihan ekonomi di Malaysia, Heng Guie menambah, Malaysia dilihat berada di landasan yang betul untuk pulih sepenuhnya dalam ekonomi menjelang tahun depan.

Katanya, suku keempat tahun ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang positif untuk Malaysia dengan anggaran unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun ini sebanyak -5 hingga -5.6 peratus.

Manakala pada suku pertama tahun depan, jelas Heng Guie, KDNK Malaysia dijangka mampu mencecah sehingga 3.7 peratus.

"Malaysia dilihat berhadapan dengan krisis ekonomi paling teruk pada suku pertama tahun ini manakala suku kedua pula menunjukkan peningkatan.

"Pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan amat membantu dalam pemulihan berkenaan,'' ujarnya.

Heng Guie menambah, pemulihan ekonomi di Amerika Syarikat juga didapati memberi kesan kepada pemulihan ekonomi di Malaysia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url