Graduan PhD UKM teramai
Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 207 pelajar menerima PhD masing-masing dan bilangan itu melebihi angka 200 yang disarankan.
Naib Canselornya, Profesor Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata kejayaan itu menjadikan UKM universiti yang menghasilkan graduan PhD tertinggi.
"Peningkatan graduan PhD dapat dilihat bermula 2005 iaitu seramai 116 graduan diikuti 25 orang (2006), 135 orang (2007) dan 188 pada 2008.
"Peningkatan bilangan graduan di peringkat PhD ini sangat bermakna selepas UKM ditubuhkan 39 tahun lalu," katanya.
Majlis konvokesyen UKM yang berlangsung lima hari bermula Sabtu di Kampus Induk, UKM Bangi menyaksikan seramai 7,674 graduan menerima sijil masing-masing.
Daripada jumlah itu, 207 adalah graduan PhD, 174 penerima Ijazah Sarjana Kepakaran dan Pergigian, 1,357 graduan Ijazah Sarjana, 5,607 Ijazah Sarjana muda, 251 Diploma Siswazah, 77 Diploma dan seorang menerima Sijil.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Alharhum Tuanku Munawir selaku Canselor UKM buat pertama kali menyampaikan ijazah kepada graduan pada sidang pertama dan kelima.
Sidang konvokesyen kali ini turut meraikan kumpulan pertama graduan Ijazah Sarjana Perubatan (Perubatan Kecemasan) yang dikeluarkan Fakulti Perubatan dan 13 graduan Ijazah Sarjana Kesihatan Masyarakat yang mengikuti program selama setahun.
Selain itu, UKM juga mengeluarkan kumpulan pertama bagi program khas pensiswazahan guru besar dengan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Pengurusan Pendidikan) seramai 73 orang.
Sementara itu, Anugerah Pelajaran Diraja bagi sesi konvokesyen kali ini dianugerahkan kepada Nur Najwa Abdul Rahman yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan dari Fakulti Pengajian Islam serta Chrissie Lim Wen Hsien yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian (Cemerlang) dari Fakulti Undang-Undang.
Pelajar dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Adilah Zaira Abu Bakar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Cemerlang) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor.
Dua lagi graduan yang menerima anugerah tertinggi iaitu Anugerah Tun Razak yang disumbangkan Yayasan Tun Razak ialah Salwana Binti Jusoh@Yusoff, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Cemerlang) dalam bidang Pendidikan Al-Quran dari Fakulti Pendidikan dan Yew Su Mei, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Cemerlang) dalam bidang Mikrobiologi dari Fakulti Sains dan Teknologi.
Sehingga kini, UKM mengeluarkan seramai 131,259 graduan iaitu 113,975 graduan Ijazah Sarjana Muda, 13,641 graduan Ijazah Sarjana, 2254 Graduan Ijazah Sarjana dan 1,389 graduan Ijazah Doktor Falsafah.
- HARIAN METRO
