Nora Danish yang bertuah
Lembut sikap dan sifat namun dalam kelembutan itu ada kekuatan dan ketabahan yang tidak ternilai untuk terus mengharungi cabaran kehidupan. Masakan tidak, baru menginjak usia 27 tahun Mac lalu, kini di bahunya sudah terbeban satu tanggungjawab besar - sebagai seorang ibu tunggal.
Nora Mohd. Danish Hanif atau lebih dikenali dengan panggilan Nora Danish mengakui, lembut tutur kata dan sopan santun tingkahnya tidak pernah menjadikan dia seorang yang lemah.
Jauh sekali untuk berasa gentar meneruskan kehidupan sendirian selepas bercerai dengan Rizal Ashram Ramli, anak sulung bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Malah saat sedih dan kecewa mengharungi perceraian, kedua-dua belah keluarga tanpa lelah dan lesu terus membantu memberi nasihat dan menaikkan semangat.
Keluarga mertua sehingga hari ini begitu prihatin dengan dirinya dan terus menyayangi Nora seperti anak mereka sendiri. Keluarganya sendiri begitu memberi sokongan dan amat mengambil berat perihal suka duka yang dilalui.
"Memang saya bertuah." Demikian kata Nora mengenai kehidupannya. Dan tambahnya, selain keluarga, teman-teman rapat juga banyak memberi semangat.
Nora juga tidak ketinggalan mengungkapkan rasa terima kasih kepada pihak media kerana memberinya ruang dan peluang untuk tidak diganggu selepas bercerai kerana mahu menumpukan perhatian kepada dirinya yang sedang hamil.
"Media bukan sahaja memahami keadaan tapi mereka juga menghormati permintaan saya dan tidak memberi tekanan," jelasnya.
Pun begitu, Nora sendiri merupakan seorang wanita muda yang amat optimis menjadikan dirinya kuat menghadapi segala dugaan.
Baginya zaman untuk bersedu sedan sudah berlalu. Kini baginya adalah zaman untuk bangkit semula.
"Saya tidak pernah sedih dengan kehidupan yang saya jalani hari ini. Malah saya bersyukur kerana ia semakin membahagiakan.
"Malah saya lebih mensyukuri nikmat yang saya perolehi kerana saya masih menjalinkan hubungan yang baik dengan keluarga mertua dan bekas suami dan bekas suami juga tetap menjalankan tanggungjawab (menjaga anak) dengan baik," jelasnya.
Malah menurut Nora, kelahiran anaknya, Putera Rayqal Ramli atau lebih mesra dengan panggilan Rayqal pada 7 Januari lalu membalut segala kesan-kesan luka di hati. Ya, Rayqal memulihkan kembali hati dan perasaan saya," katanya sambil melihat anaknya yang semakin keletah dan sudah pandai berjalan jatuh.
Menjadi seorang yang lebih tabah, pengalaman mendirikan rumah tangga dan melalui perceraian yang mendukacitakan memberi banyak hikmah dan pengajaran buat dirinya.
Tidak pernah berdendam malah kata Nora, pengalaman-pengalaman yang dilalui itu memberikan kematangan.
Untuk menjadi orang yang lebih baik, kata Nora. Dan Nora menjadikan ibunya, Sally Talib, juga seorang ibu tunggal yang kematian suami sebagai mentor dan pembakar semangatnya untuk terus berjuang dengan kehidupan.
- Sedia temui pengganti
Berkahwin dan bercerai, bahagia dan sengsara, sudah dirasai dan sebagai wanita yang matang dan positif terhadap kehidupannya, Nora memberitahu tidak pernah menutup pintu hatinya untuk berkahwin lagi.
Malah Nora tidak menolak andai ada lelaki yang mahu mencuri hatinya kerana bagi Nora, dia perlu memberi ruang dan peluang kepada dirinya untuk mengecapi bahagia bersama insan bernama lelaki.
Namun tegasnya, pengalaman silam akan dijadikan benteng untuk menempuhi kehidupan baru bersama pilihan hati. Pun begitu, Nora memberitahu, ketika ini hatinya masih belum terisi dan dia juga menegaskan tidak mahu terlalu cepat untuk mencari pengganti.
"Teman istimewa itu ramai dan mereka ini adalah teman-teman baik lelaki mahupun perempuan yang rapat dengan saya. Tetapi lelaki istimewa masih belum ada," katanya sambil ketawa.
Ini kerana tegas Nora, buat masa ini, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk membesarkan anak kesayangannya dan meningkatkan kerjaya dalam bidang seni yang diminatinya.
- Permata hati
Selepas hampir setahun menjalani kehidupan sendirian, Rayqal menjadi peneman yang sangat membahagiakan.
"Memang betul kata orang, ada hikmah pada setiap kejadian. Dan pada saat saya kecewa, Rayqal muncul dan mengubah segalanya. Dia hadir pada saat saya amat memerlukan teman."
Rayqal bukan sekadar peneman dan penghibur ibunya malah anak berusia tujuh bulan ini juga menjadi permata hati bapanya, Rizal Ashram serta buah hati pengarang jantung datuk dan neneknya, Ramli dan Puan Seri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah serta Sally.
Sebagai cucu sulung dalam keluarga Rizal Ashram nyata Raqyal sangat bertuah kerana disayangi semua.
Malah seandainya Nora keluar menjalani penggambaran drama maka Rayqal akan dijaga sepenuh hati oleh keluarga mertuanya.
"Ya, dia seorang budak yang sangat bertuah. Ramai yang sayangkan dia," ujar Nora terharu.
- Ramadan ini
Sibuk menjalani penggambaran sepanjang Ramadan ini, Nora mengakui seronok berada di lokasi.
Sudah lama merindui dunia lakonan sejak 'menyepikan diri' semasa hamil dan selepas bersalin, kini adalah waktu untuk 'balas dendam'.
Pun begitu, sesibuk manapun dirinya dengan kerja, Nora memastikan setiap masa terluang bersama anaknya.
Kerana itu juga, dia kurang menerima tawaran berlakon ke luar kota kerana tidak mahu berenggang dengan Rayqal.
"Semasa Ramadan ini juga saya selalu sibuk tapi memang jika ada masa terluang saya akan bersama Rayqal di rumah.
"Buat masa ini memang saya tidak membawa Rayqal keluar sangat kerana khuatir dengan Influenza A HINI.
"Jadi selalunya saya akan duduk rumah bersamanya. Sebenarnya selepas enam hari berpuasa, baru hari ini saya dapat berbuka dengannya," kata Nora yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Sumpah Bunian di ibu kota.
Akan selesai penggambaran 11 September nanti, Nora juga memberitahu persiapan raya hanya akan disediakan selepas itu.
Namun kata Nora, baju Melayu Rayqal sudah disiapkan dari awal. Cuma tinggal untuk menyediakan baju untuk diri sendiri dan biskut raya.
Menyambut Syawal bersama keluarganya di Kuala Lumpur, Nora juga menyatakan rasa bahagia kerana dapat meraikan bersama buah hatinya buat pertama kali.
- UTUSAN