Perkembangan internet jalur lebar di Malaysia

Semenjak jalur lebar diuar-uarkan kepada umum beberapa tahun kebelakangan ini, ramai yang mendapat manfaat hasil daripada teknologi itu dalam meluaskan jaringan maklumat di kalangan penduduk negara ini.

Jalur lebar menjawab pelbagai kemusykilan berkaitan rangkaian yang selama ini tidak dibayangkan hampir 26 juta penduduk negara ini, malah 'buah tangan' teknologi itu membuka lembaran baru bukan saja untuk penggunaan sosial, malah kekuatan ekonomi Malaysia.

Justeru, kebaikan jalur lebar memberi manfaat kepada saluran Internet yang mampu memperkasakan masyarakat berilmu selain menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemangkin minda negara.

Sambungan Internet sepatutnya mampu dimanfaatkan semua lapisan masyarakat sama ada mereka tinggal di bandar atau luar bandar yang memerlukan keseimbangan dari aspek prasarana dan sebagainya.

Namun, statistik sepanjang tiga tahun dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan jurang perbezaan ketara dapat dilihat antara bandar dan luar bandar.

Tahun lalu, kadar penggunaan Internet untuk isi rumah di negara ini bagi penduduk bandar ialah 85.3 peratus berbanding 14.7 peratus yang dikecapi penduduk luar bandar.

Rekod itu menunjukkan peningkatan bagi penduduk bandar dan pengurangan penggunaan bagi penduduk luar bandar berbanding 2006 yang menyaksikan 18 peratus Internet mampu dinikmati mereka berbeza dengan 82 peratus nikmat dihirup mereka yang tinggal di bandar.

Ia diakui sendiri Penasihat Bahagian K-Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Sumali Amat yang menjelaskan kepentingan jalur lebar perlu diseimbangkan antara bandar dan luar bandar.

"Kita melihat dari aspek statistik yang dikeluarkan SKMM menyaksikan perbezaan besar antara dua kawasan terbabit. Ia perlu diteliti agar manfaat Internet dapat dikecapi secara seimbang oleh semua rakyat di negara ini," katanya.

Sumali memaklumkan, kadar penebusan untuk pemilikan komputer di negara ini adalah 24 bagi setiap 100 isi rumah manakala akses Internet memperlihatkan 10.4 daripada 100 isi rumah.

"Bagi merapatkan jurang digital itu, kerajaan melaksanakan beberapa langkah seperti penubuhan pusat tele iaitu pusat Internet yang beroperasi di bawah beberapa kementerian," katanya.

Katanya, Malaysia memiliki 2,130 pusat itu setakat ini dan merancang untuk penubuhan satu pusat tele untuk setiap mukim menjelang tahun depan.

Hakikatnya, peluang menikmati Internet tidak dapat dinikmati sepenuhnya penduduk di negara ini berbanding kehidupan di kota seperti Kuala Lumpur yang mengecapi kemudahan dan peluang yang ada sambil menikmati capaian komunikasi global dan kualiti perkhidmatan terbaik.

Secara pragmatiknya, kemudahan yang ada sepatutnya dikongsi sama rata agar segala pembangunan ekonomi dan sosiomasyarakat yang mapan boleh dicapai.

Sebagai negara maju, kita harus menuju ke arah komunikasi global yang tidak tertumpu kepada pembangunan bandar semata-mata.

Ketika ini, kita bersaing dengan negara di benua Eropah yang kosnya lebih rendah sedangkan kemahiran dari segi kejuruteraan dan saintifiknya amat maju manakala dengan India dan China, kosnya rendah tapi prasarananya tidak memuaskan.

Oleh itu, kita harus menambah baik kedua-dua faktor berkenaan iaitu kemahiran dan prasarana.

Meningkatkan prasarana di luar bandar bukan mudah terutama jika ia menyentuh berkaitan faktor geografi di bumi bertuah ini, namun kalau ada kerjasama yang kukuh di samping keinginan untuk maju selangkah ke depan, apa saja boleh berlaku.

Secara model perniagaan, amat sukar bagi pembekal jalur lebar untuk melabur ratusan ribu ringgit bagi mempertingkatkan prasarana yang hanya mempunyai populasi rendah di luar bandar.

Mana untungnya? Pelaburan berisiko yang pastinya tidak mendatangkan keuntungan. Kalau silap langkah, boleh bankrap!

Oleh itu, pembekal Internet perlu bekerjasama dengan pihak ketiga bagi merealisasikan teknologi jalur lebar yang mampu menjawab pelbagai persoalan di kalangan masyarakat kampung.

Kerjasama menerusi Dana Perkhidmatan Universal (USF) perlu diambil kira seperti bantuan kerajaan tempatan atau syarikat berkaitan Internet lain yang mampu mengurangkan kos prasarana.

Sekali gus, ia mengurangkan pergantungan kos prasarana kepada satu entiti semata-mata, malah secara tidak langsung mempromosikan syarikat yang bertanggungjawab membawa Internet ke kawasan berkenaan.

Memilih prasarana yang stabil, kawasan liputan lebih luas dan menjimatkan kos juga antara faktor penting dalam menjana kemudahan jalur lebar di luar bandar seperti teknologi WiMAX yang beroperasi berasaskan protokol Internet (IP).

Arkitek Kanan Program Intel Dunia Maju, Dr Bernd Nordhausen, berkata teknologi adalah asas kepada cabaran guna pakai jalur lebar di kawasan pedalaman dan kini diperkenalkan pula WiMAX selepas permintaan berdasarkan suara menerusi telefon dilihat sebelum ini.

"Jalur lebar perlu disesuaikan mengikut keperluan komuniti di kawasan luar bandar. Mereka perlu dididik dengan manfaat jalur lebar yang mampu mengubah hidup," katanya.

Dr Bernd berkata, WiMAX menyediakan ruang liputan yang lebih luas jika dibandingkan dengan teknologi capaian jalur lebar tanpa wayar lain, malah ia hanya perlukan beberapa stesen pangkalan untuk meliputi kawasan lebih ramai pengguna.

Kos prasarana lebih rendah membolehkan pengendalinya menawarkan perkhidmatan pada kadar caj lebih murah. Ia juga mudah ditingkatkan keupayaannya.

"Salah satu kajian berkaitan WiMAX dilaksanakan di kawasan pedalaman Ta Van, Vietnam yang membolehkan komuniti di tempat itu kini hidup selesa dengan peningkatan aspek ekonomi dan sosial mereka," katanya.

Katanya, berbekalkan satelit sebagai tulang belakang selain penggunaan sehingga 1.5 gigabit sesaat bagi setiap 12 orang, teknologi WiMAX berjaya menghubungkan komuniti dengan aplikasi seperti berita, ruang sembang, blog dan foto.

"Selain itu, ia mengubah landskap kawasan membabitkan perkembanagn perniagaan kecil sederhana (SMB), persekolahan dan pertanian apabila beberapa aplikasi Internet berjaya dimanfaatkan," kata Dr Bernd.

Ia senada dengan Ketua Pusat Penyelidikan E-Komuniti, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datin Dr Norizan Abdul Razak yang memaklumkan kemudahan Internet perlu menepati keperluan komuniti setempat.

"Kalau tidak mereka akan berkata, apa perlunya kami mendapatkan jalur lebar sedangkan kehidupan kami elok saja tanpa Internet," jelas Dr Norizan.

Ketua Pegawai Eksekutif P1, Michael Lai, percaya dengan apa yang dilakukan teknologi mudah alih kepada dunia talian tetap telefon, WiMAX akan melakukannya pula kepada dunia jalur lebar talian tetap.

"Dengan menggunakan WiMAX, Malaysia akan mengambil langkah signifikan ke arah capaian Internet jalur lebar tersedia di mana saja. Impaknya kepada kehidupan kita pasti menakjubkan," katanya.

P1 menyokong agenda kerajaan meluaskan penggunaan jalur lebar yang meliputi semua bidang, khususnya di kalangan masyarakat luar bandar dan mereka yang kurang mendapat perkhidmatan.

"Kami berharap dapat memberikan sumbangan positif kepada sasaran mencapai penembusan jalur lebar sebanyak 50% di negara ini menjelang 2010," tambah Lai.

Dalam era digital ini, capaian Internet semakin menjarakkan jurang antara yang 'ada' dengan yang 'tiada'.

Usaha menyediakan teknologi kepada masyarakat membangun ini hanya akan berjaya sekiranya masyarakat itu sendiri menghargai bagaimana teknologi boleh ditambah baik, memajukan dan memperbaiki kehidupan dari segi sosial dan ekonomi.

Pastinya, ramai yang mempunyai satu suara bersetuju sambungan meluas, pembabitan masyarakat, pembinaan kapasiti dan pembangunan kandungan adalah faktor kejayaan kritikal membantu melaraskan ketidakseimbangan dari segi capaian kepada maklumat.

Komponen penting ini akan menyamakan perbezaan dengan kata lain, ia merapatkan jurang digital.

P1 memiliki ramuan terbaik bagi penduduk luar bandar dengan menyediakan capaian jalur lebar kepada penduduk Chini Timur, Pahang menerusi Pusat Jalur Lebar Masyarakat P1 (P1 CBC).

Pusat P1 CBC di Chini Timur mewujudkan peluang unik untuk mengkaji kesan sambungan jalur lebar terhadap masyarakat luar bandar.

Ia dilaksanakan sebagai tapak membolehkan P1 terus memahami lebih lanjut ciri pusat telekomunikasi berjaya yang boleh dicontohi masyarakat luar bandar lain.

"Menerusi pengumpulan data secara berterusan, kami dapat mengukur kesan jalur lebar terhadap masyarakat.

"Kami juga mengkaji pelbagai segmen masyarakat untuk mengetahui kesesuaian bagi menggalakkan penggunaan jalur lebar," tambah Lai

"Teknologi WiMAX terbukti satu pilihan berdaya maju bagi penggunaan jalur lebar bermutu tinggi secara besar-besaran dengan sambungan tanpa wayar lebih fleksibel," katanya.

Kerjasama rapat dengan pejabat daerah, masyarakat setempat dan pendukung teknologi membolehkan P1 membina keupayaan komuniti berdaya maju dan memberikan pendidikan peringkat asas bermakna kepada kehidupan masyarakat yang diterajui jalur lebar.

Rumusan yang mampu diperkatakan ialah kepentingan jalur lebar yang menghubungkan komunikasi, namun masyarakat perlu ditekankan manfaatnya secara terperinci bagi membolehkannya berubah di samping kerjasama banyak pihak untuk membina prasarana terbaik kepada rakyat negara ini.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Azahra Sofina
    Azahra Sofina Jumaat, 18 Julai 2014 pada 6:43:00 PG SGT

    Maklumat yang baik . Terima Kasih :)

Add Comment
comment url