Wanita berkuasa di dunia
Pada 20 Ogos lepas majalah kewangan terkemuka, Forbes mengeluarkan senarai 100 wanita paling berkuasa di dunia. Menariknya walaupun wanita yang terpilih ini dikatakan sangat berkuasa dan berpengaruh dari 100 mereka yang tersenarai hanya 18 dari mereka terlibat dalam politik. Dari senarai tersebut juga dua wanita yang terpilih merupakan dari golongan bangsawan iaitu Ratu Elizabeth II yang menduduki tempat ke-42 dan Ratu Rania dari Jordan yang berada di kedudukan ke-76. Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama turut tersenarai buat pertama kali pada tahun ini.
Walaupun Michelle merupakan orang yang paling dekat dengan Presiden AS, Barack Obama, namun beliau hanya mampu berada di tangga ke-40.
Selebihnya wanita-wanita berkuasa ini menduduki hierarki tertinggi dalam dunia korporat. Keupayaan para wanita ini sememangnya membanggakan walaupun dari segi kedudukan dan pengaruh politik mereka mungkin dilihat agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum Adam. Namun kejayaan mereka mentadbir dan mengurus syarikat-syarikat terkemuka dunia telah membuktikan bahawa tangan yang mengayun buaian turut mampu menggoncang dunia.
Kesemua wanita ini bertanggung jawab mengawal wang tunai berjumlah AS$26 trilion (RM93 trilion ) di seluruh dunia. Namun begitu kegawatan ekonomi yang melanda dunia turut sama menjejaskan kedudukan wanita yang tersenarai tahun lepas sehingga ada di antara mereka yang disingkirkan dari jawatan yang dipegang. Antara mereka ialah bekas presiden syarikat bermasalah Alcatel Lucent, Patricia Russo dan bekas Presiden Morgan Stanley, Zoe Cruz.
Menduduki tangga pertama, Canselor Jerman, Angela Merkel kekal wanita paling berkuasa di dunia bagi tahun keempat berturut-turut selepas majalah tersebut menonjolkan peranannya sebagai pemimpin negara ekonomi keempat termaju di dunia. Beliau yang akan berhadapan dengan pilihan raya pada September ini dijangka akan terus mempertahan jawatan itu berikutan keupayaannya memimpin Jerman mengharungi kemelut ekonomi dunia.
Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hanya menduduki tempat yang ke-36, satu kedudukan yang dilihat agak terkebelakang berbanding jawatan dan pengalaman beliau. Clinton jatuh dari tangga 28 pada tahun lepas semasa beliau hampir memenangi pencalonan Presiden AS bagi Parti Demokratik ke tangga 36 pada tahun ini, meskipun mengetuai Jabatan Negara AS yang paling berpengaruh. Malah ada yang mempertikaikan pemilihan senarai 100 wanita berkuasa ini kerana Hillary sewajarnya menduduki tempat yang lebih baik.
Antara wanita yang terlibat dalam politik dan menempatkan diri dalam senarai ini ialah Presiden Argentina, Cristina Fernandez yang menduduki tempat ke-11, Presiden Parti Kongres Kebangsaan India, Sonia Gandhi tempat ke-13, Menteri Ekonomi, Kewangan dan Pekerjaan Perancis, Christine Legarde tempat ke-17 dan Presiden Chile yang menduduki tempat ke-22, Michelle Bachelet.
pemimpin wanita
Nama-nama lain ialah seperti Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo yang menduduki tempat ke-44, Yulia Tymoshenko yang juga Perdana Menteri Ukraine, tempat ke-47, Presiden Liberia, Ellen Johnson-Sirleaf tempat k- 67, Mary McAleese yang juga Presiden Ireland, Perdana Menteri Iceland, Johanna Sigurdardottir tempat ke-75 dan Perdana Menteri Bangladesh Hasina Wajed yang menduduki tempat ke-79. Satu-satunya pemimpin wanita dari dunia Arab yang tersenarai dan menduduki tempat ke-95 ialah Menteri Ekonomi UAE, Sheikha Lubna Al Qasimi.
Bagi wanita yang menduduki tempat tertinggi dalam senarai wanita berkuasa dari dunia korporat, tempat kedua dalam senarai ini diungguli oleh Sheila Bair yang juga pengerusi Federal Deposit Insurance Corp. Syarikat ini yang bertanggungjawab menginsurankan bank-bank di AS yang kini masih belum selamat dari kemelut kegawatan ekonomi.
Wanita seterusnya adalah seorang yang menarik untuk diperkatakan. Beliau merupakan wanita berusia 53 tahun dan dilahirkan di daerah Chennai dalam Tamil Nadu, India. Beliau turut mendapat pendidikan Madras Christian College di Calcutta sebelum melanjutkan pelajaran di
Yale School of Management. Beliau yang dimaksudkan ialah Indra Krishnamurthy Nooyi atau lebih dikenali sebagai Indra Nooyi yang kini memegang jawatan sebagai
Ketua Pegawai Eksekutif di PepsiCo, sebuah syarikat terkemuka dunia dalam bidang makanan dan minuman.
Beliau yang memegang jawatan itu sejak dari 2006 dibayar gaji sebanyak AS$6,230,366 (RM 22.3 juta) setahun. Nooyi sememangnya telah tersenarai antara wanita berkuasa dunia sejak memegang jawatan tertinggi di PepsiCo sejak 2006.
Cynthia Carroll, Ketua Eksekutif syarikat Anglo American yang juga antara syarikat perlombongan terbesar di dunia menduduki tempat keempat dalam senarai tersebut tahun ini.
Syarikat tersebut yang mempunyai pegangan besar dalam pelbagai syarikat perlombongan sama ada emas, berlian mahu pun besi dan kuprum seperti DeBeers, MMX Minas-Rio dan AngloGold Ashanti.
Pengalaman selama 17 tahun dalam bidang perlombongan dan industri minyak dan gas telah menjadikan beliau antara pemimpin yang dihormati dalam industri tersebut.
Tempat kelima senarai tersebut pula diduduki oleh Ho Ching yang juga ketua eksekutif di syarikat pelaburan Temasek Holdings yang dimiliki oleh kerajaan Singapura. Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Beliau pernah mengumumkan untuk berundur dari syarikat yang memiliki aset melebihi AS$100 bilion pada 6 Februari 2009 dan digantikan dengan Charles "Chip" W. Goodyear. Namun pada 21 Julai beliau kekal dengan jawatan tersebut setelah Goodyear berhadapan masalah dengan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Dalam memperkatakan tentang kedudukan wanita, sesungguhnya dunia harus mengakui bahawa kedudukan wanita kini semakin baik berbanding zaman sebelumnya. Di Malaysia. bersesuaian dengan peredaran zaman kedudukan wanita juga semakin baik dalam pelbagai bidang sama ada politik mahupun ekonomi dengan menjawat pelbagai jawatan yang satu ketika dimonopoli oleh lelaki.
Namun begitu kita tidak seharusnya terlalu terikut-ikut dan terpengaruh dengan kehendak Barat yang seboleh-bolehnya mahu kita mengikut rentak mereka dalam semua perkara dari politik mahupun cara kita berpakaian. Kita telah dididik supaya berbangga dengan cara dan acuan kita yang tersendiri. Inilah perkara yang membezakan kita dengan nilai-nilai Asia dan ketimuran yang jauh berbeza dengan mereka di Barat. Janganlah hanya kerana perkara remeh seperti ugutan media Barat dalam isu rotan baru-bari ini kita perlu berasa takut dan terikut-ikut dengan kehendak mereka. Walau apa pun, kedudukan dan peranan wanita di negara ini masih banyak yang perlu dipertingkatkan dan adalah diharapkan supaya satu hari nanti nama wanita Malaysia mampu menjadi pegawai tertinggi syarikat ternama dunia seperti yang dilalui oleh CEO PepsiCo, Indra Noir. Pastinya dengan kedudukan sebegini hebat ia mampu membuka mata seluruh dunia terhadap keupayaan wanita negara ini sekali gus melayakkan mereka menduduki senarai antara wanita berkuasa dunia.
- UTUSAN