Tempahan MPV Perodua dibuka mulai Oktober
“Pelancarannya dijadualkan pada November dan kami harap membuka tempahan untuk MPV itu pada Oktober ini,” kata Pengarah Perodua Sales Sdn Bhd, Ahmad Suhaimi Mohd Anuar pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Jelajah 11 Era bersama Perodua di Petaling Jaya, semalam.
Katanya, beliau yakin MPV Perodua itu akan mendapat sambutan kerana ia bukan saja memenuhi keperluan pengangkutan keluarga, malah ditawarkan pada harga kompetitif.
MPV menggunakan enjin 1.5 liter DVVT itu dijangka dijual pada harga antara RM56,000 dan RM65,000 seunit, harga disifatkan penganalisis automotif sesuai dengan kemampuan pengguna.
Direka bentuk Perodua khusus untuk pasaran tempatan, MPV berkenaan menggunakan sehingga 90 peratus kandungan tempatan.
Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar sebelum ini melahirkan keyakinannya MPV itu mampu meningkatkan jualan kenderaan syarikat itu, sekali gus menguasai pasaran bagi segmen berkenaan.
Perodua masih mendahului pasaran kenderaan tempatan bagi tempoh enam bulan sehingga Jun lalu, dengan menjual 77,045 unit untuk menguasai 33.8 peratus pasaran.
Sementara itu pada majlis semalam, Ahmad Suhaimi menyerahkan sebuah Perodua ViVa Era 11 iaitu model Ezi direka khas kepada Azizi Abdul Aziz, 22 yang terpilih daripada 100,000 pengunjung Jelajah 11 Era Bersama Perodua.
- BERITA HARIAN