Awal dilamun cinta


Diam tak diam pelakon dan pengacara tampan, Awaluddin Ashaari atau lebih komersil dengan panggilan Awal, mengakui sedang menjalin hubungan dengan seorang gadis yang dikenalinya sejak tahun 2006.

Pada majlis berbuka puasa Astro yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, tanpa perlu banyak disoal media, pemuda berusia 28 tahun ini dengan tulus mengakui sedang menjalin hubungan dengan gadis idamannya.

Soalan nakal media sama ada gadis tersebut sepertinya terlibat dalam dunia seni, tanpa menafikan mahupun mengiyakan, Awal menggambarkan gadis tersebut tidak jauh daripada lingkungan kehidupannya.

"Kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Saya telah mengenalinya sejak tahun 2006 lagi dan pernah cuba untuk mendekatinya tetapi tak dapat.

"Dahulu saya pernah kecewa dan sedikit merajuk dengannya, bagaimanapun bertemu semula dengannya dua bulan lalu, syukur hatinya sudah terbuka untuk menerima saya.

"Dia datang secara semula jadi pada waktu dan tempat yang tepat," luah Awal sambil tersenyum mempamerkan rasa hati yang sedang berbunga.

Bercerita lanjut tentang gadis tersebut, kata anak jati kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu lagi, gadis tersebut hampir memenuhi ciri-ciri gadis yang diidamkannya selama ini.

"Yang suka mengenai teman baru saya ialah dia berbeza dengan gadis lain yang saya kenal iaitu sedikit misteri.

"Personalitinya nampak lebih kasar berbanding saya dan bagi saya itu yang bagusnya sebab saya tidak boleh orang yang mengada-ngada nanti cepat rimas.

"Dia juga lebih muda berbanding saya. Dasarnya dia tidak nampak romantik tetapi jika bersamanya saya yang lebih manja," kata Awal sambil mendedahkan bakal bertandang ke rumah keluarga buah hatinya itu pada hari raya nanti.

Sering dileteri ibu membuatkannya Awal berfikir berulang kali untuk mencari calon isteri.

Apatah lagi, sejak terkandas di alam percintaan sekitar tahun 2006, Awal tidak pernah lagi membuka pintu hatinya untuk menjalin hubungan baru.

Biarpun seringkali dikaitkan dengan beberapa artis, namun kata Awal, tiada langsung sesiapa yang mampu membuka pintu hatinya itu.

"Saya sudah fikir banyak kali. Benar apa yang dikatakan oleh ibu saya sudah layak bergelar suami. Saya berterus-terang tentang diri saya kepada teman saya itu dan syukur dia boleh menerima diri saya seadanya.

"Biarlah saya mengenalinya untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi sebelum melangkah ke peringkat seterusnya," kata Awal lagi.

Sibuk berniaga

Sebelum ini, ramai yang mengetahui bahawa jejaka yang gemar mengukir senyuman ini menjalankan perniagaan pakaian di butik D&A Celebrity Style di Hartamas bersama pelakon dan model terkenal Dynaz Mokhtar.

Sibuk dengan perniagaan pakaian, Ramadan kali ini Awal turut menguruskan bisnes menjual sandal wanita, Wedgie-wedges yang membuka kiosk di The Curve, Damansara.

Dalam pada itu, dia baru sahaja tamat penggambaran dan sedang sibuk menjalani proses suntingan suara untuk filem terbaru lakonannya, Niang Rapik yang memulakan pengambaran sekitar Julai lalu.

Dalam perkembangan lain, Awal juga masih lagi diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang pengacara program Sehati Berdansa musim ketiga bersama aktor Fahrin Ahmad.

"Berbeza daripada tahun-tahun lalu, kali ini dimaklumkan peranan saya dibawa ke depan dan bukan lagi seperti sebelumnya yang lebih kepada segmen diari seperti Di Sebalik Sehati Berdansa," katanya lagi.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url