Batu bulan mungkin dicuri?
Perhatian kepada negara-negara sedunia!
Adakah pemerintah negara-negara itu mengetahui di manakah batu bulan yang pernah diterima semasa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Richard Nixon pada tahun 1970-an?
Penemuan batu bulan palsu di sebuah muzium di Belanda sepatutnya menyedarkan lebih 130 negara yang menerima hadiah batu bulan itu.
Hampir 270 batu bulan yang dibawa oleh angkasawan-angkasawan AS diberikan kepada sejumlah negara oleh pentadbiran Nixon.
Namun, menurut beberapa pakar dan penyelidikan agensi berita AP, lokasi sebahagian batu bulan itu tidak diketahui.
"Tidak ada keraguan dalam pemikiran saya bahawa kebanyakan batu bulan sudah hilang atau dicuri dan kini menjadi koleksi peribadi," kata bekas penyiasat kerajaan yang mengendalikan projek mengesan harta bulan, Joseph Gutheinz.
Kajian AP melalui maklumat Jabatan Negara AS dan beberapa kedutaan AS pada 1973 menunjukkan batu bulan pernah dihadiahkan kepada pemerintah Switzerland, Belgium, Itali, Barbados, Perancis, Poland, Norway, Costa Rica, Mesir dan Nepal.
Pentadbiran Ecuador dan Cyprus antara beberapa negara yang mengaku tidak pernah mendengar batu itu walaupun pernah menerimanya.
- AP