Blog Artis - Medium interaksi atau raih populariti?
Tidak mahu ketinggalan untuk turut serta dalam kemeriahan trend blog dan laman akaun sosial, semakin ramai selebriti turut memiliki blog sendiri. Adakah ia mampu melonjakkan populariti artis atau boleh menjebakkan mereka ke kancah kontroversi?
Penggunaan Internet telah melahirkan budaya baru di kalangan penduduk negara ini iaitu blogging dan trend laman akaun sosial. Istilah blogging merujuk kepada individu atau blogger yang mempunyai laman sesawang peribadi sendiri atau juga disebut blog.
Dianggarkan terdapat tidak kurang daripada 500,000 blog yang dibangunkan oleh pengguna Internet di Malaysia memandangkan pembinaan sesebuah blog sendiri bukanlah sesuatu yang sukar. Sementelah, aplikasi Internet yang digunakan untuk membangunkan blog adalah secara percuma.
Sedar atau tidak, Malaysia adalah antara negara yang memiliki pengendali laman blog yang tertinggi di dunia selepas Kesatuan Eropah dan Indonesia.
Keterujaan menjadi penulis blog bergantung kepada kepentingan setiap penulis blog itu sendiri.
Dalam komunikasi dan teknologi maklumat yang tiada sempadan, blog antara media bentuk baru yang sedang berada di puncak populariti. Itu belum lagi dikira demam akaun-akaun laman web sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster.
Dalam dunia hiburan, golongan artis juga tidak ketinggalan menggunakan media bentuk baru itu.
Selebriti hari ini sudah bijak membuat blog atau membuka laman akaun sosial untuk tatapan peminat dan menyediakan portal membenarkan pelawat berinteraksi.
Penggiat muzik bebas pula lebih percaya portal milik mereka sebagai medium untuk mengumpul peminat dan meluaskan empayar muzik berbanding media arus perdana, surat khabar dan TV khususnya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa setiap artis di Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai akaun Facebook. Syarikat-syarikat besar seperti TV3, Astro sendiri memiliki portal hiburan masing-masing seperti Gua.com dan Murai.com.my.
Nama-nama seperti Aznil Nawawi, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Amyza Aznan, Liyana Jasmay, Zed Zaidi Linda Onn, Eizlan Yusof, Rashidi Ishak, Vanida Imran dan Natasha Hudson antara yang sedang memeriahkan laman peribadi masing-masing dengan cerita-cerita menarik untuk tatapan pengunjung setia meraka.
Lebih menarik lagi apabila persada blog juga disertai oleh artis serba boleh Afdlin Shauki, begitu juga dengan pengarah filem tersohor, Mamat Khalid, Patrick Teoh serta penggiat teater, Namron. Masing-masing tampil dengan ideologi, kepentingan serta gaya penulisan yang berbeza.
Pensyarah Psikologi Kaunseling dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Dr. Suradi Salim menjelaskan penulisan daripada blog yang berpengaruh khususnya daripada nama-nama popular boleh memberikan impak yang besar kepada pembaca blog dan penulis blog terbabit.
Namun, kecenderungan penulisan artis atau selebriti menerusi blog mereka sebenarnya lebih bersifat peribadi dan bermotifkan publisiti.
"Blog artis tidak akan menjadi blog serius atau bersifat akademik. Mungkin bukan semua tetapi kebanyakan blog yang dimiliki oleh artis hanya sebagai medan untuk meraih populariti serta sebagai ejen publisiti mereka.
"Itu bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan blog merupakan trend semasa bahkan ia cepat dan boleh dilayari sesiapa sahaja tanpa sekatan," kata Suradi.
Daripada pemerhatian Suradi, selain surat khabar, majalah hiburan serta program TV, blog mempunyai pengaruh kuat untuk mengangkat imej dan menjadi penyalur informasi yang pantas mengenai aktiviti seseorang artis atau sesiapa yang memiliki laman blog peribadi.
Blog artis biasanya hanya dilayari peminat setia artis terbabit, jadi tidak mustahil jika segala yang dipaparkan dan ditulis oleh artis menerusi blog mereka akan diyakini oleh pembaca blog terbabit.
"Cuma apabila penulisan blog oleh seseorang artis itu keluar daripada lingkungan dunia hiburan, bercakap tentang perkembangan dan isu semasa, pandangan pelayar blog terhadap artis itu mungkin akan berubah. Mungkin artis akan dilihat lebih cerdik dan berpengetahuan tidak hanya dalam bidang hiburan semata-mata.
"Peminat sebenarnya mahukan interaksi bersama artis kegemaran mereka, itu kelebihan blog berbanding media cetak atau TV," ujar Suradi mengambil kira pendekatan psikologi yang dimiliki oleh blog artis dan peminat.
Blog daripada kaca mata Suradi memiliki berjenis gaya penulisan, semuanya bersandarkan ideologi yang menjadi pegangan si penulisnya.
Ada penulisan blog yang bertujuan menyampaikan informasi, untuk kepentingan mencurahkan isi hati dan menghibur pengunjung serta untuk kepentingan refleksi (reaksi). Tulisan jenis ini biasanya berasal dari peristiwa nyata atau berdasarkan imaginasi penulisnya.
Hampir kesemua aspek penulisan itu terangkum dalam kebanyakan blog dan blog para artis juga tidak lari daripada bentuk-bentuk penulisan yang tercatat.
Bagaimanapun menurut Suradi, blog artis yang sekadar memburu sensasi pada umumnya tidak akan ada jangka hayat yang panjang.
Terpanggil menyahut kemodenan teknologi maklumat, pengacara tersohor Aznil menjadi antara pemilik blog popular ketika ini.
Mula membuka akaun blognya sekitar 2008, blog Aznil kini dilayari ribuan pembaca termasuklah peminat setia, pemerhati industri seni tidak kurang juga rakan-rakan serta keluarga.
Bersetuju bahawa blog sebagai ejen publisiti seseorang artis namun Aznil berpandangan blog boleh menjadi cermin imej sebenar yang dimiliki oleh artis yang mempunyai blog.
Membuka blog seperti membuka pekung di dada. Dari situ peminat dan pelayar boleh menilai segenap sisi seseorang artis, sama ada sisi sebagai bintang, sisi pandai mahupun sisi kurang bijak yang dimilikinya.
"Orang boleh nilai siapa artis itu menerusi blog miliknya. Menulis tentang aktiviti seni itu satu perkara tapi dalam masa yang sama, saya turut meluahkan pandangan peribadi terhadap isu atau perkembangan semasa yang menarik perhatian saya.
"Bezanya penulisan saya tidak disaring oleh editor dan ia bersifat bebas. Rasanya tidak salah kerana sebagai rakyat saya ada medium saya sendiri untuk meluahkan pendapat," kata Aznil yang lebih tertarik untuk mengikuti blog yang menggunakan nama sebenar berbanding nama samaran.
Blog bagi Aznil satu saluran yang sedang popular dan besar manfaat jika digunakan secara berhemah. Blog artis yang dikunjungi ramai pelayar ada banyak kelebihan berbanding artis yang tidak ada sebarang saluran untuk berkomunikasi dengan peminat.
"Guna blog, saya tidak perlu dua atau tiga hari untuk menyampaikan informasi saya sampai kepada peminat. Biasanya saya akan terima respons yang pantas, adakalanya tidak sampai lima minit.
"Bagaimanapun, saya tetap hormat dengan kerja pihak media. Jika informasi yang bakal saya paparkan bertindih dengan apa yang dikongsi bersama pihak media atau dilakukan bersama-sama pihak media, saya akan tunggu sehingga informasi berkenaan diterbitkan media terlebih dahulu," jelas Aznil yang turut menjadi pengikut blog-blog terkenal seperti blog 1Malaysia dan blog milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sejak membuka ruang kepada peminat dan pelayar blog, Aznil sendiri semakin terbuka minda dan menerima segala respons ke atas blognya dengan hati terbuka.
Menjadi penulis blog juga mengembalikan minat menulisnya yang sekian lama ditinggalkan ekoran kesibukan memenuhi jadual kariernya artis dan penasihat kreatif di stesen TV berbayar, Astro.
- KOSMO!