Muat turun muzik tanpa had


Percaya atau tidak anda kini boleh memuat turun lagu-lagu kegemaran anda di mana-mana dan pada bila-bila masa tanpa had dengan hanya melibatkan kos RM5 sebulan.

Kedengaran agak pelik dan sukar dipercayai kerana selama ini kita mungkin dikenakan caj lebih kurang RM3 ke RM5 untuk memuat turun hanya sebuah lagu.

Namun, itulah yang ditawarkan oleh syarikat penyedia rangkaian mudah alih terkenal, DiGi Telecommunication (DiGi) menerusi perkhidmatan terbaru mereka, Muzik Tanpa Had DiGi.

Mengetengahkan medium capaian internet daripada komputer dan juga telefon bimbit sebagai platform, ia merupakan perkhidmatan muzik tanpa had pertama di Malaysia untuk memberi lebih pilihan kepada pengguna terutama golongan remaja.

Menurut Ketua Bahagian Produk Pemasaran DiGi, Albern Murty, selain memberi tumpuan kepada perkhidmatan dan pelan pembayaran, DiGi juga mempunyai inisiatif memperkembangkan aplikasi untuk hiburan dan gaya hidup.

''Lebih 50 peratus pengguna telefon bimbit di Malaysia merupakan golongan remaja dan kami menyasarkan pasaran sebanyak 27 peratus daripada kalangan mereka untuk perkhidmatan ini.

''Kami yakin ia mampu memberi pengalaman muzik sosial terbaik kepada para pelanggan dalam memenuhi keperluan muzik terkini,'' katanya pada pelancaran perkhidmatan tersebut di Petaling Jaya ini.

Untuk memuat turun, pengguna hanya perlu melayari laman web www.digimusic.com.my bagi mendapatkan pelbagai genre muzik daripada dua syarikat label terbesar di dunia iaitu Universal Music dan Sony Music.

Menarik mengenai perkhidmatan itu, aktiviti pencarian dan memuat turun lagu yang dibuat menerusi WAP pada telefon bimbit tidak akan dikenakan sebarang caj data.

Selain itu, pengguna juga boleh menyusun lagu-lagu yang telah dimuat turun ke dalam playlist mengikut kumpulan dan jenis muzik.

Kemudian, mereka boleh berkongsi lagu-lagu tersebut bersama sesiapa sahaja seperti ahli keluarga arau rakan-rakan sama ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), emel atau laman web sosial.

Pengguna yang melanggan perkhidmatan ini turut berpeluang mendapatkan pas-pas jemputan eksklusif untuk menyaksikan konsert atau persembahan selain menerima hadiah-hadiah edisi terhad melalui peraduan yang dianjurkan.

Perkhidmatan berkenaan hanya disediakan untuk para pengguna rangkaian telekomunikasi DiGi.

Pelanggan Digi yang melanggan perkhidmatan Muzik Tanpa Had DiGi sebelum akhir November ini akan menikmati akses portal stor muzik secara percuma selama 30 hari pertama.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url