Top Ad 728x90

, ,

Kerajaan Indonesia diminta padamkan segera api kebencian

Sentimen anti-Malaysia yang wujud di republik Indonesia semakin 'kacau.' Bahkan hari demi hari ada sahaja penemuan baru terhadap teori tercetusnya tunjuk perasaan di Jakarta.

Ketepikan teori dan pandangan bahawa kumpulan penunjuk perasaan itu diupah atau dalang di belakang mereka ialah pihak berkepentingan politik atau ada negara tertentu yang cemburu hubungan baik Malaysia-Indonesia.

Fokus utama sekarang ialah tindakan kumpulan yang mahu mengusir rakyat Malaysia dan berkempen menyerang negara yang prihatin akannasib warga Indonesia, mesti dihentikan.

Cukuplah tiga minggu kemelut ini berlarutan. Apa yang kita kesal, semakin kerajaan Indonesia tidak mengambil tindakan yang sepatutnya, menjadi-jadi pula lagak kumpulan penunjuk perasaan.

Jika di Malaysia, kumpulan ini sudah lama ditahan polis kerana faktor keselamatan. Tetapi di Indonesia tiada tindakan terhadap rakyatnya yang membuat provokasi keterlaluan terhadap Malaysia.

Kita berpendapat sudah cukup hujah dan kenyataan mengutuk sentimen kebencian terhadap Malaysia yang diluahkan oleh kedua-dua pihak. Sekarang, kita mahu wujud komitmen untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin.

Rasanya tidak wajar isu tarian hingga membawa kedua-dua negara ke kancah peperangan. Mana logiknya peperangan disebabkan tarian pendet, lainlah isu pencerobohan kedaulatan wilayah.

Bukan niat untuk mengajar tetapi Kerajaan Indonesia mesti menunjukkan ketegasan terhadap kumpulan Sweeping Malaysia yang membawa buluh runcing untuk mengusir rakyat Malaysia dari negara jiran itu.

Masalah yang berlarutan ini adalah kerana sikap kumpulan penunjuk perasaan yang bertindak tanpa membuat siasatan dan mendapatkan maklumat yang tepat. Masalah ini bertambah gawat kerana kebebasan media Indonesia yang melampaui etika kewartawanan. Malah wujud tindak-tanduk segelintir pemimpin politiknya yang gemar mengeksploitasi isu-isu yang membabitkan Malaysia.

Aksi tunjuk perasaan oleh rakyat Indonesia bukan perkara baru. Apa sahaja isu yang melibatkan kedaulatan atau rakyatnya, begitu cepat kumpulan berhimpun di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Ketika kedua-dua negara berusaha untuk mencari jalan berbaik-baik memulihkan hubungan, perlu difikirkan langkah-langkah jangka panjang bagi mengelak masalah yang berpunca daripada salah faham dan eksploitasi pihak tertentu.

Sudah jelas, langkah bertukar-tukar program berunsur kebudayaan dan hiburan yang sekian lama dijalankan kurang memberi kesan.

Sesuatu program itu berjaya atau gagal banyak dipengaruhi oleh peranan media. Sebab itu ada kebenaran seruan Pengerusi Penaja Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWMI), cawangan Malaysia, Datuk Ahmad A. Talib kepada pengamal media di Indonesia supaya berpegang kepada prinsip kewarasan ketika membuat liputan. Mereka patut melihat hubungan antara Indonesia dengan Malaysia dalam konteks yang lebih besar.

Selain media, perlu juga digerakkan perhubungan di antara generasi muda kedua-dua negara supaya mereka bekerjasama menjadi penggerak ekonomi serta kebudayaan seperti langkah penubuhan Pusat Strategik Malaysia-Indonesia (IMSC) yang akan beroperasi selepas Aidilfitri ini.

Berdasarkan pengalaman tindakan tunjuk perasaan atas perkara remeh pada masa lalu, kerajaan Indonesia wajar menghentikannya daripada awal sebelum api kebenciannya merebak membakar orang lain.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90