Masalah kawalan kencing

Masalah lemah kawalan kencing lebih cenderung berlaku di kalangan wanita berbanding kaum lelaki. Menurut kajian, satu daripada empat wanita berumur 35 tahun ke atas mengalami kegagalan mengawal kencing iaitu 'terkucil'.

Sesetengah wanita mungkin terkucil beberapa titik air kencing semasa bersin, batuk, ketawa atau bersenam dan ada yang mengalami perasaan ingin terkencing yang mendesak sebelum terkucil secara tiba-tiba.

Ramai wanita mendendamkan perasaan malu mereka lalu tidak membincangkannya dengan orang lain dan menjejaskan keseronokan bersama keluarga dan kawan-kawan.

Wanita mengalami masalah lemah kawalan kencing dua kali ganda lebih kerap berbanding lelaki. Antara faktor yang penyebab ialah kehamilan, bersalin, menopaus dan struktur saluran kencing wanita.

Keadaan lemah kawalan kencing terjadi apabila terdapat masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Tubuh menyimpan air kencing iaitu cecair dan sisa buangan yang dikumuhkan oleh buah pinggang di dalam pundi kencing, organ yang berbentuk belon. Pundi kencing bersambung ke urethra, tiub di mana air kencing dikumuhkan daripada tubuh.

Masalah kebasahan ini berlaku kerana otot lantai pelvis menjadi lemah (umumnya disebabkan oleh kelahiran anak) dan kini tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing dari terkeluar. Kelemahan otot lantai pelvis mungkin juga disebabkan oleh kelemahan kesihatan, obesiti, sembelit, pelbagai ubat-ubatan dan menopaus.

Kegagalan kawalan kencing ini juga sering menjadi masalah bagi wanita Islam yang telah berusia dalam melakukan ibadah.

Ini kerana air kencing adalah najis mutawassitah ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengerjakan solat dan apa-apa ibadah lain terutama ketika melakukan umrah atau haji.

Kegagalan mengawal kencing sudah tentu akan mengganggu kelancaran ibadah. Sebagai contoh, jika seseorang jemaah haji atau umrah yang menghadapi masalah tersebut ingin berada lama di Masjidilharam bagi melakukan ibadah tawaf dan solat mereka perlu mengambil kira perkara ini supaya ibadahnya sah dan diterima.

Adalah tidak praktikal bagi jemaah tersebut untuk pulang ke hotel semata-mata untuk menyalin pakaian yang terkena najis akibat terkucil.

Sehubungan itu, menurut pendakwah dan penceramah bebas, Ustazah Datuk Siti Norbayah Mahamood, pemakaian tuala wanita adalah disarankan jika langkah itu dapat mengelak najis terkena pakaian sekali gus melancarkan ibadah yang dilakukan.

"Dengan cara ini mereka tidak perlu kembali ke hotel yang mungkin terletak jauh dari masjid untuk menukar pakaian.

"Sebaliknya mereka hanya perlu ke tandas bagi membuang tuala wanita tersebut dan menggantikan yang baru sebelum mengambil semula wuduk untuk meneruskan ibadah yang dilakukan. Secara tidak langsung jemaah wanita itu dapat mengerjakan haji dengan lebih sempurna,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan mengenai masalah terkucil di kalangan jemaah haji atau umrah wanita di forum media anjuran Kimberly-Clark Malaysia, pengeluar tuala wanita jenama Poise-Up, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Malaysia/Singpura Kimberly-Clark Trading (M) Sdn. Bhd., Haniza Tahir memberitahu, Poise didatangkan dalam tiga ketebalan iaitu liner, slim dan maxi yang menyerap cairan antara 25 mililiter hingga 300 mililiter.

"Pihak Kimberly-Clark telah mula mengedarkan sampel percuma Poise kepada jemaah haji pada tahun lalu dan pada musim haji tahun ini sebanyak 18,000 hingga 20,000 keping tuala wanita akan diedarkan menerusi Tabung Haji.

"Kini dengan adanya Poise, masalah terkucil ketika mengerjakan ibadah boleh ditangani,'' katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url