Nicol menang gelaran juara terbuka dunia kali keempat

Ratu skuasy negara yang kini pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David berjaya muncul juara Kejohanan Terbuka Dunia Wanita (WWO), selepas menumpaskan Natalie Grinham hari ini.

Natalie merupakan pilihan kedua kejohanan berasal dari Australia, yang kemudiannya menukar kerakyatan pada 2008 selepas berpindah ke Amsterdam untuk beberapa tahun dan berkahwin dengan bekas pemain nombor satu Belanda, Tommy Berden.

Menurut laman web rasmi kejohanan www.womenworldopen.com, Nicol tewas 311 pada set pertama dalam perlawanan akhir hari ini, yang berlangsung di gelanggang kaca Frans Otten Stadion in Amsterdam.

Bagaimanapun Nicol kemudiannya bangkit untuk memenangi set berikutnya dan meraih kemenangan dengan 116, 113 dan 118.

Perlawanan itu merupakan pertemuan kedua mereka dalam kejohanan terbuka dunia.

Pada tahun 2006 semasa kejohanan di Belfast, Ireland, Nicol berentap selama 98 minit dengan Natalie di perlawanan akhir.

Nicol amat gembira dengan kemenangannya itu selepas tewas pada Terbuka British dua minggu lepas.

"Untuk bangkit semula daripada kekalahan minggu lepas, kemenangan minggu ini amat menggembirakan saya. Saya masih tidak mempercayainya. Empat gelaran juara," katanya seperti dipetik daripada laman web itu.

"Berhadapan dengan Natalie adalah sesuatu yang amat sukar. Kami telah banyak kali bertemu, dia terlalu inginkannya (juara) dan begitu juga saya.

"Menang permainan pertama memberikan keyakinan kepadanya dan bagi saya, ialah ia dijadikan perangsang," katanya.

Bagi Natalie pula walaupun hampa dengan kekalahan itu, berpuas hati kerana mampu bersaing di peringkat itu selepas sembuh daripada kecederaan awal tahun ini.

"Saya rasa dia (Nicol) bermula dengan sedikit tekanan, dan kembali tenang selepas itu, dan bagi saya ia terbalik. Telah lama saya tidak mengalahkannya, jadi saya masuk gelanggang tanpa tekanan dan tenang sepenuhnya dan selepas itu saya mula memikirkan banyak perkara mengenai apa yang saya buat dan mula tertekan," kata Natalie.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url