Ops Sikap gambarkan sikap pemandu

Peningkatan angka kematian dalam Ops Sikap Ke-20 yang berakhir kelmarin, lebih menggambarkan sikap sebenar pengguna jalan raya di negara ini dan bukannya menandakan kegagalan operasi itu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof (gambar) berkata, meskipun kadar kematian sepanjang operasi itu tidak dapat dikurangkan, purata kematian setiap hari sepanjang operasi itu masih rendah berbanding pada hari biasa.

Menurut beliau, pada hari biasa, purata angka kematian dalam kemalangan ialah seramai 18 orang sehari berbanding sepanjang tempoh Ops Sikap Ke-20 yang mencatatkan 17.6 kematian setiap hari.

Malah, berbanding Ops Sikap Ke-17 sempena Aidilfitri tahun lalu, purata kematian ketika itu adalah 17.7 peratus sehari.

Beliau menjelaskan, angka kematian itu masih rendah walaupun berlaku peningkatan mendadak bilangan kenderaan di negara ini tahun ini daripada 800,000 ke sejuta buah kenderaan.

‘‘Kadar kemalangan tidak boleh diukur semasa tempoh Ops Sikap sahaja. Ia perlu dilihat secara keseluruhan.

‘‘Bagi Ops Sikap Ke-20 ini, jumlah kematian masih lagi rendah iaitu secara purata 17.6 kematian berbanding 18 kematian pada kemalangan hari biasa,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Ops Sikap Ke-20 yang berakhir kelmarin, merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi dalam sejarah operasi itu sejak diperkenalkan lapan tahun lalu iaitu 261 orang.

Dalam pada itu, tambah Abdul Aziz, Ops Sikap Ke-20 menunjukkan sikap sebenar pemandu di negara ini yang gemar melanggar undang-undang semasa di jalan raya, menyebabkan angka kematian sukar diturunkan.

‘‘Masyarakat perlu menilai dan berfikir serta mengubah sikap untuk menjadi pemandu yang bertanggungjawab, patuh kepada peraturan jalan raya serta berhemah ketika memandu.

‘‘Statistik itu bukan untuk menunjukkan kegagalan atau kejayaan semata-mata. Lebih penting gambaran sebenar sikap masyarakat ketika di jalan raya,’’ katanya lagi.

Abdul Aziz memberitahu, Ops Sikap Ke-20 merekodkan penunggang motosikal adalah penyumbang tertinggi angka kematian iaitu 60 peratus.

Katanya, pihaknya akan membuat kajian terperinci dan penilaian semula serta bersedia menerima pendapat dan komen diberikan oleh kerajaan dan orang ramai.

‘‘Kita akan lihat pendapat yang dikemukakan orang ramai melalui media cetak dan elektronik, jika sesuai, kita akan gunakan dalam operasi seterusnya.

‘‘Kita lihat di media-media banyak komen, pendapat dan cadangan daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat. Oleh itu kita akan teliti,’’ katanya lagi.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url