Pelajar di Jakarta kongsi pengalaman
Setiausaha Badan Perhubungan (Kelab UMNO) Negara Indonesia,
Pengerusi Kelab UMNO Jakarta.
Kita dihebohkan dengan isu hangat rakyat Malaysia menerima ancaman di Indonesia. Minggu lalu, sekumpulan rakyat Indonesia melakukan gerakan provokasi 'Sapu Orang Malaysia' di Jalan Diponegoro, Jakarta.
Dalam demonstrasi tersebut, penunjuk perasaan yang bersenjatakan buluh runcing bagi mencari rakyat Malaysia ekoran isu berbangkit berhubung tarian Pendet.
Sukacita saya berkongsi keadaan kami, pelajar-pelajar Malaysia di Jakarta.
Sebenarnya keadaan di sini tidaklah seburuk yang diberitakan oleh media. Walaupun keadaan sememangnya agak tegang, tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal.
Buat pengetahuan semua, sentimen 'tidak senang' kepada Malaysia (ingin saya tekankan mereka di sini tidaklah sampai kepada tahap 'anti') semakin menjadi-jadi sejak awal tahun ini berikutan beberapa isu yang timbul antara negara Malaysia-Indonesia. Antaranya dimulai dengan kes penderaan tenaga kerja Indonesia, kes sempadan blok Ambalat, Manohara, dan terbaru kes Tarian Pendet.
Walaupun pada dasarnya kes-kes tersebut tidaklah sebesar mana dan Malaysia sentiasa memberi kerjasama agar setiap kes diteliti dan dibawa ke mahkamah untuk dihakimi secara adil, tetapi isu-isu ini telah dieksploitasi secara berlebihan oleh media massa Indonesia.
Tindakan tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri ini telah memprovokasi banyak pihak di Indonesia sehingga keadaan semakin hari semakin tegang.
Segelintir lapisan masyarakat di sini, terutama mereka dari golongan berpendidikan rendah, adalah antara yang mula 'termakan' provokasi media tersebut. Cabaran psikologi seperti pandangan sinis tidak senang dengan kehadiran pelajar-pelajar Malaysia dan kata-kata berunsur menyindir merupakan antara yang dihadapi oleh para pelajar kita di sini.
Setakat ini hubungan di kampus dan aktiviti sehari-hari pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun, kami di sini berpendapat sekiranya perkara ini tidak cepat diatasi secara bijak oleh kepimpinan dua negara, hal yang lebih serius dikhuatiri akan berlaku.
Memorandum pelajar telah pun dihantar kepada pemimpin-pemimpin atasan Malaysia melalui Kelab UMNO Jakarta yang antara lain berkisar tentang kepentingan untuk kerajaan Malaysia menggerakkan dengan lebih agresif peranan organisasi yang ditubuhkan khas bagi menjaga hubungan dua hala Malaysia-Indonesia seperti Eminent Person Group (EPG) yang turut dikepalai oleh Tun Musa Hitam.
Kami menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan Menteri serta kenyataan Presiden Republik Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang prihatin dan turut tidak bersetuju atas apa yang berlaku dan berjanji akan memulihkan semula hubungan dua negara yang kini terguris.
Buat pengetahuan semua, beberapa langkah turut diambil oleh Kedutaan Besar Malaysia melalui Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (JPMI) dan persatuan-persatuan pelajar serta Kelab UMNO di sini bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar kita terjamin. Satu organisasi khas ditubuhkan bagi memantau kegiatan semua pelajar kita di republik ini. Info-info terkini juga disampaikan dari semasa ke semasa kepada mereka.
Pelajar-pelajar turut dinasihatkan supaya tidak ke tempat umum dalam waktu terdekat. Aktiviti-aktiviti luar persatuan dan kelab pelajar Malaysia juga dinasihatkan untuk dihentikan buat sementara waktu. Notis supaya pelajar-pelajar kita untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk provokasi secara verbal atau melalui SMS, emel atau Facebook turut dikeluarkan oleh pihak kedutaan.
Selain itu, jaringan persahabatan antara pelajar Malaysia dan Indonesia turut diperkukuhkan melalui usaha mengadakan satu perjumpaan khas pemimpin--pemimpin pelajar dari dua negara.
Antara yang disepakati pada pertemuan tersebut adalah usaha memperkuat hubungan pelajar Malaysia dan pelajar Indonesia melalui aktiviti-aktiviti sihat yang bakal diatur secepat mungkin. Kepimpinan pelajar tempatan di sini turut prihatin dan memberi jaminan akan sentiasa berusaha memastikan pelajar-pelajar kita dilindungi sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku.
Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kita semua dalam usaha menyelesaikan segala permasalahan.