Jebak asmara
Bapa mana tidak marah apabila anak daranya berusia 18 tahun tergamak lari mengikut penarik kereta yang sudah pun mempunyai dua isteri.
Akibat terjebak dengan ayat cinta lelaki berusia lewat 40-an itu, si gadis sanggup mengikutnya untuk berkahwin di Thailand dan sejak itu tidak pulang lagi ke rumah.
Semuanya bermula apabila Amira Azua Mohamad dari Taman Sidam Kiri, dekat sini, menghilangkan diri selepas sebulan pulang dari Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) awal Ogos lalu.
Mohamad Hussin, 51, percaya kehilangan anaknya ada kaitan dengan seorang lelaki yang menetap tidak jauh dari rumahnya yang sebelum itu pernah datang meminta kebenarannya membawa Amira bekerja di kedai telefon bimbit miliknya.
“Saya mengizinkan pada awalnya, tapi Amira terpaksa berhenti kerja kerana menyertai PLKN. Selepas tamat kursus itu, lelaki berkenaan datang sekali lagi meminta anak saya bekerja dengannya menyebabkan saya tak sedap hati lalu tidak mengizinkannya,” katanya.
Menurutnya, pada 1 Ogos lalu, Amira tiba-tiba hilang dari rumah dan mereka sekeluarga berusaha mencarinya, tetapi gagal.
“Tembelang lelaki yang turut bekerja sebagai penarik kereta itu terbongkar selepas kira-kira seminggu kemudian seorang daripada dua isterinya datang ke rumah kami memberitahu Amira bersama suaminya di Thailand dan mereka sudah berkahwin.
“Tindakan lelaki itu menyebabkan kami marah kerana dia sudah berusia hujung 40-an dan mempunyai dua isteri, tapi masih tergamak membawa lari anak dara orang yang baru berusia belasan tahun untuk berkahwin tanpa restu di Siam,” katanya.
Mohamad berkata, dia tidak akan merestui perkahwinan itu walau apa pun berlaku.
“Lebih menyedihkan, lelaki berkenaan tinggal tidak jauh dari rumah kami serta dikenali semua penduduk taman ini,” katanya.
Sehubungan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani dan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Muda pada 6 Ogos lalu, iaitu hari sama dimaklumkan isteri lelaki berkenaan mengenai anaknya dilarikan dan berkahwin di negara jiran.
“Seminggu selepas itu lelaki itu menghantar Amira pulang tapi saya dapati keadaan dan sikapnya berubah sama sekali. Kami membawanya ke rumah datuknya di Felda Bukit Mandi, Triang, Pahang untuk berubat pada 19 Ogos lalu, tetapi selepas 10 hari di sana, dia sekali lagi dilarikan lelaki berkenaan dan sehingga kini tidak pulang ke rumah,” katanya.
Mohamad berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Mengkuang, Bera, Pahang pada 30 Ogos lalu.
“Saya kesal kerana anak perempuan saya yang kemudian membuat laporan di balai sama tidak ditahan anggota polis bertugas walaupun tidak memiliki kad pengenalan.
“Kini kami mendapat tahu Amira dan lelaki berkenaan sudah pulang ke Sungai Petani, tapi masih menunggu tindakan pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes ini kerana bagi keluarga kami, Amira diculik dan dipaksa berkahwin di negara jiran tanpa kemahuannya,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata, kes itu kini diserah kepada Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Muda yang dijangka memanggil Amira dan lelaki terbabit untuk memberi keterangan mengenai kes berkenaan dalam tempoh terdekat.
- HARIAN METRO