Petrol RON 95 tidak jejas prestasi enjin
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sudah membuat kajian terhadap penggunaan petrol RON 95 sebelum memperkenalkannya di pasaran selain mendapat pandangan pakar dan profesional yang turut membuat kajian serta ujian terhadap petrol terbabit.
Beliau berkata, petrol RON 95 membantu mengurangkan pencemaran berbanding RON 97 yang dijual pada harga RM2.05 se liter, manakala petrol V-power (RM2.25).
Katanya, RON 95 dijual pada harga RM1.80 seliter adalah pilihan terbaik untuk semua enjin kenderaan malah lebih menjimatkan.
"Bagaimanapun, bagi kenderaan yang berkapasiti enjin 3,000cc dan ke atas atau dikategorikan sebagai kenderaan berkuasa tinggi memerlukan petrol RON 97 manakala bagi kenderaan di bawah 3,000cc adalah lebih praktikal untuk menggunakan RON 95," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Bera, yang dihadiri lebih 25,000 pengunjung di Dataran Bera, di sini, semalam.
Ismail Sabri berkata, pihaknya menyedari terdapat beberapa aduan di akhbar berkenaan petrol RON 95 yang didakwa berkualiti rendah, bagaimanapun pihak pengadu dinasihatkan untuk mendapat pandangan daripada pakar berkaitan untuk informasi yang lebih tepat dan jelas.
"Pandangan dan hasil kajian pakar profesional berkaitan enjin dan automotif menjadi garis panduan dan rujukan kerajaan sebelum memutuskan untuk memperkenalkan RON 95.
"RON 95 memang tiada masalah dan prestasinya bukan seperti apa yang didakwa, mungkin pihak terbabit perlu membuat pemeriksaan enjin kende-raan mereka terlebih dulu sebe-lum menyalahkan jenis petrol yang mereka gunakan untuk kenderaan masing-masing," katanya.
Beliau berkata, RON 95 juga digunakan dengan sangat meluas kebanyakan negara di Eropah kerana ia sudah terbukti baik untuk alam sekitar.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kawalan harga barangan yang dilaksanakan kementeriannya ketika musim perayaan dilihat memberi impak positif, berikutan rakyat tidak berdepan dengan masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan.
Beliau berkata, bagi tempoh sepanjang sambutan Aidilfitri itu, pihaknya tidak menerima sebarang aduan sama ada mengenai kenaikan harga ataupun barangan keperluan yang tidak mencukupi.
"Apabila KPDNKK menguatkuasakan kawalan harga terhadap 18 jenis barangan dan bekalan barangan selama dua minggu sejak 13 September sehingga 27 September, kita mendapati semua pihak mematuhi arahan berkenaan
"Selain pihak industri, peniaga juga tidak menyorok barangan yang menjadi keperluan semasa musim perayaan malah mereka turut menjual barangan terbabit di bawah harga siling,'' katanya.
Ismail Sabri berkata, kawalan yang dilakukan itu berjaya membantu rakyat terutamanya umat Islam negara ini mendapatkan bekalan barangan yang mencukupi semasa Ramadan dan Aidilfitri.
- BERITA HARIAN