Tragedi 11 September - Ground zero masih kosong
Pagi itu, seramai 19 orang pengganas dilaporkan merampas empat buah kapal terbang. Kesemuanya sedang dalam perjalanan ke San Francisco dan Los Angeles dari Boston, Newark serta Washington, Amerika Syarikat (AS).
Dirancang dengan cukup rapi oleh Khalid Sheikh Mohammed yang mula-mula menyampaikan idea serangan itu kepada Osama bin Laden pada tahun 1996, pesawat Boeing 767 American Airlines Flight 11 merempuh Menara Utara (North Tower) World Trade Center (WTC) tepat pukul 8.46 pagi pada 11 September 2001.
Selang 15 minit kemudian, giliran pesawat United Airlines Flight 175 pula menghentam Menara Selatan bangunan berkembar tersebut. Kemusnahan yang berlaku amat dahsyat. Bangunan yang menjadi simbol penguasaan ekonomi AS itu akhirnya menyembah bumi. Hanya dalam tempoh dua jam akibat kegagalan strukturnya dan dijilat api.
Tidak cukup dengan itu, pesawat ketiga yang dirampas (American Airlines Flight 77) menuju ke sasarannya, bangunan Pentagon di Arlington County, Virginia. Kerosakan sederhana berlaku pada bangunan itu.
Pesawat keempat iaitu United Airlines Flight 93 yang sasaran asalnya ialah bangunan United States Capitol atau White House bagaimanapun terhempas berhampiran Shanksville, Pennsylvania selepas penumpangnya dilaporkan bertindak berani melawan perampas.
Tiada penumpang pesawat yang terselamat. Malah, angka keseluruhan kematian mencecah lebih 3,000 orang dan mencederakan 6,291 yang lain. Majoritinya ialah orang awam dengan latar belakang kewarganegaraan dari lebih 90 buah negara. Ini termasuklah segelintir mangsa yang mati akibat trauma selepas serangan. Misalnya mengalami masalah paru-paru kerana terdedah dengan debu.
Louis Garcia merupakan antara pegawai perubatan yang terawal sampai di tempat kejadian. "Ada mangsa yang berlari ke arah kami dalam keadaan terbakar seluruh tubuhnya. Ada juga yang tulang bahu atau kakinya sudah terkeluar," cerita Garcia.
Daripada enam mangsa di dalam ambulans yang dinaikinya, dua orang meninggal dunia dalam perjalanan menuju ke Hospital St. Vincent.
Ketika itu, semua hospital berhampiran turut dipenuhi dengan orang ramai yang ingin menderma darah. Sementara syarikat pembekal ubat-ubatan pula menghantar bekalan ubat tanpa diminta. Di seluruh AS, semua orang sibuk menelefon dan mencari jalan bagi memastikan mereka yang tersayang berada dalam keadaan selamat.
Pada tarikh itu juga, rakyat Amerika menghargai semangat heroic kerana ia ada di mana-mana. Ahli bomba terus memanjat bangunan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap, biarpun besinya seakan-akan lebur dimamah api dan retakan dinding semakin galak.
Ketika semua orang tertanya-tanya berapa orang yang mati, Datuk Bandar New York ketika itu, Rudy Giuliani memberitahu: "Jumlahnya melebihi daripada apa yang mampu kita tanggung."
AS mengalami kerugian berbilion dolar. Bukan hanya kerana kerosakan infrastruktur, malah bursa sahamnya tidak beroperasi sepanjang minggu tersebut.
Serangan yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia itu nyata mengubah landskap politik global secara serta-merta. AS yang tercalar imejnya pantas melancarkan 'Perang Menentang Keganasan'. Akibatnya, Afghanistan yang diperintah oleh puak Taliban diceroboh atas alasan mahu menghancurkan rangkaian pengganas digelar al-Qaeda.
Selain itu, AS turut menubuhkan USA PATRIOT Act. Pada masa yang sama, banyak negara lain mula memperkasakan akta antikeganasan masing-masing termasuk meluaskan kuasa penguatkuasaan undang-undang.
Kini, ketika penderaan emosi keluarga mangsa terus menyala, ada satu perkara yang nampaknya masih belum selesai. Tapak bangunan berkembar yang dipanggil ground zero itu belum lagi dibangunkan sepenuhnya.
Jika diikutkan perancangan, lima buah bangunan pencakar langit seharusnya dibina di tapak seluas 16 ekar tersebut. Ia turut bakal menempatkan taman memorial yang dipenuhi pokok, selain teater dan hab pengangkutan.
Namun, apa yang ada sekarang cuma kerangka konkrit dan besi, membuktikan reka bentuk yang diuar-uarkan sejak enam tahun setengah lalu masih gagal untuk direalisasikan.
Perasaan Vickie Cooper, 48, bercampur baur sewaktu dia melintasi pagar di satu sudut ground zero. "Amat sedih apabila memikirkan kemajuan projek ini. Saya terkejut. Saya ingat mesti ada sesuatu yang telah dibina di sini" kata pekerja insurans dari Austin Texas itu.
Persoalannya, bilakah ia akan menjadi realiti? Kini, sudah masuk tahun kelapan ulang tahun serangan. Malangnya masih belum ada tarikh akhir bila bangunan-bangunan itu akan disiapkan.
Satu kajian mendapati, lebih separuh penduduk bandar raya New York bersetuju bahawa pembangunan semula tapak itu sangat perlahan. Lebih 60 peratus tidak percaya bahawa projek yang menjadi keutamaan, Freedom Tower setinggi 1,776 kaki dan memorial 11 September akan siap mengikut jadual.
Keraguan itu nyata tidak mengejutkan Pengarah Eksekutif Port Authority, Chris Ward.
"Satu-satunya cara untuk menghilangkan rasa skeptikal ini ialah dengan meneruskan kerja-kerja pembinaan," kata Ward. Dia memberitahu minggu ini sahaja seramai 1,000 pekerja bertugas di tapak tersebut.
Kerangka Freedom Tower merangkumi beberapa tingkat. Kerja-kerjanya telah bermula pada satu menara Silverstein dan diteruskan ke bahagian hab transit bernilai AS$3.2 bilion (RM11.2 bilion).
Sebenarnya, reka bentuk utama Daniel Libeskind telah dipilih pada tahun 2003, biarpun kemungkinan ia mampu disiapkan diragui. Para pegawai pembuat keputusan nyata terkesan dengan simbolisme serta visi pelan yang mahu kawasan perniagaan itu padat dengan kedai, restoran dan aktiviti kesenian.
Bagi Libeskind, ia tetap satu visi yang logik dan lengkap. "Harapan dan visi saya tidak pernah berubah," katanya dalam satu temu bual.
Pergolakan politik, komplikasi kejuruteraan dan kemelesetan ekonomi memaksa tarikh siapnya ditangguh berkali-kali. Kosnya juga melambung berbilion dolar sejak pelan pertamanya dipersetujui.
Pihak Port Authority menarik balik tarikh akhir siap pada musim luruh lalu, sebelum menyatakan memorial, Freedom Tower dan hab transit hanya akan dibuka antara tahun 2011 hingga 2014.
"Sejak lapan tahun lalu, kami komited untuk membina bangunan yang lebih besar dan hebat. Jika tidak, kami memberi mesej yang tidak sepatutnya kepada dunia," tambah Ward.
Silverstein yang memajak menara-menara itu enam minggu sebelum serangan menyatakan kelambatan projek telah menjejaskan keyakinan orang ramai. Menangguhkan pembinaan menara pejabat itu seolah-olah menggadaikan komitmen AS untuk bertindak balas terhadap serangan 11 September.
"Ia pasti memburukkan reputasi dan imej New York," kata Janno Lieber, individu yang bertanggungjawab menyelia projek bagi pihak Silverstein Properties.
Sementara itu, Presiden kumpulan peniaga Partnership for New York City, Kathryn Wylde menyuarakan kebimbangan golongan peniaga yang 'tersekat' di sekitar tapak pembinaan itu selama bertahun-tahun.
Sehingga kini, pihak Port Authority dan pemaju Larry Silverstein masih belum mencapai persetujuan tentang bilakah projek itu akan disiapkan. Perbalahan pendapat itu bukannya tentang sama ada projek itu perlu dibina di tapak WTC atau tidak. Tetapi tentang bila ia harus disiapkan dan duit siapa yang akan digunakan.
"Kami tidak terlibat dengan pembinaan menara kedua. Sebabnya, berapa banyak lagi wang rakyat perlu dihabiskan untuk membiayai bangunan pejabat yang spekulatif ini?
"Pendirian kami, wang rakyat lebih baik dibelanjakan ke atas projek berkepentingan ramai. Bukannya ruang-ruang pejabat peribadi," tegas jurucakap Port Authority, Stephen Sigmund.
- KOSMO!
walau bagaimanapun.. adakah memang terbukti osama laden di belakang kejadian 11 september.
terlalu banyak keraguan dan spekulasi yang tidak terjawab.
dan juga teori konspirasi yang pelbagai.. yang penting.. segalanya masih belum terbukti sejelas jelasnya
Fyzal's Territory
Mind Heart Lines