BN kekalkan penguasaan dengan majoriti 5,435 undi di Bagan Pinang


Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang apabila calonnya bagi pilihan raya kecil kawasan itu, Tan Sri Mohd Isa Samad menang dengan majoriti 5,435 undi.

Jumlah itu lebih besar daripada majoriti 2,333 undi yang diperolehi BN pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

Mohd Isa memperolehi 8,013 undi manakala lawannya daripada PAS, Zulkefly Mohamad Omar memperolehi 2,578 undi.

Sementara itu, jumlah undi rosak adalah 223 undi.

Perkara itu diumumkan oleh pengurus pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Abdul Wahab Shamsuddin di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini, sebentar tadi.

Pilihan raya kecil ini merupakan yang kesembilan sejak pilihan raya umum 8 Mac.

Kemenangan ini merupakan yang kedua bagi BN memenangi pilihan raya kecil DUN Batang Ai pada April lalu.

Dalam reaksi awalnya, Mohd Isa ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dengan perkembangan setakat ini yang memihak kepada BN.

"Memang kita yakin akan mendapat sokongan yang baik. Tambahan pula, Perdana Menteri telah jelaskan kenapa saya dipilih untuk mewakili BN dan Umno dan ia disokong oleh Timbalan Perdana Menteri yang berkempen siang dan malam di sini.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan perkembangan ini. Bagi saya, faktor kemenangan setakat ini adalah orang dah yakin semula kepada BN.

"Ini petanda baik bukan sahaja di Bagan Pinang malah di seluruh negara. Ini menunjukkan rakyat dah kembali yakin bahawa BN adalah parti yang mampu membangunkan negara walaupun kita akui ada sedikit masalah tapi ia mampu diselesaikan," katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

- MSTAR
Next Post Previous Post
1 Comments
  • kelambuharimau
    kelambuharimau Isnin, 12 Oktober 2009 pada 9:00:00 PG SGT

    syukur BN menang ini bukti bahawa bukan rakyat sukakan pembnagkang tapi mungkin ada krisis dalaman BN yang menyebabkan BN tak menang sebelum ni..insyaallah BN akan kembali kukuh dan diterima rakyat

Add Comment
comment url