Dr. Sheikh Muszaphar nikah 2010
Teka teki bilakah Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan menamatkan zaman bujangnya kini terjawab apabila beliau mengesahkan akan bernikah dengan gadis pilihannya, Dr. Halina Mohd. Yunus pada 10 Oktober tahun depan.
Dr. Muszaphar, 37, memberitahu Mingguan Malaysia hari ini, paling istimewa tarikh pernikahan tersebut dipilih sebagai memperingati detik bersejarah sempena ulang tahun ketiga beliau ke angkasa lepas.
Katanya, beliau bertolak ke angkasa lepas pada 10 Oktober 2007 dengan menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan oleh Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Katanya, misi selama 11 hari itu telah berjaya dilangsungkan dari 10 Oktober 2007 jam 9.21 malam waktu Malaysia dan selamat kembali ke bumi 21 Oktober 2007 pada jam 6.44 petang waktu Malaysia.
Menurut jejaka yang mempunyai jutaan peminat itu, beliau akan mengikat tali pertunangan dengan Dr. Halina pada 1 Januari tahun depan.
Katanya, majlis pertunangan itu bakal diadakan di rumah keluarga Dr. Halina di Seremban, Negeri Sembilan yang akan dihadiri sanak saudara serta kenalan rapat mereka.
Katanya, Dr. Halina, 29, yang dikenalinya sejak lapan tahun lalu kini bertugas sebagai doktor perubatan di Hospital Selayang.
''Sudah tiba masanya saya mahu menamatkan zaman bujang memandangkan faktor usia yang semakin meningkat. Saya seorang lelaki yang mencintai kehidupan berkeluarga dan sangat sayangkan kanak-kanak.
''Niat untuk berumah tangga itu telah lama ada. Cuma jadual harian saya sejak menjadi angkasawan sangat padat. Baru kini saya dapat merancang tarikh pertunangan dan perkahwinan kami,'' katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran kliniknya di sini hari ini.
Klinik yang beroperasi di pusat membeli-belah mewah di Starhill, Bukit Bintang itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Inilah pertama kali Dr. Muszaphar memberi kenyataan kepada media mengenai rancangan perkahwinan serta gadis pilihan beliau yang selama ini kerap menjadi spekulasi pelbagai pihak.
Mengimbas detik manis pertemuan dengan gadis pilihannya itu, beliau mengakui tertarik hati dengan bakal isterinya itu sejak mula berkenalan.
''Dr. Halina pernah menjadi murid saya sewaktu dia menjalani latihan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Ketika itu saya menjadi pensyarah di sana. Saya tidak mementingkan kecantikan luaran seseorang wanita. Bagi saya kecantikan dalam sangat penting. Ciri-ciri itulah yang ada pada beliau yang menambat hati saya,'' ujarnya terus terang.
Katanya, hubungan mereka menjadi semakin serasi apabila Dr. Halina menunjukkan sikap hormat kepada ahli keluarga terutama terhadap kedua ibu bapanya.
Jelasnya, Dr. Halina juga sangat memahami kerjaya serta kesibukan jadual hariannya sebagai seorang doktor dan angkasawan.
''Dr. Halina tidak pernah merungut dengan kesibukan saya. Hubungan kami berlangsung dengan harmoni kerana beliau memahami minat dan jiwa saya. Kami sangat 'sehati sejiwa','' katanya.
- MINGGUAN MALAYSIA
i liked your information...thank u