Majlis pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11


Selepas 42 tahun, hari ini rakyat Negeri Sembilan menyaksikan sekali lagi adat istiadat pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir akan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11. Istiadat itu berlangsung di dalam Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah.

Bagi memastikan kelangsungan institusi diraja Negeri Sembilan terjaga dari segi adat, perjalanan istiadat pertabalan itu dilakukan mengikut adat turun-temurun yang diwarisi sejak dahulu.

Upacara pertabalan itu hakikatnya sudah pun dimulakan dengan istiadat menurunkan dan memasang alat kebesaran diraja di halaman Istana Besar Seri Menanti 22 Oktober lalu.

Tugas membawa keluar alat kebesaran diraja itu dari Balairong Seri ke dalam Istana Besar Seri Menanti bermula pada pukul 9 pagi dan dilaksanakan oleh Pegawai 99 yang diketuai oleh Datuk Seri Amar Diraja Ahmad Minar, setelah mendapat perkenan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz.

Alat kebesaran

Alat-alat kebesaran itu yang terdiri daripada lapan kaki payung kuning, lapan bilah tombak berambu, lapan bilah keris panjang, lapan bilah pedang panjang dan lapan tonggol kuning, hitam dan merah kemudian diletakkan di atas meja khas sebelum ditepung tawar diikuti bacaan doa oleh Datuk Johan Abdullah Yusof. Alat-alat kebesaran itu kemudian dibawa keluar dari Istana Besar Seri Menanti dan dipasang di tempat khas di halaman Istana Besar Seri Menanti. Istiadat itu diakhiri dengan tembakan dua das meriam.

Alat-alat kebesaran diraja itu kekal terpasang di halaman Istana selama tujuh hari sehingga istiadat menyimpan dilakukan pada Rabu ini.

Sebelum istiadat pertabalan dimulakan, Datuk Bentara Kanan akan tampil ke hadapan Singgahsana dalam Balairong Seri untuk menghadap dan memohon perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Sejurus menerima perkenan, beliau kemudiannya menyeru Datuk Seri Amar Diraja mengadap untuk haluan sembah, sebelum Datuk Bentara Dalam menyeru Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak bagi mengadap dan melafazkan pertabalan.

Ucapan

Datuk Klana Petra iaitu Imam Undang Yang Empat kemudian melafazkan ucapan pertabalan ke atas Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Lafaznya: "Adalah Undang Yang Empat dengan adat istiadatnya menabalkan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir naik takhta kerajaan Negeri Sembilan."

Selepas istiadat itu berlangsung, Datuk Seri Amar Diraja dan Datuk Pegawai Yang Enam akan bangun untuk menurunkan Daulat yang kemudiannya Datuk Bentara Kanan menyeru 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali.

Selepas itu, lagu kebesaran Negeri Sembilan diperdengarkan berserta tembakan meriam 32 das dari 41 Bateri Istiadat, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Adat istiadat itu diteruskan lagi dengan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli oleh Undang Yang Empat sebelum diikuti Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung terdiri daripada Datuk Setia Maharaja Lela Pahlawan (Luak Ulu Muar), Datuk Lela Pahlawan (Jempol), Datuk Anjah Pahlawan (Terachi), Datuk Orang Kaya Mempasir Setiawan (Gunung Pasir), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Walat Kuala Dioh (Inas).

Kemudian diikuti istiadat menghadap oleh Datuk-Datuk Lembaga Luak dan Lembaga Waris Undang Sungai Ujong yang dimulai dengan Lembaga Sungai Ujong iaitu Datuk Mendika, Datuk Sri Maharaja Diraja, Datuk Akhirzaman, Datuk Amar Setia; Lembaga Jelebu - Datuk Menteri, Datuk Mengiang, Datuk Chincang, Datuk Senara; Lembaga Di Baroh - Datuk Merbangsa, Datuk Gempa Maharaja, Datuk Bangsa Balang, Datuk Samsura Pahlawan dan Lembaga Di Darat iaitu Datuk Seri Maharaja, Datuk Senda Maharaja, Datuk Andika dan Datuk Mendika.

Ia diikuti dengan Waris Sungai Ujong iaitu Datuk Laksamana, Datuk Panglima Besar, Datuk Johan, Datuk Lela, Datuk Muda Labu, Datuk Paduka Diraja, Datuk Senda Maharaja; Waris Jelebu iaitu Datuk Umbi, Datuk Raja Balang, Datuk Paduka, Datuk Majinda; Waris Johol iaitu Datuk Baginda Tan Emas; Waris Rembau iaitu Datuk Shahbandar, Datuk Mangku Bumi, Datuk Menteri Lela Perkasa, Datuk Raja Diraja dan Datuk Perba.

Sembah taat

Apabila semua proses istiadat menghadap itu berakhir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyembah ucapan tahniah dan sembah taat setia daripada kerajaan dan seluruh rakyat Negeri Sembilan.

Selepas ucapan tahniah Menteri Besar, ia diikuti pula dengan titah ucapan Tuanku Muhriz dan seterusnya bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Datuk Bentara Kanan seterusnya mengumumkan Istiadat Pertabalan telah disempurnakan, begitu juga Datuk Seri Amar Diraja mengadap dan memaklumkan kepada Tuanku Muhriz bahawa pertabalan telah selamat disempurnakan.

Pelantikan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diperkenan selepas Almarhum Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat pada 27 Disember 2008.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url