Top Ad 728x90

,

Makanan segera punca kanak-kanak darah tinggi

Penyakit darah tinggi yang sebelum ini kerap dikaitkan sebagai 'penyakit orang tua' kini turut dihidapi oleh kanak-kanak yang mengalami obesiti akibat pengambilan makanan segera yang tidak dikawal.

Kandungan garam dan lemak yang berlebihan dalam makanan tersebut boleh memudaratkan kesihatan tambahan pula jika mereka kurang melakukan aktiviti fizikal.

Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norlizawati Che Lah mendedahkan, terdapat kes seorang kanak-kanak lelaki terpaksa dimasukkan di Pusat Rawatan Rapi (ICCU) selama dua minggu akibat diserang darah tinggi.

Katanya, kanak-kanak yang dirawat di ICCU hospital berkenaan itu mempunyai berat badan berlebihan sebanyak 30 kilogram daripada berat sepatutnya dimiliki oleh kanak-kanak yang berusia 12 tahun.

''Kanak-kanak tersebut menghidap darah tinggi kesan daripada pemakanan tidak seimbang dalam menu hariannya.

''Hampir setiap hari kanak-kanak itu menjadikan kentang goreng, piza dan ayam goreng sebagai makanan hariannya dan amalan pemakanan tidak sihat itu berlarutan dua tahun hingga menyebabkan dia diserang penyakit darah tinggi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan rasa tidak gembira dengan keadaan rakyat Malaysia yang berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan terutama obesiti dan sakit jantung.

Kenyataan spontan bekas Perdana Menteri itu menggambarkan rasa kecewa beliau dengan sikap rakyat Malaysia yang malas untuk menjaga kesihatan mereka.

Norlizawati menambah, lebih memburukkan keadaan, kanak-kanak obesiti ini tidak suka melakukan aktiviti fizikal dan lebih gemar bermain play station atau menonton televisyen.

Beliau memberitahu, berdasarkan kes yang dirujuk kepadanya, 30 peratus kes obesiti berkenaan melibatkan golongan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

''Sementara itu, selebihnya adalah golongan wanita yang datang sendiri berjumpa saya untuk mendapatkan panduan menurunkan berat badan,'' katanya.

Beliau memberitahu, bagi golongan lelaki pula mereka jarang mahu berjumpa pakar pemakanan.

''Kalau ada pun, kes adalah yang dirujuk oleh doktor,'' jelasnya.

Catat kematian tertinggi tahun lalu

Penyakit jantung yang berpunca daripada masalah obesiti menjadi penyumbang terbesar penyebab kematian pesakit di hospital kerajaan sejak tahun lalu.

Selain itu, paling membimbangkan adalah jumlah rakyat negara ini yang mengalami obesiti meningkat lima kali ganda melibatkan golongan yang berusia 40 hingga 49 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin memberitahu, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan masalah obesiti dan penyakit jantung bagi rakyat Malaysia di tahap yang sangat membimbangkan.

Katanya, pada tahun lalu sejumlah 6.99 peratus kemasukan pesakit di hospital kerajaan adalah disebabkan penyakit jantung.

Jelas beliau, obesiti sangat berkait rapat dengan penyakit jantung kerana lemak badan yang berlebihan akan terkumpul di sekeliling jantung dan mengganggu salur darah.

'' Penyakit jantung adalah penyumbang terbesar penyebab kematian pesakit di hospital kerajaan pada tahun 2008 iaitu sebanyak 16.54 peratus.

''Masalah obesiti bagi setiap kumpulan umur mengalami peningkatan dua hingga lima kali ganda jika dibanding dari tahun 1996 hingga 2006,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kecewa kerana rakyat negara ini berhadapan dengan pelbagai masalah terutama obesiti dan sakit jantung.

Kenyataan spontan Dr. Mahathir itu menggambarkan rasa kecewa beliau dengan sikap rakyat Malaysia yang malas untuk menjaga kesihatan.

Katanya, penambahan ketara kumpulan penduduk yang terlebih gemuk atau obesiti agak merunsingkan.

Mengulas lanjut, Rosnah berkata, masalah berlebihan berat badan kalangan rakyat negara ini telah meningkat dua kali ganda daripada 16.6 peratus pada tahun 1996 kepada 29.1 peratus pada tahun 2006.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai kempen dan aktiviti dijalankan bagi mendidik rakyat negara ini mengamalkan gaya hidup sihat.

Jelasnya, antara kempen yang telah dilaksanakan termasuk aktiviti berbasikal iaitu 'Jom Kayuh' dan 'Jom Makan Secara Sihat' yang melibatkan pelbagai golongan masyarakat.

Katanya, pemantauan kesihatan terhadap berat badan kanak-kanak juga dijalankan oleh Pasukan Kesihatan Sekolah.

''Kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan dirujuk kepada Pegawai Zat Makanan untuk dikendali dan dijalankan intervensi pengurusan berat badan,'' katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90