Mengenali musuh dalam selimut
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Malaysia.
Biar saya dan seluruh keturunan dan nenek moyang saya dikutuk tidak mengapa. Saya sudah lali. Hatta kadang kala adik beradik dan saudara mara saya yang tidak ada kena mengena dengan tulisan saya ini turut terasa tempias. Mereka 'diserang' oleh golongan ultra kiasu dengan berbagai-bagai tohmahan. Keturunan nenek moyang saya dikatakan tidak pandai mendidik saya menjadi orang Cina, tidak tahu menjaga keturunan, lebih Melayu daripada Melayu, pengkhianat bangsa dan berbagai tohmahan lagi yang amat pahit untuk diterima.
Saya tidak ada masalah untuk menghadapi dengan golongan ultra kiasu ini kerana saya faham benar perangai mereka sebab kami dari jenis yang sama. Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Biarpun terpaksa berhadapan dengan orang dalam keluarga sendiri. Tidak mengapa, sebab mereka tidak faham. Apatah lagi untuk memahami Islam sebagai satu cara hidup. Hidup ini bukan semudah yang disangka. Perjuangan mempertahankan kebenaran kadang kala amat pahit. Namun, kepahitan itu akan terubat apabila kita sentiasa yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama-sama orang yang benar. Justeru, sentiasalah meletakkan kepentingan Allah di hadapan berbanding yang lain.
Setelah memeluk Islam, saya belajar dan diajar, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan Islam dengan lain-lain kepentingan termasuk kepentingan bangsa, nenek moyang dan sebagainya, maka kepentingan Islam itu mesti diutamakan. Tidak boleh tidak. Sama juga pertembungan antara kepentingan ummah dengan kepentingan diri, maka ummah perlu diutamakan. Sebab kepentingan ummah itu memberi implikasi yang besar terhadap Islam. Ia adalah hak Allah SWT yang kekal abadi. Sedangkan kepentingan lain hanyalah bersifat sementara kerana kita hanya menumpang sahaja di muka bumi ini.
Dengan sebab itu, saya tidak dapat bersetuju dengan pepatah bangsa saya yang mengatakan harta benda boleh bergolok bergadai, tetapi bahasa, keturunan, identiti dan pusaka nenek moyang mesti dipertahankan, jangan digolok-gadaikan. Mesti dipelihara bermati-matian, tidak ada tolak ansur jika tergugat. Benarkah begitu? Apa yang saya faham, kepentingan diri, keturunan, parti politik, nenek moyang hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT. Begitu juga hak asasi manusia hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT.
Pendek kata, apa juga kepentingan, bila mana bertembung dengan kepentingan Allah, maka sepatutnya kita lupakanlah yang lain-lain kerana ia tidak kekal, bersifat sementara. Itu bukan bermakna kita terus berpeluk tubuh melihat sahaja apa yang berlaku. Apa guna mulia di dunia, di sisi manusia, tetapi hina di sisi Allah SWT. Perkara ini perlu kita fahami, termasuk golongan ultra kiasu itu.
Paling baik biar kita mulia di dunia, mulia di sisi Allah. Tetapi jika tidak ada pilihan, biarlah tidak seberapa mulia di dunia tetapi mulia di sisi Allah. Ini pegangan saya sebagai insan kerdil yang baru menerima Islam. Saya tidak tahu orang lain bagaimana penerimaannya?
Penulisan saya hanya mahu orang Islam sedar bahawa orang lain telah lama terkehadapan dan kuat, sehingga sukar untuk kita kejar. Adakah kita mahu terus ketinggalan? Lihatlah bagaimana orang lain menjaga kepentingan mereka. Mereka telah menggapai awan, sedangkan kita asyik bercakaran dalam semua perkara. Sudahlah kita tidak habis-habis berpecah dalam politik, sekurang-kurangnya kita bersatu dalam perkara lain. Ini tidak, dalam perkara lain pun kita masih dan terus berpecah.
Isu terbaru, berkaitan dengan kes hukuman sebat ke atas saudari Kartika Dewi Shukarno. Saya amat kagum dan menghormati beliau dan keluarganya sendiri, yang telah reda atas hukuman yang dijatuhkan dan memohon hukuman sebat itu dilaksanakan. Persoalan sama ada hukuman itu wajar atau tidak, adalah isu lain. Pokoknya, institusi tertinggi undang-undang telah memutuskan. Hormatilah. Kenapa dan mengapa pula orang Islam sendiri yang tidak kena hukuman atau tidak kena-mengena yang terkinja-kinja? Tidakkah kita sedar, orang lain sedang bersorak gembira kerana mereka tidak perlu bercakap lagi. Kita sudah mewakili mereka.
Kiasu
Mereka yang ultra kiasu ini tidak lagi perlu campur tangan atau mempertikaikan keputusan mahkamah syariah kerana kita sendiri sudah ada orang dalam yang bertindak seperti musuh dalam selimut? Kita sesama sendiri tidak ada kesepakatan dalam isu asas berkaitan agama dan hal ehwal sendiri yang menjadi darah daging, bayangkan bagaimana dengan isu yang lain?
Saya tidak pernah dengar orang bukan Islam menentang keputusan sami-sami Buddha, Hindu atau paderi mereka walaupun tindakan keagamaannya kadangkala agak ekstrim. Misalnya, isu menutup aurat. Bagi mereka yang tidak mahu menutup aurat, eloklah senyap sahaja. Tidak perlu mempertikaikan mereka yang ingin menutup atau, berubah menjadi baik (bergantung kepada niat). Jangan sindir atau menentang mereka.
Saya tidak pernah dengar ada kaum sebangsa saya mempertikaikan pakaian sami Buddha, Hindu atau paderi Kristian yang tidak kurang tutupnya berbanding Islam. Ada sami yang sanggup membotak kepala (sama ada lelaki atau wanita), berjalan kaki tanpa selipar dan lain-lain lagi mengikut ajaran mereka demi menyampaikan mesej agama. Saya lihat orang ini amat dimuliakan apabila berada di khalayak atau datang dari rumah ke rumah. Mereka disambut mesra, sedekah atau sedekah dihulurkan dengan sebanyak mungkin. Kedatangan mereka dikiaskan membawa rezeki dan tuah kepada tuan rumah. Pendek kata, orang bukan Islam amat memuliakan ketua agama mereka, walaupun kelihatan esktrim.
Kenapa kita tidak seperti 'tindakan' mereka? Bersatu mempertahankan ajaran nenek moyang. Bersatu dalam senyap walaupun di luar seolah-olah berpecah. Kita hari ini, usahkan bersatu dalam senyap, asyik berpecah luar dan dalam. Sengaja membuka pekung di dada. Berpegang kepada hak asasi manusia atau human rights lebih daripada Hak Allah. Lebih malang lagi, yang baik ditentang, yang mungkar disenyapkan? Mereka yang dikenakan hukuman minum arak ditentang, mereka yang minum arak tidak ditentang. Mereka yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan yang tersurat dan tersirat (amat seksi), tidak disuruh tutup, mereka yang sudah tutup, disindir dengan kata-kata 'buat apa tutup-tutup'! Lebih hina lagi, apabila terbit kata-kata 'apa guna tutup-tutup kalau hati busuk, perangai yang tutup lebih teruk daripada yang tidak tutup, jadi lebih baik jangan tutup'.
Ingatlah, kita hanya manusia biasa. Tidak semestinya mereka yang cuba beramal dengan suruhan agama, akhlak mereka lebih baik daripada yang tidak beramal, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Perlu dibezakan antara hak manusia dengan hak Allah. Ada manusia cuba mengikuti ajaran agama, namun di pertengahan jalan mereka diuji, akhirnya terbabas. Ada manusia yang tidak ada keinginan sedikitpun mengikuti ajaran agama atau ajaran Allah, tetapi mereka nampak baik sahaja, seolah-olah yang tidak beramalkan dengan ajaran agama lebih baik daripada yang beramal.
Persoalan saya, apakah ini bermaksud mereka yang tidak beramal itu lebih baik daripada mereka yang cuba beramal? Apakah dek kerana seorang imam atau sami atau paderi, terlibat dalam kes rogol kita boleh mengatakan tidak ada gunanya beramal dengan ajaran Tuhan? Kenapa kita perlu menyalahkan ajaran Tuhan dalam hal ini berbanding diri kita sendiri yang merosakkan ajaran tersebut? Inilah sikap ultra kiasu yang boleh merosak akidah manusia. Mementingkan hak manusia lebih daripada hak Pencipta. Berhujah menegakkan benang yang basah. Memperlihatkan seolah-olah manusia tidak perlu lagi kepada agama kerana menyekat hak asasi manusia.
Jika begitulah keadaannya, tidak perlulah bersusah payah atau beriya-iya hendak membina begitu banyak rumah ibadat di sana sini sehingga dibina di tempat yang tidak sepatutnya. Jika kehadiran Tuhan itu tidak perlu, maka tidak perlulah kita semua beramal. Lebih baik kita ikut kata nafsu diri berasaskan hak asasi. Buatlah apa sahaja yang disukai walaupun dilarang oleh semua ajaran bertuhan seperti, minum arak, berjudi, berkasino, berpeleseran, berzina dan sebagainya. Apakah mungkin mereka yang menentang hukuman ke atas Kartika akan bersetuju dengan kemungkaran ini? Apakah kewujudan agama itu sendiri dilihat sebagai ancaman kebebasan atau menyekat hak asasi manusia?