Sejauh mana laman sosial medan luahan isi pelajar

Oleh Azrul Affendi Sobry

Konflik antara alam maya dan realiti melontarkan persoalan yang menuntut jawapan lantaran ketika ini begitu ramai menggunakan laman web sosial untuk meluahkan perasaan dalam konteks berlebihan sama ada berbaur lucah atau kadangkala berunsur ugutan. Senario itu lebih membimbangkan laman web sosial itu popular di kalangan remaja bersekolah yang menjadikannya tempat memaki hamun, manakala sasarannya pula kepada guru atau individu lebih dewasa.

Persoalan yang ditimbulkan isu ini ialah apakah sesuatu yang dicatat dalam laman web begitu wajar dipandang serius atau memberi impak kepada realiti lantaran sukar sebenarnya untuk mendefinisikan sejauh mana kebenaran yang diluahkan atau kesahihannya. Isu ini hebat diperkatakan apabila akhbar baru-baru ini melaporkan seorang pelajar Tingkatan Empat, sebuah sekolah berasrama penuh, di Jitra, Kedah, dikenakan tindakan berpindah ke sekolah lain selepas dikesan menjadikan laman sosial sebagai medan melakukan serangan peribadi terhadap pengetuanya.

"Pelajar berkenaan melakukan perkara itu melalui laman web Friendster pada Mei lalu dan perbuatan memaki hamun pengetua, walaupun di laman sosial dianggap kesalahan berat," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah ketika ditemui wartawan.

Namun, debat timbul lantaran ada yang menganggap ia satu tindakan tidak kerana penulisan dalam laman web sosial adalah perkara peribadi yang sekadar bertujuan meluahkan perasaan sesama rakan, bukan untuk dihebahkan kepada umum.

Beberapa pelajar sekolah menengah yang ditemui bagi mendapatkan pendirian mereka mengenai itu itu juga seakan tidak bersetuju tindakan diambil berdasarkan apa yang berlaku dalam laman web kerana bagi mereka, tak semua luahan itu berlandaskan perasaan sebenar ketika menulis. Malah, mereka menyifatkan laman sosial adalah ruang paling tepat dan sesuai bagi mereka meluahkan perasaan sesama rakan sebaya dalam bentuk selamat bagi meredakan tekanan.

Lima pelajar ditemui, semuanya mempunyai akaun dalam laman web sosial dengan yang paling ramai menggunakan Facebook dan Myspace. Menurut mereka hampir semua kenalan mereka turut mempunyai akaun dalam laman yang sama, menunjukkan pengaruh laman sosial begitu kuat dalam kelompok remaja.

Seorang pelajar Tingkatan Enam, Sarah Aliah Amir Sarifudin, berkata remaja sepertinya lebih selesa meluahkan perasaan dan berkongsi masalah bersama rakan dalam Facebook berbanding berjumpa dengan guru kerana ia mampu mengurangkan tekanan apatah lagi ketika dia bakal menghadapi Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) tak lama lagi.

"Saya tak berasa apa yang kami bualkan dalam Facebook perlu dipandang serius kerana sebenarnya hanya membabitkan rakan tertentu. Konsep Facebook, apa yang kami tulis hanya boleh dibaca individu yang dijadikan rakan dalam laman web itu. Bukan untuk dikongsi sesiapa saja. Jika benar ada pelajar yang berbahasa kasar atau menghina guru, tak wajar rasanya sampai dibuang sekolah kerana mungkin dia tak berniat begitu. Sepatutnya, hanya amaran diberi. Tak semua apa diluah di situ benar kerana kadangkala kami menulis ketika bosan dan sekadar main-main," katanya.

Pelajar Tingkatan Empat, Tang How Xing, berkata berkongsi masalah atau meluahkan perasaan dalam laman sosial lebih selesa lantaran ia berlaku di alam maya tanpa perlu bersemuka atau menonjolkan identiti sebenar.

"Nak jumpa guru luahkan perasaan saya rasa kurang sesuai. Tak selesa. Kami perlu bersemuka dan itu yang kurang selesa. Kami perlu kebebasan dalam konteks peribadi. Kadangkala penggunaan bahasa kurang sesuai dalam laman sosial itu memang terjadi dan selalu saya baca, tetapi bagi saya itu perkara normal dalam laman web. Tak perlu dipandang serius," katanya.

Pelajar Tingkatan Dua, Dhanhyaa Elsie pula berpendapat ia perlu dipandang serius kerana kebanyakan pelajar tidak mempercayai kerahsiaan maklumat yang ada pada guru kaunseling.

"Saya dan ramai rakan lain lagi tak percaya pada guru kaunseling. Kerana itu, kami gemar berkongsi masalah dengan rakan sebaya. Saya akui, kadangkala ketika rasa tak puas hati dengan seseorang guru, ia diluahkan bersama rakan tetapi dalam peti mesej peribadi Facebook. Bukan secara terbuka.

"Dalam Facebook apa saja bebas diperbualkan. Tak ada masalah dan sekatan. Nak mengumpat pun boleh. Tak semua diperbual itu benar, tapi kami sebagai remaja suka begitu. Ia mampu meredakan tekanan. Saya langsung tak setuju tindakan diambil terhadap apa yang diperbualkan dalam bentuk peribadi," katanya.

"Bahasa remaja memang kadangkala kasar dan kurang sopan. Namun, ia sekadar dikongsi bersama rakan lain. Saya selalu juga terbaca rakan menghina cikgu, tapi saya tahu ia sekadar habis di situ. Bukan serius. Ia trend remaja sekarang kami lebih selesa kongsi masalah dan pandangan dengan rakan berbanding keluarga atau guru," kata pelajar Tingkatan Satu, Nisa Atira Ishak.

Meskipun pandangan itu diluahkan remaja yang boleh dianggap tidak cukup matang, tetapi adalah wajar ia dijadikan panduan untuk mengkaji sejauh mana kecenderungan mereka meluahkan perasaan dan ia juga menjadi petanda kepada bahawa institusi kaunseling yang ada di sekolah tidak begitu berkesan dalam menangani isu remaja.

Ia bukan tuduhan kerana kenyataan itu turut disokong Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, yang menyifatkan kaedah kaunseling di sekolah masih pada takuk lama, konvensional, serta tidak selari dengan perkembangan semasa.

Apa tidaknya, jika dilihat kepada peratusan pengguna internet di negara ini, jelas menunjukkan kumpulan usia antara 15 hingga 19 tahun adalah pengguna teramai dengan mencapai 18 peratus daripada keseluruhan pengguna di negara ini dan angka itu bukan baru, malah sudah dicatatkan sejak 2005.

Bermakna, sewajarnya kaunselor di sekolah menyedari laman web kini menjadi satu alternatif popular di kalangan remaja untuk berkongsi apa saja, termasuk masalah peribadi dan secara tidak langsung mempengaruhi tabiat berbahasa mereka menjadi semakin santai, kasar serta kadangkala mungkin tidak sopan.

Buktinya, berdasarkan pemantauan dalam beberapa laman web termasuk Facebook dan blog peribadi, didapati ada segelintir remaja dalam kumpulan usia sama bebas menggunakan bahasa caci maki dan lucah sesama mereka, selain berkongsi tabiat buruk yang tidak wajar dilakukan remaja. Contohnya, dalam satu laman blog dimiliki seorang remaja berusia 15 tahun yang menggunakan nama 'Catwoman', kebanyakan bahasa yang digunakan sangat kasar, selain menghina dan memaki hamun keluarga sendiri, malah turut berkongsi tabiat pelik seperti mengelar pergelangan tangan jika berdepan masalah.

Justeru, sudah tiba masanya semua pihak membuka mata dan tidak sekadar terus menyalahkan remaja atas semua kejadian ini kerana apa yang berlaku pasti ada puncanya dan menyedari bahawa jika satu jari dituding ke mereka, empat lagi menuju ke diri sendiri.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url